
Adnan mengimbau kenangan ketika beritanya disiarkan di muka hadapan Sinar Harian Pahang lima tahun lalu.
RAUB - Nasib bekas perajurit, Adnan Hashim, 61, yang menderita penyakit kencing manis masih dipandang sepi walaupun pernah disiarkan di akhbar ini, lima tahun lalu.
Lebih menyedihkan, dia dimaklumkan tidak layak menerima bantuan dari Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) kerana statusnya sebagai peneroka Felda.
Menurutnya, kunjungan ahli JHEV ke rumahnya di Felda Tersang 3 itu turut memaklumkan mereka yang diberi keutamaan menerima bantuan ialah bekas tentera yang tinggal di kampung dan tidak bekerja.
“Sebenarnya, pendapatan sebanyak RM1,300 sebulan sebagai peneroka tidak cukup untuk menampung kos perbelanjaan harian dan perubatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Adnan yang pernah berkhidmat selama 13 tahun dalam ketenteraan dan bersara tanpa pencen itu berkata, dia perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM1 untuk dua batang jarum setiap hari.
“Saya perlu keluarkan kos untuk beli ubat kira-kira RM38 untuk cuci luka bernanah di kaki kanan yang sebahagian jari sudah dipotong.
“Orang kata duduk Felda ni senang, tapi sebenarnya duit RM1,300 sebulan itu tak cukup nak sara keluarga dan beli ubat-ubatan,” katanya yang baharu sahaja keluar dari wad di Hospital Lipis untuk rawatan memotong sebahagian lagi jari kakinya.
Lebih memeritkan, warga emas yang menghidap kencing manis sejak 1985 itu pernah menderita diserang angin ahmar kira-kira lapan tahun lalu mengakibatkan sebahagian kaki kirinya tidak dapat berfungsi dengan baik.
Justeru, Adnan merayu ada pihak lain yang sudi menjenguk dan membantunya meringankan beban yang ditanggung.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: