Saturday, January 11, 2014

Cabaran Taman Negara Sungai Relau


PESERTA-PESERTA program mengambil gambar kenangan selepas melakukan aktiviti di Santuari Ikan Kelah.


EKSPEDISI di Taman Negara, Pahang ternyata menuntut kecergasan mental dan fizikal yang tinggi. Hutan hujan tropika yang terletak di banjaran Titiwangsa itu menyediakan pelbagai medan dan trek bagi mereka yang menggemari aktiviti lasak.
Kebiasaannya, pendaki gunung melalui Kuala Tahan sebagai pintu masuk utama untuk memulakan pendakian ke puncak Gunung Tahan yang merupakan gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia.
Namun, jarang yang mengetahui laluan alternatif ke Taman Negara melalui Sungai Relau iaitu tujuh kilometer dari pekan Merapoh, Pahang.
Sehubungan itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) bersama Rakan Alam sekitar (RAS) baru-baru ini menganjurkan Program Jejak Mesra RAS Bersama Media 2013 di sekitar Sungai Relau selama tiga hari. Program tersebut bertujuan untuk memperkenalkan aktiviti yang berkaitan alam sekitar.
Turut serta, Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik JAS, Datuk Abu Hasan Mohd. Isa.
Peserta memulakan perjalanan dari pekarangan bangunan JAS, Presint 4, Putrajaya menuju tempatan penginapan di Kesedar Inn, Gua Musang, Kelantan yang mengambil masa selama tujuh jam.
Kami tidak berpeluang menginap di calet berdekatan Taman Negara Sungai Relau kerana ia masih dalam proses pengubahsuaian dan ditutup kepada umum.
Perjalanan dari Gua Musang ke Merapoh hanya 20 kilometer (km).
Pada sebelah malam, para peserta diberi taklimat mengenai Taman Negara Sungai Relau oleh pegawai taman negara tersebut.
LALUAN sempit di Gua Katak tidak mematahkan semangat para peserta program.


Bersemangat
Keesokan harinya, kesemua peserta kelihatan amat bersemangat untuk memulakan aktiviti. Kami menaiki bas menuju ke pekan Merapoh.
Setibanya di pekan Merapoh, sebanyak lima buah kenderaan pacuan empat roda siap sedia menunggu kami. Petugas program turut menyediakan peralatan seperti topi keselamatan yang dilengkapi lampu suluh kepada semua peserta.
Abu Hasan mengetuai perjalanan menaiki kenderaan pacuan empat roda menuju Gua Katak yang merupakan destinasi pertama ekspedisi itu. Jarak gua itu hanya 14km dari pekan Merapoh.
Peserta perlu berjalan sejauh 800 meter sebelum sampai di pintu gua. Jurupandu arah turut memberi taklimat ringkas kepada kami sebelum meneroka gua sempit itu.
Sepanjang perjalanan 200 meter itu, peserta perlu menempuh laluan air sehingga paras perut, merangkak, meniarap dan melalui lubang. Ia ternyata menguji ketahanan fizikal setiap peserta.
Peserta juga dapat melihat banyak katak jinak di kawasan berair di dalam gua itu. Melalui ekspedisi selama sejam itu, peserta berpeluang melihat keindahan alam semula jadi yang masih terjaga sehingga kini.
Ikan kelah
Usai ekspedisi di gua itu, peserta kembali ke pekan Merapoh dengan pakaian yang basah untuk berkonvoi dengan menaiki pacuan empat roda menuju ke Santuari Ikan Kelah di Sungai Juram.
Perjalanan menuju ke Santuari Ikan Kelah mengambil masa selama 45 minit dengan melalui laluan berbukit dan berliku sebelum tiba di kawasan itu.
Peserta berpeluang mengabadikan kenangan dengan mengambil gambar bersama ikan yang mendapat jolokan Raja Sungai itu dengan bantuan kakitangan Santuari Ikan Kelah.
Menurut kakitangan di situ, ikan kelah amat jinak dan ia akan berkumpul berdekatan pengunjung apabila makanan ditaburkan di permukaan sungai.
Selepas hampir dua jam bersama ikan kelah, semua peserta menikmati bekalan hidangan makan tengah hari sebelum memulakan aktiviti seterusnya.
Para peserta juga diberi peluang menaiki Menara Pandang Bukit Seraya di Bukit Tinggi untuk melihat pemandangan kawasan sekitar.
Kami bergegas ke pekarangan pejabat Taman Negara untuk melakukan aktiviti menaiki tiub merentasi Sungai Relau. Selepas sesi taklimat, peserta bergerak menuju ke hulu sungai sejauh hampir dua km.
Petugas turut memberi tunjuk ajar kepada peserta agar menaiki tiub mengikut arus anak sungai. Ia merupakan pengalaman pertama bagi kebanyakan peserta malah ada antara mereka hampir terlanggar tebing sungai terutamanya ketika melalui kawasan air deras.
Selepas aktiviti itu, semua peserta kembali ke pekan Merapoh dan menaiki bas untuk kembali ke penginapan di Gua Musang untuk beristirehat.
PESERTA sedaya upaya memanjat cenuram setinggi 20 meter yang menguji ketahanan fizikal mereka.


Aktiviti bertali
Pada hari terakhir program itu, para peserta diberi peluang melakukan aktiviti bertali iaitu memanjat tembok, flying fox dan abseiling di Taman Etnobotani.
Aktiviti itu ternyata mencabar ketahanan fizikal peserta terutama ketika memanjat tembok dinding setinggi 20 meter. Dengan bantuan jurulatih berpengalaman, banyak manfaat yang diperoleh peserta melalui aktiviti itu.
Peserta-peserta menghabiskan masa selama lima jam untuk mencuba ketiga-tiga aktiviti itu.
Pujian harus diberikan kepada pihak JAS, RAS dan Taman Negara atas inisiatif penganjuran program itu yang memberi banyak manfaat kepada peserta.
Bagi penganjur usaha tersebut dapat membangkitkan kesedaran kepada orang ramai supaya menghargai keindahan dan kepelbagaian flora dan fauna yang terdapat
di negara ini.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: