
Adil melakukan latihan bagi membentuk bisep.
MELAKA - Demi memenuhi impian aktif dalam sukan bina badan, Muhammad Adil Roslan, 18, terpaksa berkorban membantu rakan menjual burger pada waktu malam.
Itu kisahnya ketika di bangku sekolah, bukan untuk mendapatkan duit poket disebabkan berasal dari keluarga susah, sebaliknya upah yang diperolehi itu digunakannya untuk menampung kos membeli makanan tambahan dan latihan gim.
Namun, pengorbanannya tidak sia-sia apabila berjaya dalam sukan bina badan selepas setahun melakukan latihan intensif.
Remaja berasal dari Kampung Pengkalan Batu, di sini, itu terjebak ke sukan bina badan sekadar suka-suka mengikut rakan membuat latihan di gim dekat Bukit Baru. Sejak itu dia mula berminat untuk terus serius dalam sukan berkenaan.
Adil yang aktif menyertai pelbagai pertandingan sejak awal tahun ini kini mula mencipta nama menerusi acara yang disertainya; antaranya muncul sebagai johan acara keseluruhan bagi Mr IOI 2015 yang diadakan di Johor baru-baru ini, Mr KL 2015 (tempat kedua bagi kategori junior dan ketiga untuk acara terbuka), Mr Johor (tempat kedua junior), Body Smart MBMB (tempat kedua), Ayer Molek Smart Body (tempat ketiga), Mr Gym 1Malaysia (tempat kelima junior) dan Mahkota Parade Smart Body (tempat keempat).
Menurut Adil, hanya berbekalkan semangat dan dorongan daripada rakan mendorongnya menguatkan mental untuk meneruskan latihan di gim sebelum terus serius mencari gim yang boleh memberi latihan selepas dia menamatkan persekolahan.
Anak kedua daripada empat adik beradik itu berkata, dia menyertai latihan di AZ Gym Fitness Centre di Taman Paya Rumput Utama, di sini, sebelum menemui Mazlan Yaakub, 36, yang kini menjadi jurulatihnya dan terus serius untuk menjadi atlet bina badan.
“Dia (Mazlan) banyak memberi dorongan kepada saya untuk beri tunjuk ajar selain mencurahkan segala pengalamanya dalam membentuk badan yang ideal bagi kategori yang disertai saya ketika ini.
“Saya bertuah bertemu dengan jurulatih sepertinya, kerana dia membentuk disiplin disiplin diri serta mengatur pemakanan dan jadual latihan bagi membolehkan saya bersaing untuk pertandingan yang disertai,” katanya.
Adil berkata, dia perlu membentuk mental kuat kerana setiap latihan perlu mengangkat bebanan sehingga 80 kilogram secara berulang sehingga dua jam bagi satu sesi setiap hari.
"Itu belum lagi dengan diet pemakanan untuk membentuk badan serta tidak boleh minum air selama empat hari sebelum pertandingan, ini semua memerlukan daya kekuatan mental," katanya di sini, semalam.
Bentuk disiplin diri
Dia berkata, sukan bina badan banyak membentuk disiplin untuk dirinya dan bertuah kerana dikelilingi rakan yang banyak memberi sokongan serta tunjuk ajar selain pengurusnya, Jabbarinor Ibrahim, 39, banyak membantunya untuk menyertai pelbagai pertandingan selain mencari penaja.
“Sejak di bangku sekolah saya hanya menghabiskan masa terluang berada di gim, mencari wang lebih semata untuk membayar yuran latihan serta membeli makanan tambahan bagi membentuk otot.
“Minat mendalam terhadap sukan bina badan akhirnya saya meninggalkan sukan berbasikal yang sudah disertai sejak sekolah menengah lagi,” katanya yang kini bekerja sebagai pembantu gim.
Dia kini sedang aktif melakukan persediaan untuk pelbagai acara pada tahun depan antaranya, acara bina badan peringkat kebangsaan dan berhasrat untuk mewakili negara untuk menyertai Mr Asia 2016.
“Bagi menyertai Mr Asia 2016 saya perlu muncul juara di peringkat kebangsaan yang akan berlangsung nanti, daripada situlah saya akan terpilih mewakili negara sekiranya muncul juara dalam kategori junior,” katanya.
Sementara itu, Mazlan berkata, dia kagum dengan semangat Adil walaupun berasal dari keluarga susah, dia sanggup bersusah payah untuk mengeluar belanja sendiri demi mencapai cita-citanya.
“Saya lihat dia berpotensi dalam sukan ini dan mempunyai masa depan yang cerah untuk maju kerana dia mempunyai disiplin yang tinggi.
“Saya kagum dengan semangat ada di dalam dirinya, sehinggakan sebelum dia menemui saya untuk mendapatkan latihan dia sanggup pergi ke setiap gim semata-mata untuk mencari orang yang boleh melatihnya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: