Thursday, January 21, 2016

Hindar bayar kos terlalu tinggi




Hindar bayar kos terlalu tinggi
Golongan wanita tidak ketinggalan menyertai kursus urus jenazah di Masjid Kariah Desa Anggerik anjuran Pejabat Dun Juasseh bersama Akademi Kesenian Islam Dun Juasseh.
KUALA PILAH - Tidak timbul persoalan harga terlalu mahal dalam pengurusan jenazah sekiranya nilai norma kemasyarakatan itu masih wujud dalam jiwa setiap umat Islam yang mahu mengejar pahala dan bukan keuntungan semata-mata.
Sedangkan perkara menguruskan jenazah merupakan fardu kifayah dan bayaran tersebut adalah tidak setimpal dengan tugas dan kewajipan kita sebagai umat Islam.
Apa akan berlaku sekiranya pihak waris dari keluarga kurang berkemampuan? Adakah mungkin jenazah akan dibiarkan tanpa diuruskan sehingga waris selesai membuat bayaran. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku.
Mengupas persoalan ini, Pegawai Hal Ehwal Agama Islam di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Norhisham A Hasan berkata, beliau sendiri pernah menerima risalah mengenai khidmat pengurusan jenazah mencecah RM4,000 di kawasan Lembah Klang.
Menurutnya, pakej ini dianggap membebankan waris si mati sehingga perlu mencari wang beribu-beribu sedangkan hal pengurusan jenazah ini amat mudah di sisi agama Islam.
“Penularan kes ini sering berlaku di bandar-bandar disebabkan tidak memiliki ilmu, kesuntukan masa dan ada sengaja ‘melepaskan tangan’ kepada orang luar menguruskan jenazah ibu ayah dan saudara mereka.
“Sepatutnya kes seperti ini tidak timbul kerana ibadat dalam fardu kifayah tidak menuntut bayaran tinggi dan setiap umat Islam perlu mengetahui ilmu pengurusan jenazah,” katanya.
Menurutnya, penularan kes itu lebih tertumpu di kawasan bandar dan pihak terbabit dikatakan menyasarkan golongan kaya.
“Kalau di kampung atau luar bandar, perkara seperti ini mungkin belum berlaku tetapi di bandar-bandar ia telah mula menular.
“Mereka (ahli keluarga) inginkan jalan mudah dan mereka semua ada duit. Jalan senang adalah menggunakan pakej. Keluarga si mati tidak perlu buat apa-apa kerana pakej akan menguruskan semua bermula dari kafan sehingga urusan pengebumian.
“Sebenarnya, kos untuk menyediakan kelengkapan kafan tidak sampai RM100 dan jika di kampung-kampung, mereka ada menyertai khairat kematian yang memudahkan pengurusan jika berlaku kematian,” katanya.
Beliau turut melahirkan rasa bimbang, jika budaya ini disamakan dengan agama lain dan bezanya belum sampai ke tahap membeli keranda.
Justeru katanya, golongan anak muda digalakkan mempelajari cara pengurusan jenazah bagi menghindari penularan budaya yang mengejar keuntungan.
Menurutnya, di dalam Islam, waris si mati adalah diutamakan untuk menguruskan jenazah keluarga mereka dan pihak masjid seperti imam dan bilal hanyalah memantau.  
“Namun, budaya masyarakat sekarang, mereka menyerahkan bulat-bulat kepada pihak masjid untuk menguruskan jenazah ahli keluarga mereka dan ini bertentangan dengan kehendak Islam.
“Lebih menyedihkan lagi, ada yang melarang ahli keluarga mereka menguruskan jenazah kerana dikhuatiri boleh menyebabkan ‘badi mayat’. 
Ini adalah fahaman syirik akibat kurangnya didikan agama,” katanya ketika menyampaikan ceramah Kursus Pengurusan Jenazah di Masjid Kariah Desa Anggerik di sini.
Selain itu, Pengerusi Jemaah Nazir-nazir Masjid Dun Seri Menanti, Maradzi Ismail, 60, berkata, pengurusan jenazah di kampung biasanya diuruskan ahli kariah masjid.
“Ini berikutan waris si mati masih berduka dan sedih, namun ada segelintir anak-anak si mati membantu kami. Kami  juga tidak mengamalkan konsep pembayaran harga hingga mencecah ribuan ringgit. Jika ada waris si mati menghulurkan wang kami ambil, jika tidak, kami tidak minta.
“Kami fikir, inilah tanggungjawab kami sebagai umat Islam membantu umat Islam lain. Tiada apa lagi yang dapat diberikan selain membantu memudahkan urusan jenazah sehingga selesai,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, di daerah ini masih belum wujud pakej pengurusan jenazah dengan meletakkan harga tinggi, sekali gus membebankan waris.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: