CERIA...tampak menarik padanan selendang rona merah terang dan hijau pucuk pisang.
Bentuknya seolah-olah seperti bulan separuh itu tampak lebih menawan dengan kehadiran hiasan manik yang dijahit seperti bentuk bunga di bahagian atas selendang.
Tampak manis jika digayakan untuk majlis istimewa atau makan malam, selendang halfmoon kini juga boleh dipadankan ketika bersantai mahupun ke pejabat.
Menurut Pengarah Urusan Zaharah International Exports (M) Sdn Bhd, Zaharah Mohammad, pemakaian selendang halfmoon sudah berada di pasaran sejak Jun 2011.
Namun, ia semakin diminati bermula 2012 kerana penggunaan elemen perincian yang lebih menarik selain ia mudah digayakan.
“Selain mudah, material yang digunakan seperti fabrik sifon menjadikannya kelihatan lebih beralun dan mampu dibentuk kemas.
“Untuk tampak berbeza, ia boleh dipakai lebih daripada sehelai jika bijak mengadun warna dan menggunakan elemen perincian yang ditampilkan pada selendang.
“Mengubah gaya pemakaian selendang ini tidak sukar kerana bentuknya yang separuh bulat memudahkan lagi si pemakai membentuk penampilan,” katanya yang turut menjadi pengedar kepada penjual tudung dan selendang di Indonesia, Bangladesh serta Sri Lanka.
Menariknya, setiap selendang yang dihasilkan mengikut cita rasa pengguna masa kini yang mahukan koleksi unik untuk digayakan dengan pelbagai cara.
Tambahnya, bagi memberi penampilan yang eksklusif kepada Muslimah hari ini, Zaharah menggunakan elemen perincian seperti renda, manik dan reben sebagai penambah daya tarikan.
Rekaan sebelum ini diubah suai menjadi penampilan yang baru bagi memperlihatkan kepelbagaian pilihan khusus untuk Muslimah yang mementingkan gaya.
Justeru, mereka yang gemar dengan penampilan berbeza bukan hanya dilihat pada tudung atau selendang yang ditukar setiap hari tetapi bijak mengubah cara lilitan.
Ia bagi memadankan gaya diinginkan sama ada kasual, santai mahupun tampil anggun untuk ke majlis makan malam atau menghadiri undangan perkahwinan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: