
Mohd Bandi (kanan) menunjukkan pintu tabung derma Masjid Assaadah yang dipecahkan, Khamis lalu.
TELUK INTAN - Masjid Assaadah Kampung Selabak terus menjadi sasaran pencuri apabila wang derma berjumlah RM2,000 dilarikan, Khamis lalu.
Kejadian itu yang pertama direkodkan tahun ini dan kejadian keenam melibatkan kecurian sejak tahun lalu.
Pengerusi masjid, Mohd Bandi Ibrahim berkata, pihaknya telah mengambil pelbagai langkah termasuk menggunakan kunci besi di pintu masuk bagi mengelak kejadian sama berulang.
“Macam tabung ini, kita lekapkan di dinding, tapi ia tetap dicuri,” katanya ketika ditemui, di sini.
Mohd Bandi berkata, pengurusan masjid hanya menyedari tabung berkenaan dicuri ketika hendak menunaikan solat Asar.
“Kami terperanjat apabila lihat empat pintu tabung derma berkenaan terbuka dengan besi pengadang terkopak.
“Setelah disiasat, kita dapati penjenayah memecah empat cermin tingkap masjid guna tukul besi yang turut ditinggalkan di situ,” katanya.
Sehingga kini, dianggar RM8,200 wang derma orang ramai melalui tabung berkenaan dicuri sejak tahun lalu.
Kejadian terakhir dilaporkan akhbar ini pada September lalu, apabila satu unit alat pemancar (projector) dilarikan. Kejadian itu disedari Imam masjid ketika solat Subuh.
Menurut beliau, pihaknya kini dalam rancangan untuk memasang rakaman CCTV bagi membantu pengurusan masjid mengesan individu terlibat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: