Tuesday, January 12, 2016

Tanam pisang lebih lumayan




Tanam pisang lebih lumayan
Pekebun pisang membawa tanaman mereka ke pusat pengumpulan untuk dijual kepada peraih.
LABIS - Meskipun kejatuhan harga komoditi getah dan sawit menjejaskan pendapatan pekebun kecil, ia membuka peluang kepada kebanyakan golongan itu di Kampung Tenang di sini, memulakan usaha menanam pisang yang mampu memberi pulangan lumayan dalam jangka masa singkat.
Bagi pekebun, Abdul Halim Othman, 49, dia bersyukur kerana masih mempunyai jalan menambah pendapatan dengan mengusahakan tanaman pisang tanpa sebarang gangguan daripada gajah liar yang sering memusnahkan tanaman penduduk sebelum ini.
“Tanaman kami lebih selamat sekarang kerana gajah liar tidak lagi memasuki kawasan kampung selepas kerajaan membina pagar elektrik sejauh 23 kilometer yang merentangi kawasan Hutan Simpan Labis dengan kawasan kampung sejak enam tahun lalu,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, dia kini lebih selesa mengusahakan tanaman pisang seluas kira-kira 0.8 hektar yang memberi pulangan lebih lumayan berbanding hasil sawit yang sedang melawas ketika ini, selain kejatuhan harga getah yang teruk sehingga menjejaskan pendapatannya.
Manakala, Omar Embong, 52, yang mengusahakan hampir 20 hektar tanaman pisang berkata, dia kini sudah jarang menjenguk kebun getahnya kerana mahu memberi tumpuan kepada tanaman pisang yang lebih menguntungkan berbanding menoreh getah ketika ini.
Jelasnya, ia bukan bermakna dia berhasrat meninggalkan kerjanya sebagai pekebun kecil getah kerana itu sumber pendapatannya untuk menyara keluarga selama ini, tetapi akan kembali menoreh getah seperti biasa jika harga komoditi itu kembali stabil.
“Pagar gajah yang ada bukan sahaja menyelamatkan tanaman penduduk kampung, malah keselamatan penduduk untuk ke kebun pada awal pagi juga lebih terjamin kerana sebelum ini pernah berlaku penduduk diserang haiwan tersebut sehingga menyebabkan kematian,” katanya.
Sementara itu, Ali Daud, 63, pula berkata, tanpa tanaman pisang yang diusahakannya ketika ini, dia mungkin mengalami masalah kewangan kerana terpaksa bergantung kepada pendapatan hasil menoreh tidak sampai RM600 sebulan berbanding sekitar RM1,500 sebelumnya.
Menurutnya, kini terdapat lebih 25 pekebun sudah beralih kepada tanaman pisang dengan keseluruhan kawasan terlibat dianggarkan seluas 60 hektar dan boleh dikatakan tanah tersebut adalah tanah terbiar atau dusun yang tidak memberi pulangan lumayan sebelum ini.
“Tanaman pisang bukan sahaja penyelamat saya, malah kebanyakan pekebun di sini, kerana kami kini tidak mahu lagi hanya bergantung kepada hasil getah semata-mata untuk menyara keluarga sejak kejatuhan teruk harga getah,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: