![]() |
|
|
CERITA pergaduhan antara Alyah serta pengurusnya Syuib dengan pengarang hiburan sebuah organisasi media sudah tidak dapat ditutup lagi.
Semakin memburukkan keadaan, Alyah dikatakan mengambil tindakan untuk memboikot pihak media terbabit. Seperti yang semua sedia maklum, media dan artis saling memerlukan antara satu sama lain. Hubungan baik yang bertahun-tahun terbina akhirnya lebur oleh sebab yang remeh.
Perbalahan yang dikatakan berpunca daripada salah faham itu menjadi berapi-api apabila kedua-dua pihak mula berkira-kira untuk memboikot antara satu sama lain.
Penyanyi Kisah Hati tersebut dikatakan menyalahkan media berkenaan gara-gara artikel yang berjudul Alyah Tunggu Pinangan Ramli MS.
Tidak berpuas hati terhadap fakta dan cara penulisan artikel terbabit, pihak pengurusan Alyah mengugut untuk memboikot media terbabit.
Isu yang berlaku antara Alyah bersama pengarang dan akhbar itu muncul semula apabila sebuah lagi artikel yang bertajuk Alyah Mahu 'Gam' Media? turut disiarkan.
Sejurus artikel berkenaan tersebar, penyanyi yang kini sudah berhijab menjadi terpinga-pinga. Dia terkesima dan tidak menyangka perkara itu menjadi satu isu yang besar.
Hatinya rusuh dan fikirannya ditimpa pelbagai persoalan. Hasil temu bual menerusi telefon, Alyah mendakwa jadualnya sangat padat untuk dia bertemu para petugas media bagi menjernihkan situasi.
Ketika sedang melakukan latihan nyanyian, dia meminta kebenaran untuk memberi mesej berupa teks untuk diterbitkan.
Dengan harapan agar situasi itu tidak berlarutan atau menjadi bertambah keruh, Alyah mengaku dia bersedia meminta maaf jika kesalahan itu dilihat datang daripada pihaknya.
Berikut merupakan isi teks mesej yang disampaikan oleh penyanyi itu berkaitan selisih fahamnya dengan media itu dengan pengurusnya, Syuib yang membawa kepada kekeruhan antara dirinya serta pihak media.
"Saya tidak tahu apakah perbincangan antara Syuib, pengurus saya dan wartawan tersebut. Saya cuma rasa kecewa kenapa cara penulisannya seolah-olah seperti dia memang bercakap dengan saya. Kalau daripada pihak saya yang bersalah, saya mohon maaf."
Petikan WhatApps daripada Alyah juga berbunyi begini:
"Daripada tajuk berita yang telah keluar yang menyatakan Alyah gam media, itu membuatkan hati wartawan lain terguris. Saya rasa kecewa sebab itu bukan keluar daripada mulut saya.
"Saya tidak kisah untuk meminta maaf. Cuma sampai sekarang saya masih terpinga-pinga kerana saya tidak pernah berkata begitu (gam media).
"Saya dan Syuib masih okey dan memang terbuka tentang kerja. Saya tidak rasa semua ini adalah penamat kerjaya saya. Hubungan Alyah dan Syuib sebagai pengurus juga masih okey."
Akhir kata daripada Alyah, dia menyedari hakikat kehidupan bahawa dirinya tidak akan mampu memuaskan hati semua pihak.
"Hidup memang begini, saya tidak boleh buat semua orang suka saya. Apa pun saya reda. Dan jika salah dan silap daripada pihak saya, saya mohon maaf," katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: