Saturday, January 12, 2013

Warga emas gagahi pendakian

SALLEH (tengah) mengabdikan kenangan mendaki Gunung Everest bersama anggota rombongan lain.


BEKAS Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, Tan Sri Dr. Salleh Mohd. Nor, 72, bukan calang-calang orang.
Beliau yang juga Pro-Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merupakan warga tertua yang pernah sampai Kem Pangkalan Everest (EBC), di gunung tertinggi dunia itu.
Pendakian selama sembilan hari bersama dua petugas dan lima siswazah UTM pada 2 November lalu bermula di Kathmandu, ibu kota Tibet yang disifatkannya sebagai suatu ujian ketahanan. Berikut ialah catatan perjalanan beliau:
Langkah pertama
Selepas membuat persiapan dan membeli peralatan mendaki, kami meninggalkan Kathmandu pada dua hari selepas itu menaiki pesawat 18 tempat duduk, Dornier 228-200, milik Tara Airlines. Penerbangan selama setengah jam itu menuju Lukla.
Jika bernasib baik, cari tempat duduk di sebelah kiri pesawat kerana anda akan menyaksikan pemandangan indah banjaran gunung Himalaya yang diselaputi salji serta Gunung Everest. Pemandangan itu sungguh menakjubkan.
Kami mendarat di lapangan terbang Lukla yang mempunyai landasan yang cerun dan sempit., malah kerana itu ia dianggap sebagai lapangan terbang paling bahaya di dunia.
Semasa tiba di Lukla, kami berjumpa dengan jurupandu Sherpa yang akan membawa kami ke EBC. Dari situ, kami mula berjalan - pengembaraan berjalan kaki yang terpanjang dalam hidup saya.
Dari Lukla, kami menuju ke utara. Di sepanjang laluan batu-batuan yang sempit, jelas kelihatan ia merupakan laluan yang kerap digunakan pendaki. Laluan itu tidak rata, berbatu-batan tetapi sesak dengan pendaki dari kedua-dua arah.
Sekumpulan yak berbulu hitam yang sarat membawa pelbagai bagasi, daripada peralatan pendaki hinggalah tong gas, makanan dan minuman juga boleh disaksikan.
Jeritan penggembala Sherpa yang cuba meyakinkan kumpulan yaknya, memecah kesunyian petang itu.

BERAMAH mesra dengan pelajar Sekolah Tinggi Khumjung selepas menyampaikan sumbangan panel solar dan buku di sekolah berkenaan.


Selepas pendakian selama enam jam setengah, kami sampai di Phakding pada pukul 7.50 malam. Kami bermalam di Buddha Lodge Restaurant and Bar.
Awal pagi esoknya, kami memulakan pendakian lagi. Kami melepasi banyak kumpulan yak sambil menyaksikan keindahan hutan pain pinus patula. Ketika berhenti, kami tidak melepaskan peluang untuk minum dan makan sedikit coklat bagi mengembalikan tenaga.
Selepas makan tengah hari di rumah persinggahan Mount Kailash Lodge, Monzu, kami bergerak semula memasuki Taman Negara Sagamartha yang berada pada ketinggian 2,865 meter atas paras laut.
Di pusat pemeriksaan tentera, kami melihat papan tanda 'No Photography' (dilarang mengambil gambar) yang jelas terpampang. Di situ, dua askar Gurkha berwajah tegas menyambut kedatangan kami.
Sejuk ekstrem
Dari pusat pemeriksaan itu, perjalanan kami setiap hari memakan masa selama enam hingga tujuh jam dengan menjejaki trek sempit berbatu dan berdebu.
Kami melepasi Somare, Dingboche Khumbu Resort, Champa, Thukle, dan akhirnya sampai di Gorak Shep (5,180 meter) pada 11 November. Hari-hari yang dilalui amat sejuk dengan suhu sekitar 5 hingga 10 darjah Celsius sementara suhu pada waktu malam turun 11 darjah Celcius di bawah paras beku.
Saya sudah mula hilang selera makan dan terasa mual serta hendak muntah setiap pagi. Saya memilih makan epal hijau dan garam. Pada pukul 7.25 pagi keesokannya, kami berlepas untuk penerokaan peringkat akhir ke EBC. Saya masih tidak mempunyai selera makan tetapi jurupandu Sherpa mendesak supaya saya menghabiskan semangkuk bubur untuk memberi tenaga.
Suhu ketika itu adalah 4 darjah Celsius dan jari-jari saya terasa kebas dan membeku. Sherpa kami terpaksa mengurut jari-jari itu untuk memastikan darah mengalir. Ia merupakan pendakian cerun berbatu yang curam dan saya sangat berterima kasih kepada jurupandu Sherpa dan Penolong Pendaftar UTM, Sabri Ahmad, yang kedua-duanya membantu dan memberi galakan sehingga kami akhirnya sampai ke EBC pada pukul 10.50 pagi.
Ketinggian ketika itu ialah 5,364 meter. Ia cukup melegakan dan saya menangis teresak-esak kerana bersyukur atas kejayaan tersebut selain teringat kepada semua yang mendoakan keselamatan saya.
Ia satu kejayaan kecil tetapi sukar dicapai. Untuk rekod, pada usia 72 tahun, saya menjadi warga Malaysia tertua sampai ke EBC, yang disahkan kemudian oleh Kedutaan Malaysia di Kathmandu.

PARA pendaki berhenti rehat bagi melepaskan lelah sebelum meneruskan pendakian.


Cuaca memang sejuk dengan glasier di sekeliling kami. Saya dipujuk untuk mencuba crampon (kasut dengan tapak berpasak) dan menggayakannya untuk bergambar di tubir curam berais.
Setiap pendakian ke puncak Everest mesti melalui EBC dan pasukan sokongan untuk mendaki yang berpangkalan di pusat tersebut. Ia mengambil masa sekurang-kurangnya dua bulan untuk mendaki ke puncak Everest (8,848 meter) dan pendaki mesti menyesuaikan diri dengan iklim di setiap beberapa ratus meter untuk keselamatan mereka.
Selepas merakamkan kejayaan kami dengan bergambar, kami meninggalkan EBC pada pukul 12.50 tengah hari dan perlahan-lahan berjalan turun melepasi semua rumah persinggahan yang kami lalui sebelum itu.
Hidung saya mula berdarah dan masih menghadapi masalah dengan selera makan saya. Kami akhirnya sampai di Lukla pada 18 November dan saya memilih makan nasi goreng sayur dan cili hijau mentah.
Sajian dan mandian panas
Kami akhirnya dapat menempah penerbangan keluar dari Kathmandu sebelum bermalam di Hotel Holy Malaya. Kami berkumpul di Restoran Halal Anatalya. Buat pertama kali selepas 18 hari, kami menikmati hidangan yang lengkap iaitu nasi beriani dan ayam tandoori. Ini diikuti dengan mandi pancuran air panas yang menyegarkan badan.
Fadli Adilah, Konsul Malaysia di Kathmandu meraikan kami dengan jamuan makan malam di sebuah restoran berkonsep taman iaitu The Garden of Dreams. Inilah pelengkap kepada keseluruhan pengembaraan itu.
Pengalaman tersebut merupakan sesuatu yang sukar dilupakan. Ia tuntas, memenatkan tapi sungguh memuaskan. Kaki saya masih terasa beban 18 hari mendaki secara berterusan. Berat badan saya susut sebanyak lapan kilogram tetapi kenangan mendaki itu akan terus segar dalam ingatan saya.
Saya gembira kerana sihat sepanjang pengembaraan cuma saya jatuh sakit apabila kembali ke rumah. Serangan demam dan selesema menyebabkan saya terpaksa berjumpa doktor sebanyak dua kali.
Atas kejayaan itu, saya ingin merakamkan penghargaan tulus ikhlas kepada Lembaga Amanah UTM atas kebenaran dan sokongan terhadap lawatan tersebut termasuk Naib Canselornya, Prof. Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang.

BEGINILAH rupa penginapan di EBC yang dilatari pemandangan yang mengasyikkan.


Tidak lupa kepada Sabri dan Siti Salamah, Penolong Pendaftar Kanan, UTM kerana menemani saya dan memberi galakan sepanjang pengembaraan tersebut.
Begitu juga kepada jurupandu Sherpa, Deep (Hasta) Bahadur Tharpa Magar, Pasang Nuru Sherpa dan Da Nurbu Sherpa atas bantuan mereka membuatkan impian itu menjadi nyata.
Ia benar-benar satu ujian ketahanan bagi saya dan saya bersyukur kerana lulus.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: