|
SETELAH sekian lama menunggu, pengedar kenderaan jenama Suzuki di Malaysia, Suzuki Malaysia Automobile Sdn. Bhd. (SMA) akhirnya melancarkan kompak sporty popularnya, Swift pada minggu lalu.
Kalau hendak diikutkan, kehadirannya memang agak lambat memandangkan Swift generasi ketiga itu sudah pun berada di pasaran luar sejak 2010 lagi. Tidak mengapa, barang baik kenalah tunggu lama sedikit, betul tak?
Sejak dahulu lagi, Swift memang menjadi model penting buat Suzuki. Selaku pengeluar kenderaan yang tidaklah sebesar Honda atau Toyota, menghasilkan produk yang popular dan boleh dijual dalam tempoh lebih lama amat penting. Berbeza dengan pemain industri dari Jepun yang lain, kitaran hayat Swift adalah selama enam tahun.
Sehingga kini, Swift telah dipasarkan di lebih 100 buah negara dan cukup terkenal di pasaran Eropah serta Asia. Bukan setakat popular, Swift juga mendapat sebanyak 63 pengiktirafan Car of the Awards di 19 buah negara termasuk Malaysia.
Berbeza dengan Swift sebelum ini yang dihasilkan di kilang milik DRB-Hicom di Pekan Pahang, Swift baharu dibawa masuk ke pasaran tempatan dalam bentuk import sepenuhnya (CBU) dari Thailand.
Bukti kesungguhan
Lebih tepat lagi, sebanyak 900 unit Swift ditawarkan sebelum jentera itu dikilangkan secara tempatan atau CKD. Tarikhnya dijangka bermula Mac depan. Selain harga yang mungkin sedikit rendah (bergantung kepada berapa banyak komponen tempatan yang digunakan), program CKD membolehkan lebih banyak varian ditawarkan kepada pengguna.
Pengarah Kumpulan, Automotif dan Pertahanan DRB-Hicom, Datuk Abdul Harith Abdullah menyatakan Swift yang ditawarkan pada harga RM77,888 seunit termasuk insurans menjadi bukti kesungguhan pihaknya untuk memperoleh peratusan pasaran lebih signifikan di Malaysia.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Suzuki mengalami pertumbuhan kukuh di pasaran antarabangsa dan Malaysia. Bagi tahun kewangan 2011/2012 misalnya, SMA telah menjual sebanyak 7,595 unit kenderaan, peningkatan sebanyak tujuh peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. Swift merupakan penyumbang terbesar apabila mewakili 73 peratus daripada jualan keseluruhan.
“Kami menjangkakan 2013 kekal positif buat Suzuki. SMA juga menyasarkan untuk meningkatkan jualan kenderaannya sebanyak sepuluh peratus untuk tahun kewangan kali ini,” tambah Abdul Harith.
Sekali pandang, mungkin ramai yang beranggapan bahawa Swift baharu tidak jauh bezanya dengan model terdahulu. Memang betul, jentera itu masih mengekalkan imej Swift generasi kedua secara keseluruhannya.
Apa yang berbeza adalah bahagian belakangnya sedikit bulat, selain lampu hadapan dan belakang tampil lebih menarik. Walaupun begitu, harus diakui bahawa rupa itu kelihatan seperti tidak ketinggalan zaman.
Itu secara kasarnya, kalau diteliti lebih mendalam, model serba baharu itu sebenarnya sudah menerima banyak penambahbaikan. Dari segi saiznya, ia lebih besar berbanding model terdahulu.
Keseluruhan dimensinya sudah berubah. Sebagai contoh, panjangnya bertambah kepada 3,850 milimeter (mm), sebelum ini hanya 3,755mm). Lebar menjadi 1,695mm (1690mm) dan tapak rodanya juga telah berubah kepada 2,430mm (2,390mm) sebelum ini.
Dimensi itu bukan sekadar membuatkan kompak sporty tersebut berasa lebih luas, malah meningkatkan kestabilan dan keseronokan pemanduan yang sememangnya cukup sinonim dengan Swift.
Rahsia sebenar dinamik pemanduan Swift terletak pada kerangkanya yang rigid, lebih lebar dan ringan. Kelebihan tersebut juga membolehkan sesaran enjin diturunkan menjadi 1.4 liter berbanding 1.5 liter sebelum ini.
Tidak timbul isu kekurangan kuasa kerana nisbah berat kuasa berjaya dimanfaat sepenuhnya. Malah, bahan api juga dapat dijimatkan sebanyak lima peratus, selain emisi lebih rendah. Swift yang hanya seberat 1,000 kilogram itu dipasang enjin K14B dengan sistem variable intake-valve timing (VVT).
Ia mampu menjana kuasa mencecah 95PS @ 6,000rpm (kurang 6PS berbanding enjin 1.5 terdahulu) dan tork puncak 130Nm @ 4,000rpm. Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear empat kelajuan serba baharu.
Hanya ditawarkan dalam satu varian iaitu GLX, Swift tampil lebih menawan apabila dipasang dengan pelbagai ciri menarik pada kabinnya. Suzuki menggunakan warna hitam sebagai rona utama ruang kabin Swift. Ia diserikan dengan kemasan perak untuk menyerlahkan imejnya yang sporty dan mewah.
Sistem kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin merupakan ciri standard Swift. Sementara konsol tengah dihuni oleh unit audio double DIN yang boleh memainkan muzik daripada format cakera padat dan MP3, selain sambungan USB.
Swift hadir dalam dua kategori warna itu warna aktif dan warna berasaskan kelabu. Antara warna yang dimaksudkan ialah merah, biru, putih, kelabu dan hitam.
Bagi mereka yang mengharapkan varian lebih berkuasa iaitu Swift Sport, anda perlu bersabar kerana ia bakal dilancarkan. Namun, masanya masih belum diputuskan oleh SMA.
“Moto ketika Swift serba baharu dibangunkan adalah ’More Swift!’ Moto itu bertujuan menjadikan jentera ini lebih sporty dari aspek prestasi dan pengendalian. Selain dinamik dari segi gayaan, kemasan dan lebih seronok untuk dipandu,” jelas Ketua Pegawai Serantau ASEAN, Suzuki Motor Corporation Japan, Shuji Oishi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: