Saturday, July 6, 2013

Menyingkap sejarah Pulau Robben



PEMANDANGAN Gunung Meja yang diambil dari atas feri.


SEWAKTU melawat Cape Town di Afrika Selatan, penulis berkesempatan melawat Pulau Robben yang merupakan salah satu daripada enam destinasi percutian yang mesti dilawati di bandar tersebut.
Perkataan Robben berasal daripada bahasa Belanda yang membawa maksud singa laut. Menurut sejarah, pada masa dahulu pulau tersebut ialah tempat memburu singa laut, penguin dan kura-kura untuk dijadikan makanan.
Di sana, penulis membeli tiket feri berharga ZAR220 (RM100) di Nelson Mandela Gateway yang terletak berhampiran menara jam di Victoria and Alfred Waterfront.
Feri tersebut diberi nama Sikhululekile yang bermaksud kami merdeka dalam bahasa Xhosa iaitu bahasa utama Afrika Selatan. Tiket berkenaan merangkumi perjalanan pergi dan balik ke Pulau Robben, lawatan ke Penjara Kawalan Maksimum, sesi soal jawab bersama bekas tahanan politik dan lawatan bas selama 45 minit mengelilingi pulau yang bentuk muka buminya rata.
Perjalanan menaiki Sikhululekile dari Nelson Mandela Gateway ke Jeti Teluk Murray, Pulau Robben mengambil masa selama setengah jam. Sewaktu di atas feri, kami sempat mengabadikan gambar kenangan pemandangan Cape Town dari Selat Meja.
Penulis teruja menyaksikan pemandangan indah Gunung Meja yang menjadi kebanggaan penduduk Cape Town.
Kawasan penjara
Bahkan, ketika berlabuh di Pulau Robben, penulis turut terpesona dengan kehadiran sekumpulan burung bangau dan camar yang hinggap di batu-batu laut. Ia seakan-akan memerhati dan mengalu-alukan kedatangan penulis untuk meneroka sejarah pulau tersebut.
Sesampainya di sana, penulis tertarik dengan bait-bait kata yang terpampang di dada bas iaitu ‘Perjalanan tidak terasa jauh bila kemerdekaan ialah destinasinya’.
Maksud ayat tersebut sangat mendalam kerana ia menggambarkan sejarah ahli politik yang ditahan di pulau tersebut demi membebaskan negara daripada cengkaman penjajah asing.

PENULIS merakam gambar sebagai tanda kenangan berkunjung ke Pulau Robben.


Penulis cukup bertuah kerana ketika berkunjung ke kawasan penjara, penulis berkenalan dengan seorang mantan tahanan politik yang juga pemandu pelancong kami iaitu Itumeleng Makwela.
Menurut Itumeleng, pada mulanya dia sukar membuat keputusan untuk kembali ke pulau yang menyimpan pelbagai kenangan silam itu.
Namun, berbekalkan semangat kental untuk berkongsi cerita sebenar di sebalik kisah-kisah yang dilalui di penjara, dia mencekalkan hati dan menganggap apa yang dilakukan kini adalah satu terapi untuk mengurangkan kesedihan dan keperitan yang menghantui dirinya.
Pulau Robben yang terletak kira-kira 11 kilometer dari pesisir pantai Cape Town ialah bekas tapak sebuah penjara dengan keluasan 507 hektar. Pulau berkenaan juga merupakan pusat latihan dan pertahanan askar pada Perang Dunia Kedua.
Selain itu, terdapat hospital untuk pesakit kusta, pesakit jiwa dan pesakit kronik di pulau tersebut.
Lebih menarik, penjara tersebut melakar sejarah besar dunia apabila dihuni oleh pemenang Anugerah Nobel Keamanan 1993 merangkap pejuang antiaparteid dan mantan Presiden Afrika Selatan iaitu Nelson Mandela. Beliau ditahan selama 18 tahun di Penjara Kawalan Maksimum sebelum dipindahkan ke Penjara Pollsmoor dan Penjara Victor Verster.
Kuari batu kapur
Antara tahanan politik lain yang dipenjarakan di pulau tersebut ialah Robert Sobukwe, Kgalema Motlanthe dan Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma.
Semasa melawat kawasan penjara, penulis berjaya menjejakkan kaki ke dalam sel penjara awam yang boleh memuatkan seramai 50 hingga 60 tahanan pada satu-satu masa. Beberapa katil yang pernah digunakan banduan dikekalkan untuk tujuan pameran.
Kemudian penulis dibawa melawat ke kawasan Penjara Kawalan Maksimum, tempat Mandela pernah ditahan. Sel yang didiaminya sangat kecil dan cuma ada alas kain untuk tidur, dua bantal kecil, sehelai selimut, sebuah meja kecil dan sebuah tong kosong yang digunakan sebagai tandas.

SEKILAS pandang, pasti tiada siapa menyangka tempat ini merupakan kawasan penjara di Pulau Robben.


Selepas meninggalkan kawasan penjara, perjalanan diteruskan dengan lawatan menaiki bas mengelilingi kawasan pulau. Penulis dan pelancong lain dibawa melalui kawasan kuari batu kapur, rumah api, kawasan perkuburan pesakit kusta, Pantai Long Bay, sekolah dan Kramat Moturu.
Kawasan kuari tersebut ialah tempat tahanan kawalan maksimum seperti Mandela bekerja selama 13 tahun. Batu-batu kapur itu dipecahkan secara manual kepada ketulan kecil untuk dibuat batu jalan raya, bangunan penjara dan Istana Good Hope di Cape Town.
Walaupun jauh dari kawasan tumpuan penduduk, kemudahan sekolah untuk kanak-kanak setempat turut disediakan. Sekolah tersebut mempunyai empat guru tetap yang mengajar anak-anak pekerja muzium yang berumur antara enam hingga 11 tahun.
Kunjungan ke Pulau Robben meninggalkan kesan yang mendalam kepada penulis kerana berpeluang mengetahui secebis kisah berharga tentang sejarah tokoh pemimpin dunia dan perjuangannya mendapatkan kemerdekaan.
Pulau Robben sudah pasti akan kekal sebagai simbol perjuangan menentang penjajahan dan dasar aparteid yang boleh dijadikan peringatan serta pengajaran kepada generasi akan datang. Ia bukan sekadar pedoman untuk rakyat Afrika Selatan malah masyarakat dunia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: