Saturday, July 6, 2013

Tarikan hidupan malam di Kemaman



MENTARI perlahan-lahan membenamkan diri di ufuk barat tanda senja sudah bermula. Langit biru laut berubah warna kepada jingga. Begitu indah pandangan saat itu, semuanya atas kebesaran Maha Esa. Sayup-sayup azan Maghrib berkumandang memanggil jemaah untuk pulang ke rumah atau menuju ke masjid berhampiran. Ketika ini juga, seorang demi seorang nelayan kembali ke daratan selepas hampir seharian menebar jala mencari hasil laut.
Di jeti kecil Sungai Yak Yah yang terletak kira-kira 30 minit dari bandar Chukai, Kemaman, Terengganu, senja merupakan antara waktu tersibuk di kawasan itu. Nelayan yang pulang daripada menangguk udang disambut penduduk setempat yang mahu membeli terus hasil tangkapan tersebut.
Urus niaga antara pembeli dan penjual berlaku dengan pantas. Dialek Terengganu menjadi perantara utama dalam sesi jual beli. Jadi harga yang diberikan juga sesuai untuk taraf penduduk asli negeri Darul Iman itu.
Kawasan jeti kemudiannya dibanjiri kenderaan dengan nombor plat dari negeri-negeri lain. Tidak ketinggalan van dari hotel dan resort berhampiran berisi penumpang yang kebanyakannya pelancong asing.
Kumpulan orang luar itu kemudiannya bertemu seorang lelaki tempatan yang baru selesai membersihkan bot miliknya. Pada bot tersebut tertera perkataan bahasa Inggeris fireflies watching bersama nombor telefon lelaki tersebut.
Usai enjin bot dihidupkan, lelaki berusia 47 tahun itu menyerahkan jaket keselamatan kepada kumpulan tadi sebelum mereka melangkah naik ke dalam bot. Selepas berpuas hati dengan kedudukan penumpang, Che Ghani Che Mohd. Nor pun memandu botnya menyusuri Sungai Yak Yah.
Harapan yang dibawa kumpulan pelancong itu untuk menyaksikan keindahan cahaya kelip-kelip kian kuat dirasakan. Saat bot Che Ghani menghampiri dahan pohon yang hampir mencecah permukaan air, kerlipan malap beberapa ekor kelip-kelip mula kelihatan.
“Malam ini bulan terang, jadi kelip-kelip tidak banyak yang keluar. Cahaya merupakan gangguan kepada mereka termasuklah asap,” jelas Che Ghani yang menggerakkan botnya menggunakan enjin bateri bagi mengelakkan pembentukan asap dan bunyi bising.

TELUR-TELUR penyu dikutip oleh renjer pantai dan kemudiannya dihantar ke pusat santuari berhampiran.


Daripada puluhan jenis pokok yang memagari tebing sungai itu, Che Ghani memberitahu, pokok putat, bebaru dan berembang menjadi tiga pohon kegemaran kelip-kelip. Pada siang hari, serangga daripada keluarga kumbang itu akan berlindung di bawah daun-daun kering.
Mengawan
Perjalanan merentasi sungai yang terletak di Kampung Ibok itu memakan masa selama 45 minit sehingga satu jam. Sepanjang tempoh itu, para penumpang dibawa menyusuri kawasan sungai yang gelap-gelita. Timbul sedikit kerisauan apabila masing-masing tidak dapat melihat keadaan keliling dengan jelas.
Namun perasaan itu lenyap selepas terlihat panorama indah yang bergemerlapan di hadapan. Jutaan kawanan kelip-kelip memenuhi hampir setiap ceruk pohon. Ia ibarat berpesta dan berkelip mengikut formasi yang unik.
Ujar Che Ghani: “Nak tahu jantina kelip-kelip, tengok keterangan cahayanya. Kerlipan jantan lebih terang berbanding betina tetapi cahaya yang paling terang itu datangnya daripada dua kelip-kelip yang sedang mengawan.
“Selepas proses mengawan, kelip-kelip jantan akan mati manakala sang betina mati selepas bertelur. Sebelum berubah menjadi kelip-kelip dewasa, ia perlu melalui tiga kitaran bermula daripada telur, larva dan pulpa. Proses ini memakan masa selama tiga bulan tetapi selepas menjadi dewasa, ia hanya boleh hidup selama 10 hari.”

PENYU agar naik untuk bertelur sebanyak lapan hingga 10 kali dalam setahun.


Pengalaman Che Ghani selama 12 tahun membawa pelancong menikmati keindahan kelip-kelip di Sungai Yak Yah banyak memberi ilmu kepadanya. Bapa kepada lima cahaya mata itu mampu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan baik dan menerangkan spesifikasi kelip-kelip di kawasan itu secara saintifik dengan cemerlang.
Suhaili Shamsudin, 39, antara pelancong tempatan yang pertama kali merasai pengalaman menyaksikan kelip-kelip di kawasan itu. Wanita dari Klang, Selangor itu mengetahui lokasi pelancongan itu daripada internet dan tidak menyangka wujud tempat menarik sebegitu di Kemaman.
“Selalunya kalau bercakap pasal kelip-kelip orang akan terfikir tentang Kuala Selangor. Tidak saya jangka Terengganu memiliki pusat pembiakan kelip-kelip yang menakjubkan dan wajar dilawati lebih ramai orang,” tambah Suhaili yang ditemani suami dan empat anaknya.
Penyu bertelur
Tamat sesi bersama kelip-kelip, Che Ghani membawa kumpulan pelancong itu menuju ke Pantai Teluk Mak Nik yang juga terletak di dalam daerah Kemaman. Selepas mendapat maklumat daripada renjer pantai itu, Che Ghani terlebih dahulu memberi taklimat ringkas tentang lawatan penyu bertelur.
Setiap pelancong diingatkan supaya tidak membuat pergerakan yang banyak ketika berada di sepanjang pesisir pantai. Kata Ghani: “Penyu sangat sensitif terhadap pergerakan. Sebab itu sebelum ia naik ke darat untuk bertelur, ia akan meninjau dahulu kawasan yang ingin dinaiki. Walaupun telah separuh perjalanan di atas pasir pantai, penyu tidak teragak-agak untuk berpatah balik ke dalam air jika terlihat pergerakan yang mencurigakan.
“Cahaya lampu suluh juga telah ditetapkan ketika melihat penyu bertelur. Paling penting adalah untuk tidak berdiri di depan muka penyu ketika bertelur. Ia akan mengganggu kelancaran bertelur, malah boleh membuatkan penyu ‘merajuk’ dan tidak mahu kembali ke pantai yang sama.”
Nasib kumpulan pelancong pada malam itu sangat baik. Menjelang tengah malam, dilaporkan terdapat kira-kira lapan ekor penyu agar naik mendarat untuk bertelur. Che Ghani memilih seekor penyu betina yang sedang bertelur di bawah sebatang pokok.
Dalam kekaguman menyaksikan momen indah itu, tumpuan pasti terarah kepada mata ibu penyu yang seakan-akan mengalirkan air mata. Seorang kanak-kanak lingkungan umur 10 tahun yang turut sama dalam kumpulan itu mengadu kepada bapanya: “Ayah, kesian penyu itu sakit sampai menangis.”
Begitu murni pemahaman seorang anak kecil terhadap pengorbanan ibu yang melahirkan anak. Biarpun ia haiwan, masih terbit bibit kasihan terhadap penyu tersebut dalam diri kanak-kanak itu. Namun, renjer itu memberitahu, air mata ibu penyu itu bertujuan melindungi matanya daripada dimasuki pasir.
Selepas bertelur, ibu penyu itu perlu mengambus pasir mengikut arah lawan jam. Ia menggunakan kedua-dua belah kaki hadapannya bagi menguis pasir yang telah dikorek sebelum bertelur. Keseluruhan proses bertelur boleh memakan masa mencecah tiga jam.
Mungkin ada yang menyifatkan aktiviti tersebut seperti melanggar hak kebebasan spesies yang sedang diancam kepupusan itu. Bagaimanapun, ia masih menjadi antara tarikan pelancongan utama di Terengganu.
Melihat penyu bertelur memberikan satu pendidikan bermanfaat kepada pengunjung. Ia menjadi pengalaman berilmu yang tidak dapat diperoleh di sekolah mahupun menerusi buku atau internet.
“Kami sangat tegas ketika membawa pelancong melihat penyu bertelur. Dalam satu kumpulan, kira-kira 20 orang sahaja dibenarkan melihat seekor penyu yang sedang bertelur.
“Pelancong juga tidak dibenarkan mengambil gambar penyu menggunakan kamera dengan flash. Cahaya itu boleh menjejaskan mood penyu dan membuatkan mereka berasa terancam. Orang ramai juga tidak dibenarkan sama sekali naik di atas badan penyu atau menghalang laluannya ketika ia kembali ke air,” panjang lebar penerangan Che Ghani.
Tambah Che Ghani, telur-telur penyu yang dipungut oleh renjer pantai perlu dihitung dan dimasukkan ke dalam plastik sebelum dihantar ke pusat santuari penyu berdekatan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: