Saturday, July 6, 2013

Fantasi gunung-gunung terapung



DUA orang pengunjung berhenti merakamkan gambar kenangan mereka menggunakan kamera segera yang disediakan.



JIKA anda penggemar filem fantasi sains fiksyen Avatar (2009), anda pasti boleh membayangkan pemandangan menakjubkan gunung-gunung terapung di Planet Pandora.
Kecanggihan teknologi imej janaan komputer (CGI) yang digarap oleh pengarah berpengaruh Hollywood, James Cameron berjaya menjadikan filem tersebut kelihatan seperti sebuah dunia nyata.
Gambaran tersebut sebenarnya sebuah fantasi yang direka oleh Cameron setelah mendapat inspirasi daripada pergunungan batu berbentuk tiang gergasi di wilayah Hunan, China. Ia persis seperti yang anda lihat dalam filem berkenaan.
Gunung yang terletak di Taman Negara Zhangjiajie terbentuk selepas mengalami hakisan selama beribu-ribu tahun.

TAMAN Negara Zhangjiajie berkeluasan 4,816 hektar.


Cuaca di kawasan tersebut lembap sepanjang tahun menyebabkan kehidupan flora tumbuh padat di atas permukaan gunung itu.
Taman negara tersebut terletak kira-kira 32 kilometer (km) dari kawasan bandar Zhangjiajie dan 28km dari kawasan indah Wulingyuan. Ia digambarkan seperti sebuah destinasi pelancongan yang berdiri megah, mendamaikan dan aneh.
Keseluruhan hakisan yang membentuk tiang batu tersebut adalah hasil daripada pengembangan ais pada musim sejuk dan tumbuh-tumbuhan yang hidup di atasnya.
Ia dianggap proses pembentukan landskap China yang berbeza dan sering dijadikan subjek lukisan Cina purba.
Pada tahun 1982, taman negara yang seluas 4,816 hektar tersebut mendapat pengiktirafan sebagai taman negara hutan yang pertama di China.

LALUAN udara untuk pejalan kaki yang diperbuat daripada kaca setebal enam sentimeter berada pada ketinggian 61 meter.


Sedekad berikutnya, destinasi pelancongan tersebut disenaraikan dalam Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Ia kemudiannya diluluskan oleh Kementerian Tanah dan Sumber kerajaan China sebagai Puncak Hutan Batu Pasir Geopark Negara (Zhangjiajie) pada 2001.
Malangnya, tidak banyak lokasi sehenti disediakan untuk pengunjung menikmati pemandangan keseluruhan taman negara tersebut.
Pada 25 Januari 2010, gunung tersebut secara rasminya dinamakan Hallelujah sebagai penghormatan terhadap kejayaan filem Avatar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: