Sunday, July 14, 2013

Pak Pung 2013 versi Altimet, Saiful, Isma


TRIO tiga penyanyi daripada tiga latar berbeza ini mencetuskan kesegaran untuk seiring dengan suasana muzik sekarang.


TREND merakamkan semula lagu-lagu lama seakan-akan jalan selamat buat seorang penyanyi untuk mudah diterima oleh pendengar. Sekurang- kurangnya, sebahagian daripada mereka yang pernah mendengar lagu asal tersebut akan tertarik dengan versi yang diberi nafas baharu itu.
Beberapa naskhah nyanyian semula telah membuktikan bahawa nama seseorang penyanyi mampu melonjak menerusi pengaruh lagu lama yang digarap semula.
Antaranya Fida Ibrahim yang namanya tiba-tiba menjadi sebutan apabila lagu Apo Kono Eh Jang dinyanyikan dalam versi baharu selain lagu Adikku Pandai Menari oleh Alif Satar, Namun Ku Punya Hati (Azmir Ariff), Kau Pelitaku (Zur Edar, DJ Fuzz, Ash-T dan Bigi), Seiring Sejalan (Nurul dan Ajai) dan Tak Mengapa (kumpulan VE dan Datuk A. Rahman Hassan).
Trend itu turut mencetus idea kepada syarikat rakaman Rusa Music Marketing bagi mengumpulkan penyanyi Saiful Apek, Isma dan Altimet untuk menjayakan sebuah projek saduran lagu lama berjudul Pak Pung Pak Mustafe.
Naskhah yang pernah dirakamkan oleh penyanyi Indonesia, Emilia Contessa dan kumpulan 2By2 itu dikenali sebagai Pak Pung 2013 hasil simbiosis trio tersebut.
Selain dipersembahkan dalam tempo yang lebih rancak oleh Saiful Apek dan Isma, Altimet berperanan besar menarik minat pendengar muda dengan persembahan rap bersahajanya.
Apakah pandangan anda tentang trend lagu saduran?
ALTIMET (A): Selagi ia tidak dikatakan 'merosakkan' lagu asalnya, bagi saya tidak salah untuk menyanyikan semula dengan sedikit pembaharuan. Lagipun penggiat hip hop memang menghargai karya-karya orang lain. Dari situ, saya belajar bahawa kita perlu menghormati karya orang lain.
SAIFUL APEK (SA): Mungkin itu merupakan salah satu cara untuk memperkenalkan lagu lama kepada generasi baharu.
ISMA (I): Tidak dinafikan ia menjadi trend kini. Bagi saya, ia satu perkembangan yang bagus kerana selain boleh memberi nafas baharu terutamanya untuk generasi yang belum kenal lagu Pak Pung Pak Mustafe, ia juga mengembalikan nostalgia kepada mereka yang membesar dengan lagu itu.
Apa istimewanya lagu Pak Pung Pak Mustafe hingga membuatkan anda berminat untuk menyanyikannya semula menjadi lagu Pak Pung 2013?
A: Sebenarnya sejak kebelakangan ini saya mula tertarik dengan lagu-lagu lama, lagu rakyat dan tradisional. Lagu ini mempunyai kehalusan sendiri apatah lagi ia pernah menjadi siulan sebelum ini.
SA: Saya membesar dengan lagu ini. Lagipun lagu ini memang menjadi siulan saya.
I: Rentak dan liriknya begitu catchy terutamanya pada bahagian korus. Ia mudah untuk diterima dan saya sendiri begitu meminati lagu asalnya.
Bagaimana tentang kesukaran dan cabaran menyanyikan semula lagu itu?
A: Sebenarnya, menyanyikan lagu saduran lebih sukar terutamanya kepada seorang penyanyi rap. Ruang untuk berkarya menjadi lebih sempit kerana perlu mengikut konsep asal. Ia berbeza berbanding lagu baharu yang mempunyai ruang kebebasan. Begitu juga lagu saduran mempunyai risiko apabila kita perlu berhati-hati kerana pendengar sudah tahu dan boleh menerima lagu asal. Sebenarnya, 'kerja' untuk menghasilkan lagu ini adalah kurang, cuma ia perlu digarap dengan lebih menarik.
SA: Ini adalah lagu featuring saya yang keempat. Jadi saya sebenarnya tiada masalah untuk terlibat dengan mana-mana penyanyi lain. Menyanyikan lagu ini tidak terlalu sukar, lagipun ia bukanlah lagu baharu yang perlu didalami melodinya terlebih dahulu. Sejujurnya menyanyikan lagu berunsur komedi adalah lebih mudah. Namun, tidaklah terlalu sukar untuk menyanyi lagu ini kerana melodinya sudah lama melekap.
I: Tidak sesukar mana pun untuk merakamkan lagu ini kerana tidak banyak yang diubah daripada versi asal. Saya memang kerap menyanyikan lagu Pak Pung Pak Mustafe ketika mengadakan persembahan bersama grup tradisional, Kumpulan Asli Seri Mawar sejak dahulu lagi. Dalam bulan puasa pun saya dan grup ini mempersembahkan lagu Pak Pung ketika waktu berbuka puasa di Restoran Riverside, PWTC (Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur) pada setiap hari.
Bekerja bertiga menuntut komitmen yang besar. Bagaimana mengumpulkan ketiga-tiga anda?
A: Proses rakaman berlangsung mudah kerana ia dirakamkan secara berasingan dalam masa sehari. Memang tiada masalah. Lagipun semua orang sudah biasa dengan lagu itu.
SA: Prosesnya begitu mudah Saya juga kagum dengan Altimet apabila dia berjaya melakukan rap secara spontan ketika merakamkan lagu ini.
I: Buat masa ini, baru dua kali kami mengadakan persembahan di atas pentas besar iaitu ketika majlis Anugerah Blokbuster yang diadakan di Johor Bahru, Johor baru-baru ini dan rakaman program hari raya. Untuk persembahan sendiri, memang sudah ada minus one khas. Tiada masalah tentang komitmen masing-masing.
Bagaimana anda melihat kelebihan bekerja bersama sedangkan latar belakang muzik anda berbeza?
A: Setiap daripada kami saling memerlukan antara satu sama lain untuk menjayakan Pak Pung 2013 ini. Hasilnya adalah seperti yang anda dengar.
SA: Projek lagu ini dilakukan dengan tersusun. Ia boleh dikatakan sebagai projek paling cepat disiapkan. Mereka semua profesional.
I: Saya sudah biasa bekerja dengan Altimet sebelum ini. Manakala bersama Saiful Apek kami pernah terlibat ketika dia berlakon dalam filem Sofazr the Movie. Saya menghormati kedua-duanya kerana masing-masing mempunyai pengalaman yang begitu luas. Ia merupakan pengalaman baharu dalam bidang muzik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: