Thursday, January 21, 2016

Paya biru gamit nostalgia




Paya biru gamit nostalgia
Paya biru yang terletak di Kebun Blok 17 Felda Lock Heng Selatan menggamit nostalgia warga Felda akan ditambah baik dan ditcantikkan lagi oleh pihak pengurusan.
KOTA TINGGI - Paya biru di Felda Lok Heng Selatan dekat sini, terus menjadi lokasi tumpuan masyarakat di kawasan berkenaan terutama pada musim cuti.
Ketua kampungnya, Mohammad Bakar berkata, keindahan paya biru di kawasan kebun Blok 17 Felda itu bukan sahaja berjaya menarik golongan muda ke situ, malah dalam masa sama turut menggamit nostalgia lama warga peneroka dan generasi kedua Felda.
Menurutnya, paya tersebut juga tidak seperti kawasan paya lain, yang mana keadaan airnya keruh kerana punca air paya biru itu adalah dari Bukit Tangga Tujuh yang terletak berhampiran.
“Paya ini sudah tidak asing lagi dalam kalangan penduduk di sini kira-kira 30 tahun lalu sejak Felda ini dibuka. Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini ia mula jadi tumpuan.
“Ia bermula selepas saya memuat naik gambar paya ini di Facebook dan minta pandangan penduduk dan golongan belia sama ada bersetuju sekiranya paya terbabit dibangunkan.
“Ia jadi viral, malah gambar tersebut mendapat kira-kira 12,000 'like' dan 'respons' yang positif daripada penduduk terutamanya generasi muda Felda sama ada tinggal di kampung mahupun di luar daerah,” katanya.
Tambahnya, paya adalah kawasan yang sangat sinonim dengan penduduk Felda, malah apabila sebut sahaja paya pasti mereka yang tinggal di kawasan Felda mempunyai memori masing-masing.
“Respons positif terutama daripada golongan belia dari kampung ini membuatkan pihak pengurusan mengambil tindakan untuk menambah baik dan mencantikkan lagi kawasan paya tersebut.
“Antara perancangannya termasuklah memasang papan tanda arah ke paya tersebut, menanam pokok bakau di tebing paya bagi mengelakkan daripada hakisan tanah berlaku dan menanam bunga sepanjang laluan ke paya tersebut.  
“Pihak Felda juga setuju untuk memberikan peruntukan RM100,000 bagi membina jambatan sepanjang 16 kaki di jalan utama paya tersebut, sekali gus mengatasi masalah hakisan tanah yang berlaku,” katanya.
Mohammad berkata, beliau yakin kawasan tersebut berpotensi jadi lokasi tarikan pelancong lebih-lebih lagi dengan kemudahan seperti inap desa yang tersedia di kawasan itu selain turut berhampiran dengan tempat bersejarah lain dalam daerah ini.
Peneroka, Siti Masamah Khusin, 56, pula berkata, dia bersetuju sekiranya paya tersebut terus dipelihara, malah rasa bangga apabila ia terus menjadi pilihan generasi muda kini untuk bermandi-manda.
Katanya, selain dekat dengan penempatan penduduk, keselamatan anak-anak lebih terjamin berikutan tidak perlu membonceng motosikal keluar ke jalan besar untuk beriadah di laut atau kawasan lain.
“Di paya ini juga suatu masa dulu saya suka datang memancing bersama suami. Banyak kenangan tersimpan terutamanya buat anak-anak Felda.
“Dahulu mana mampu nak pergi ke taman tema untuk mandi-manda, hanya paya ini sahajalah jadi tempat mereka berseronok,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: