|
SUASANA kawasan rumah bot di Allepey, Kochi, India, pagi itu kelihatan tenang. Kelihatan kira-kira 30 rumah bot yang diperbuat daripada jerami terdapat di situ.
Penulis dan sekumpulan wartawan dari Malaysia tertarik melihat keunikan bot tersebut. Apabila melangkah masuk ke ‘perut’ bot berhiasan sederhana itu, penulis semakin teruja untuk menikmati pelayaran itu.
Bot unik itu mempunyai tiga bilik tidur, berkelajuan 10 kilometer sejam dan pelayaran biasanya memakan masa selama tiga jam. Sepanjang perjalanan pelancong bukan sahaja disajikan keindahan kawasan tersebut malah akan dijamu hidangan makan tengah hari dan minum petang.
Menu yang dihidangkan ala-ala masakan Melayu itu dimasak di dalam rumah bot tersebut oleh seorang tukang masak lelaki.
“Setiap rumah bot ini dilengkapi tiga buah bilik tidur, tandas dan sebuah dapur. Ia dikendalikan oleh tiga orang kru iaitu tukang masak, pemandu bot dan pembantu teknikal.
“Rumah bot ini adalah destinasi wajib kepada mereka yang melancong di India selain monumen Taj Mahal yang terletak di Agra, India,” kata Nadakrishnan, 40, tukang masak di rumah bot itu.
Suasana damai
Dia yang berpengalaman memasak di atas bot itu selama 13 tahun berkata, pelayaran rumah bot mampu memberi suasana damai dan romantik kepada penumpang terutamanya pasangan yang berbulan madu.
“Selepas 30 minit rumah bot berlayar, para penumpang akan dihidangkan makan tengah hari seperti ikan bakar, sayur masala dan kari ayam.
“Pelancong juga boleh melihat aktiviti harian penduduk Kochi yang tinggal berhampiran tasik. Mereka melakukan aktiviti seperti menangkap ikan sama ada untuk dijual atau kegunaan sendiri. Kumpulan kanak-kanak bersekolah dan bermain di tepi tasik juga boleh disaksikan pengunjung.
“Mereka tidak terpinggir daripada arus kemodenan, sebaliknya menggunakan peluang tersebut untuk menyara keluarga termasuk terlibat dalam sektor pelancongan,” kata Nadakrishnan.
Bercerita mengenai pengalaman memasak, dia mengatakan dirinya amat bertuah kerana melakukan tugas memasak dalam suasana unik.
“Memasak di atas rumah bot tentunya satu pengalaman yang unik. Saya memasak dalam keadaan bot bergerak,” ujar lelaki itu sambil membancuh kopi untuk penumpang.
Hasil laut
Kochi ialah sebuah bandar yang terletak dalam daerah Ernakulam di negeri Kerala, India. Selain rumah bot, Kochi juga cukup kaya dengan makanan laut. Hasil laut merupakan punca pendapatan utama penduduk Kochi.
Kata pemandu pelancong rombongan media ke Kochi yang mesra dipanggil Shine, penduduk di Kochi menggunakan jala besar yang dipasang di tepi laut untuk menangkap ikan.
“Hasil tangkapan dijual kepada pengusaha restoran selain dieksport ke luar negara,” katanya.
Kochi mempunyai penduduk seramai 1.3 juta orang dan kebanyakan adalah golongan terpelajar.
Banyak pusat pendidikan dan universiti boleh ditemui di Kochi. Selain itu, sukar untuk melihat pengemis di bandar ini.
“Kehidupan penduduk Kochi adalah sederhana, tetapi kebanyakan mereka golongan terpelajar dan mempunyai pekerjaan. Apa sahaja peluang pekerjaan, mereka akan ambil. Memang susah untuk jumpa orang tua menjadi pengemis di Kochi ini,” katanya.
Pusat dobi
Kata-kata Shine itu ternyata benar apabila penulis berkunjung ke sebuah pusat dobi kelihatan golongan warga emas bertungkus-lumus menyara hidup tanpa mengharapkan belas ehsan orang lain.
Di pusat dobi itu, mereka melakukan kerja-kerja mencuci, menjemur dan menggosok pakaian dengan cara tradisional.
Salah seorang pekerja di situ, Kumaresan, 52, berkata, dobi cara tradisional itu masih mendapat sambutan biarpun ada mesin basuh pelbagai jenama di pasaran.
“Kami ada lebih kurang 20 pekerja lelaki dan perempuan melakukan kerja mencuci pakaian secara tradisional. Ia masih mendapat sambutan daripada pelanggan.
“Pelanggan kami terdiri daripada pekerja kilang, pusat perubatan dan hotel-hotel,” katanya yang pernah bekerja di Pelabuhan Klang, Selangor pada awal tahun 2000.
Ujarnya, perkhidmatan cuci kain tradisional itu juga dijamin lebih bersih selain memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
“Kami mencuci, mengering, menggosok dan melipat. Kami menggosok baju menggunakan seterika arang lama,” katanya.
Penulis kagum menyaksikan seorang wanita warga emas yang mampu mengangkat seterika lama yang mempunyai berat lebih tiga kilogram, malah melakukan kerja menggosok pakaian dengan pantas dan cekap. Bahkan pelancong yang mencuba menggosok pakaian mengeluh kerana seterika yang digunakan agak berat.
Tarian Katakali
Kunjungan ke Kochi bagaikan tidak lengkap jika tidak menonton tarian Katakali yang disifatkan sebagai satu persembahan yang memukau mata.
Tarian Katakali dipersembahkan kepada pengunjung setiap hari pada pukul 7 petang. Menariknya, tarian ini bukan sahaja kerana solekan mahupun kostum tetapi maksud di sebalik gerak tari itu sendiri.
Sekitar jam 5 petang, para penari mula disolek oleh seorang juru andam lelaki yang berusia awal 50-an. Solekan itu menjadi perkara wajib dalam tarian tersebut.
Penari Katakali diiringi pemuzik yang menggunakan alat muzik tradisional seperti gendang bulat, kesi, sangkakala, trompet kecil dan gendang kecil dan muzik itu pula seiring dengan tarian skrip dalam tarian tersebut.
“Tarian Katakali ini, satu skrip lakonan tetapi tidak menggunakan percakapan sebaliknya menggunakan mimik muka dalam menyampaikan sesuatu maksud,” kata Shine.
Tarian dipersembahkan kepada penonton mengambil masa sekitar dua jam.
Salah seorang pengunjung yang mahu dikenali sebagai Richard, 40, mengakui terpesona dengan persembahan tersebut, malah turut serta menari tarian Katakali.
“Muzik yang dialunkan seiring dengan lakonan mereka. Ia sangat menarik dan saya kagum melihat solekan, pakaian, tarian dan persembahan kumpulan ini,” katanya.
Selepas tarian, penari Katakali memberi peluang kepada penonton untuk mendekati mereka dan melihat lebih dekat kostum dan solekan yang dipakai semasa tarian.
Ayurveda
Kochi juga terkenal dengan perubatan tradisional dengan cara urutan yang dipanggil sebagai Ayurveda. Urutan itu dilakukan individu yang pakar dan dipantau seorang pegawai perubatan.
Urutan itu dikatakan mampu merawat pelbagai penyakit termasuk batuk, selesema dan demam. Cara urutan Ayurveda sungguh unik. Pesakit dibaringkan dan urutan dilakukan seluruh badan menggunakan minyak yang telah dicampur dengan ubat.
Minyak itu dimasak terlebih dahulu. Suhu minyak yang dilumur pada badan pula sederhana panas memberi ketenangan kepada pesakit.
Usai urutan, pesakit mandi wap sebelum dibenarkan mandi untuk membuang semua minyak di badan. Percayalah urutan Ayuerveda cukup berbeza.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: