
MENIKMATI makan tengah hari di tengah sawah sambil ditiup angin sepoi-sepoi sudah cukup membuat kita berselera tanpa menghiraukan orang sekeliling.
Namun, jarang sekali kita mendengar warung di tengah sawah menjual makanan dan minuman pada sebelah malam terutama sekali steamboat dan grill.
Terletak di Parit 12A Sungai Manik, Warung Rendang D’Noor tampil membawa kelainan kepada penduduk sekitar menikmati makan malam berkonsepkan steamboat dan grill dikenali sebagai chim chum.
Lebih menarik lagi, setiap pelanggan yang ingin menikmati chim chum hanya perlu membayar RM15 seorang dan mereka boleh menikmati makanan berkenaan sehingga kenyang.
Bagi pemilik warung berkenaan, Ahmad Ismail, 63, atau lebih dikenali sebagai Pak Leh, idea menyediakan konsep makan malam berkenaan diperoleh daripada pembacaannya di internet.
“Saya ada membaca bahawa chim chum ini popular di Korea di mana mereka akan menikmati makan malam sambil membakar udang, daging, ayam dan merebus bebola serta sayur di dalam periuk yang disediakan.
“Jadi saya terfikir kenapa tidak dicuba di kawasan Sungai Manik,” katanya.
Menurut Pak Leh, pelanggan boleh memilih makanan secara bufet dan memanggang serta merebus makanan yang dipilih di atas periuk sedia ada dengan menggunakan kayu arang.
“Pelanggan boleh makan sebanyak mana yang mereka ingin, tetapi ia mesti dihabiskan. Jika tidak mereka perlu membayar lebihan berkenaan,” katanya.
Tambahnya, untuk permulaan pelanggan yang ingin menikmati chim chum di warungnya perlu membuat tempahan terlebih dahulu memandangkan ia baru beroperasi awal Januari lalu.
“Insya-Allah bermula 1 Februari, orang ramai yang ingin merasa keenakan chim chum tidak perlu menempahnya lagi kerana kami akan beroperasi secara rasmi pada tarikh berkenaan,” katanya.
Selain menawarkan makan malam, Warung Rendang D’Noor turut menjual makan tengah hari.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: