
Mohd Hafiz memasukkan kekabu ke dalam sarung yang akan dihasilkan sebagai bantal ibu hamil.
BERDEPAN kesukaran mencari bantal ibu hamil (pregnancy pillow) untuk isterinya, Amiratul Nabilah Nordin, 29, mencetuskan idea kepada Mohd Hafiz Azizan, 29, untuk menceburkan diri dalam perniagaan tersebut.
Menurutnya, perniagaan itu dimulakan sejak 2014 dan produk berkenaan dihasilkan sendiri dengan bantuan isteri dan enam kakitangannya.
“Pada permulaan reka bentuknya kami ikut daripada yang terdapat di internet manakala saiz dan ukurannya kami tentukan sendiri mengikut kesesuaian.
“Bantal yang kami hasilkan ini berbentuk U dan G selain material yang digunakan adalah kekabu dan fiber,” katanya.
Katanya, bantal berkenaan mempunyai pelbagai fungsi terutamanya mencegah kesakitan pada bahagian belakang badan yang dialami wanita hamil.
“Bantal ini juga boleh digunakan ibu-ibu untuk menyusukan anak malah orang kurang upaya (OKU) juga yang terlantar digalakkan untuk menggunakan bantal ini,” katanya.
Mohd Hafiz berkata, setakat ini sambutan yang diterima daripada masyarakat amat menggalakkan.
“Saya boleh jual 30 hingga 40 bantal dalam masa seminggu dan pernah juga saya terima sehingga 60 tempahan dalam tempoh sama,” katanya.
Katanya, bantal berkenaan dijual dengan harga RM150 sebiji dan ia dianggap berpatutan jika dibandingkan dengan yang diimport dari luar.
“Harga yang diimport dari luar boleh cecah sehingga RM400 sedangkan material yang digunakan adalah sama,” katanya.
Menurutnya, selain menjalankan perniagaan secara terus, dia juga menggunakan pendekatan online untuk memasarkan produknya ke seluruh negara.
“Saya juga menjual produk ini melalui Facebook, Lazada dan sebagainya bagi meluaskan lagi pasaran perniagaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: