Sunday, July 14, 2013

Satu lafaz berbeza resam



KRU Syahadah di Scotland dan Ireland bersama keluarga Saleem McGroarty yang merupakan saudara baharu di Edinburgh, Scotland.


ISLAM bukanlah agama yang baharu di negara-negara Eropah. Namun, akibat kurangnya pendedahan khususnya melalui media di Eropah tentang perkembangan para penganut dan agama Islam, ia menggambarkan Islam hanya dominan di negara-negara Asia. Media antarabangsa pula lebih berminat menggambarkan para penganut Islam sebagai pengganas.
Sempena musim kelapan program Syahadah, Radio Televisyen Malaysia (RTM) kali ini menyingkap dan meneroka perkembangan Islam di negara-negara Eropah. Dipecahkan kepada tiga kumpulan produksi, kru Syahadah kali ini membuat penggambaran di Belanda, Jerman, Scotland, Ireland dan England bagi melihat secara dekat bagaimana para penganut agama Islam berasimilasi dengan penduduk tempatan. Kru Syahadah turut meninjau sumbangan para penganut Islam itu terhadap pembangunan sosioekonomi di negara mereka bermastautin.
Lensa kumpulan jurukamera RTM merakamkan tinjauan itu sepanjang hampir sebulan bermula pada penghujung April hingga Mei lalu.
Majoriti penganut agama Islam di negara-negara terlibat berasal dari Maghribi, Syria, Jordan, Lebanon, India, Pakistan dan beberapa penduduk yang berasal dari Asia Tenggara iaitu Thailand, Indonesia serta Malaysia.
Bertemakan Satu Lafaz Berbeza Resam, paparan setiap episod Syahadah kali ini menjanjikan satu kelainan yang menonjolkan bagaimana Islam menjadi teras kehidupan walaupun jati diri mereka berbeza-beza dalam pelbagai sudut kehidupan khususnya aspek budaya dan warna kulit.
"Pada tahun ini, penceritaan Syahadah tidak lagi memfokus terhadap tinggalan peradaban Islam atau meneroka negara-negara Asia Barat yang terkenal sebagai destinasi bersejarah.
"Sebagai penerbit yang diberi amanah untuk menjayakan episod di Belanda, Jerman dan England, fokus episod itu menonjolkan kebebasan beragama yang diterima dengan baik oleh kerajaan dan penduduk yang bukan beragama Islam. Episod seterusnya akan membawa penonton menyusuri perkembangan agama Islam yang dibawa para pekerja asing dari negara-negara Arab dan Asia.
"Kecenderungan generasi muda memeluk agama Islam juga mendapat perhatian dalam program itu. Di Jerman dan England pula, para penganut Islam harus bertindak dengan bijak untuk meneruskan kehidupan," jelas Rosli Mohd. Nordin yang menghabiskan kembara Syahadah selama sebulan di tiga buah negara berkenaan.
Siri Syahadah yang sudah disiarkan mulai Selasa lalu turut merakam umat Islam di Scotland, Ireland dan England.
"Di Scotland, pihak paderi turut membenarkan solat Jumaat dilakukan di dalam gereja terutamanya pada musim sejuk memandangkan ruang masjid yang kecil bersebelahan gereja. Terbaharu, pihak gereja turut membenarkan ruang gereja yang tidak digunakan untuk diubah suai menjadi ruang solat. Itu merupakan antara paparan menarik Syahadah dalam musim ini," tambah Rosli berhubung episod yang dikendalikan rakan setugasnya, Izwan Mokhtar dan Firdaus Shabbir.
Kru Syahadah di England pula ditunjangi Zuramin Ismail dan Jasmaidy Aroff. England begitu sinonim dengan kehadiran para penganut Islam dari Pakistan, India, Arab dan Asia Tenggara. Beberapa personaliti beragama Islam yang menjadi peneraju organisasi yang memperjuangkan kepentingan saudara seagama menjadi fokus paparan di sana.
Program terbitan Unit Majalah dan Dokumentari RTM dengan kerjasama Yayasan Islam Terengganu itu disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat pada pukul 4.35 petang tetapi siaran dilewatkan kepada pukul 5.30 petang pada setiap Sabtu dan Ahad.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: