Sunday, July 14, 2013

Lagu raya cara Iamneeta



GRUP Iamneeta dianggotai oleh Anas (kiri), Neeta (tengah) dan Patrick.


GRUP Iamneeta memulakan langkah seni menerusi laman sosial YouTube. Bermula dengan menyanyikan semula lagu-lagu penyanyi lain tetapi kumpulan yang dianggotai dua jejaka dan seorang wanita itu kini mengorak langkah ke dalam seni hiburan komersial.
Iamneeta yang digerakkan oleh Neeta Manishaa selaku penyanyi solo, Patrick Anohada (gitar utama) dan Anas Zakwan Azhar (bass) boleh berbangga setelah disunting menjadi artis rakaman dalam masa yang singkat.
"Asalnya, kami tidak mengenali antara satu sama lain dan hanya berkenalan menerusi laman sosial Myspace. Setelah berkongsi minat yang sama, kami pun bersatu dalam kumpulan dan menyanyikan semula lagu-lagu popular dengan cara kami.
"Lagu-lagu tersebut seperti One More Night (Maroon Five), Rolling in the Deep (Adele) dan Wish You Were Here (Avril Lavigne) telah dimuat naik ke YouTube. Tidak sangka pula diterima sebegitu rupa.
"Setelah kira-kira setahun memuat naik beberapa klip video di YouTube dengan menggunakan nama Iamneeta, kami mendapat perhatian syarikat rakaman NAR Records yang menawarkan untuk dijadikan artis rakaman," kata Patrick mewakili rakan-rakannya.
Grup itu hanya mempunyai nama Neeta dan tidak mengandungi dua lagi nama jejaka yang turut menganggotainya iaitu Anas dan Patrick.
Sampuk Neeta, grup itu pernah berhasrat untuk dikenali dengan nama lain. Namun, dia terpaksa akur untuk terus menggunakan Iamneeta kerana peminat telah mula mengenali mereka dengan nama itu.
"Saya membuka akaun di YouTube atas nama Iamneeta kerana suka-suka. Ketika itu, saya masih belum mengenali mereka. Setelah bersama, kami kekal menggunakan nama akaun di YouTube itu untuk memuat naik lagu-lagu versi 'cover' kami itu.
"Sebenarnya, saya sendiri sedikit kekok apabila hanya nama saya seorang tertera pada nama grup ini. Namun, nama itu terpaksa dikekalkan kerana kami sudah dikenali sebagai Iamneeta," kata Neeta.
Mereka yang telah muncul dengan dua buah single berjudul Tuhan Tolong Aku dan Terima Kasih mendapat hit yang tinggi di YouTube. Lagu single Tuhan Tolong Aku telah ditonton lebih 520,000 kali manakala Terima Kasih sudah dilihat lebih 710,000 kali.
Selain itu, Iamneeta bersama-sama artis NAR Records bakal menjayakan sebuah lagu hari raya bagi memeriahkan sambutan perayaan itu tidak lama lagi.
"Menjelang Hari Raya Aidilfitri ini, Iamneeta bersama-sama Najwa Latif, Mimie Haris dan Deanna Hussin akan bergabung dalam sebuah lagu berjudul Hari Raya.
"Lagu itu merupakan ciptaan Patrick dan ia sebenarnya buat pertama kalinya sudah dirakamkan pada tahun lalu. Namun, ia diberi nafas baharu dan lebih meriah apabila dinyanyikan secara beramai-ramai. Ia menampilkan rentak dan lirik ringkas yang dijangka mudah diterima oleh golongan pendengar muda," kata Neeta.
Iamneeta juga kini dalam proses akhir menyiapkan sebuah album penuh yang dijangka berada di pasaran pada hujung tahun ini. Album yang kesemua lagunya dicipta oleh Patrick itu akan mengandungi enam buah lagu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: