Pelajar terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Yogendren, 23, berkata, ketika itu dia bersama empat rakan lain sedang dalam perjalanan dari Melaka ke Port Dickson sebelum keretanya terlibat kemalangan itu di kilometer 243.3 menghala ke utara.
Menurutnya, dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 11.45 malam itu, kereta yang dipandu Yogendren dilanggar dari belakang oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda sehingga mengakibatkan keretanya berpusing beberapa kali serta melanggar pembahagian jalan.
Katanya, mujur dia bersama empat rakan lain hanya mengalami cedera ringan.
Bagaimanapun, menurut Yogendren, sebaik kemalangan, dia mendapatkan khidmat Plus selepas mendapati kereta mengalami kerosakan teruk hampir seratus peratus.
“Malangnya Plus diharapkan tidak sampai, sebaliknya setelah 10 minit datang dua lelaki berkereta, berusia lingkungan 40-an. Mereka menunjukkan kepada saya kad identiti kononnya mereka adalah kakitangan Plus dan berjanji akan menolong saya serta menghubungi pihak lain.
“Memang kesemua pihak termasuk polis, bomba dan pasukan perubatan datang tetapi paling dikesali dua kenderaan penunda turut sampai dipercayai rakan-rakan dua lelaki tadi dan kemudiannya memaksa kami segera membayar sebanyak RM950 bagi khidmat mereka,” katanya kepada Sinar Harian ketika dirawat di sebuah hospital swasta di sini, semalam.
Yogendren berkata, salah seorang lelaki terbabit juga sanggup mengikut dia ke bank di Senawang setelah menyatakan tidak membawa wang tunai.
“Selepas membayar jumlah berkenaan, dua lelaki tadi muncul dan menuntut saya untuk membayar wang tambahan RM100, kononnya atas perkhidmatan yang diberi sedangkan menurut salah seorang rakan, dia telah pun meminta sebanyak RM50 di tempat kejadian.
“Saya beritahu saya tiada duit lagi sebab wang yang diberi adalah daripada pinjaman PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional),” katanya.
Yogendren berkata, bayaran tersebut juga tidak termasuk upah menunda kenderaan ke Melaka sebanyak RM420, selepas dia tidak bersetuju untuk menghantar keretanya ke bengkel yang dicadangkan lelaki berkenaan.
“Paling dikesali, mengapa Plus tidak memantau perkara ini sedangkan mungkin ramai lagi mangsa seperti saya yang mereka jadikan alat untuk mengejar keuntungan.
“Cara mereka bertindak tak ubah seperti ‘gangster’ dan paksa serta membuatkan saya tiada pilihan selain menggunakan khidmat mereka,” katanya yang bercadang membuat laporan polis berhubung kejadian itu sebaik keluar dari hospital.
Sementara, itu, bapa mangsa, yang mahu dikenali sebagai Vellu, 55 berkata, ekoran kejadian itu dia cuba menghubungi Plus dan pihak terbabit menyatakan Plus tidak menyediakan kemudahan menunda kereta kemalangan.
Sementara itu, Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong menyatakan kekesalannya terhadap Plus sehingga ramai pengguna berdepan masalah serupa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: