Sahidatul Asma menunjukkan laporan polis.
TUMPAT - Seorang bekas penuntut di sebuah kolej swasta di Petaling Jaya, Selangor, rasa tertipu apabila dia masih dikenakan yuran pengajian meskipun sudah setahun berhenti dari kolej terbabit.
Sahidatul Asma Mohd Zaki, 19, dari Kampung Cherang Melintang di sini, mendakwa dia kini terpaksa menanggung hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hampir RM8,000.
Menurutnya, perkara itu berlaku apabila wang pinjaman PTPTN dimasukkan ke dalam akaunnya dan secara automatik pihak kolej mengambilnya selama dua semester.
“Selepas saya membuat semakan dengan pihak bank, PTPTN memasukkan wang pinjaman kali pertama pada 23 September 2014.
“Kemasukan wang untuk semester kedua pula pada 3 Mac 2015, sedangkan ketika itu saya sudah berhenti di kolej terbabit. Satu semester yuran kolej RM3,850,” katanya.
Sahidatul Asma berkata, dia mendaftar di kolej itu pada Jun 2014, selepas belajar tiga bulan, dia berhenti mengikuti pengajian diploma undang-undang yang sepatutnya dihabiskan dalam masa dua tahun enam bulan.
“Saya berhenti di kolej itu mengikut prosedur, saya diminta tandatangan satu dokumen sahkan saya berhenti, tetapi salinannya tidak diberikan kepada saya,” katanya.
Menurutnya, ketika dia berhenti di kolej itu, wang pinjaman PTPTN belum dimasukkan lagi ke dalam akaunnya dan menganggap pinjamannya juga terbatal.
Katanya, dia menyedari pinjaman PTPTN masih diteruskan dan kolej mengambil wang di dalam akaunnya apabila permohonan pinjaman untuk pengajian di Politeknik Kok Lanas ditolak.
“Saya rujuk ke pejabat PTPTN bertanya kenapa pinjaman pengajian saya tidak lulus.
“Mereka maklumkan saya sudah meminjam sebelum ini dan ia masih berjalan untuk tempoh dua tahun enam bulan di sebuah kolej di Petaling Jaya itu,” katanya.
Menurutnya, dia terus menghubungi kolej terbabit meminta penjelasan, tetapi pihak pengurusan seperti tidak mengendahkannya.
Katanya, dia membuat satu laporan polis di Balai Polis Chabang Empat meminta perkara itu disiasat kerana dia rasa tertipu.
“Saya buntu nak bayar hutang tersebut dan menghadapi masalah kewangan untuk meneruskan pengajian di politeknik.
“Sekarang pula perlu bayar yuran pengajian semester pertama saya di politeknik guna wang sendiri,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: