Wednesday, January 2, 2013

Suasana kolonial di Coliseum Cafe


MAKANAN laut seperti udang (kiri) dan ketam turut berada dalam senarai menu Coliseum Cafe.


MELANGKAH kaki ke dalam ruang Coliseum Cafe and Grill Room (Coliseum Cafe), serta-merta mood pengunjung seperti berada pada tahun 60-an.
Perhiasan terdiri daripada gambar dan kemasan lantai masih lagi terpelihara sejak ia dibuka pada tahun 1921.
Tiada muzik latar menyambut kedatangan para pelanggan pada waktu makan tengah hari, cuma bunyi kipas lama kedengaran berkeriuk.
Namun, ia menambahkan lagi suasana kolonial di Coliseum Cafe.
"Amat susah untuk menjaga sebuah restoran lama supaya ia terpelihara. Lantai sahaja perlu dilap sebanyak tiga kali sehari," kata pengurus operasinya, Kenneth Abdullah ketika ditemui di restoran yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.
Bukan sahaja suasana, menu hidangan sebanyak 75 jenis tidak pernah berubah sejak dahulu lagi, manakala tukang masak sekarang sudah berkhidmat lebih 60 tahun.
Terkenal dengan gaya masakan cantuman Hailam dan kolonial Barat. Tidak mungkin orang ramai dapat menikmati hidangan yang terdapat di Coliseum Cafe di tempat-tempat lain sama ada di Pulau Hainan, China atau Eropah.
Hidangan yang menjadi identiti Coliseum Cafe ialah stik sizzling yang didatangkan sama ada dengan kuah lada hitam, cendawan atau sos coklat dan bawang putih.
Harga stik sizzling antara RM35.90 hingga RM63.90 bergantung pada jenis daging yang dipilih. Terdapat juga stik yang dimasak dengan gaya biasa.
Cara terbaik untuk menikmati stik adalah dalam keadaan dimasak pada tahap medium kerana ia masih lagi memiliki jus dan rasa stik daging.
"Kepada mereka yang tidak suka aliran jus itu, lebih baik mencuba stik yang dimasak pada tahap medium well. Apabila dimasak pada tahap tersebut, masih lagi terdapat satu garisan merah pada keratan rentas daging tetapi tiada lelehan jus," terang Kenneth.
Tip nikmati stik
Lelaki yang telah berkhidmat dalam bidang makanan selama 26 tahun itu turut memberi tip cara untuk mengenali kekerasan daging yang dimasak pada tahap tertentu.
Caranya adalah dengan menekan jari telunjuk pada tapak tangan. Kekerasan dirasai itu menyamai stik yang dimasak secara medium.
Pemilihan bahagian daging untuk menikmati stik bergantung sama ada mahu yang tiada lemak langsung atau sedikit berlemak.
Jika tidak mahu lemak, pilih daging filler meat (daging pengisi), seperti daging batang pinang, semua lemak dibuang. Bagi yang gemar sedikit berlemak, bahagian tulang T (T-bone) merupakan pilihan yang tepat.
Pencuci mulut yang terdapat di Coliseum cafe juga sangat menarik seperti puding kastard karamel, pisang goreng dengan krim dan popia pisang bersama coklat dengan aiskrim vanila.
Pisang goreng dengan krim memiliki lapisan rangup nipis bahagian luar, manakala bahagian dalam pisang sangat lembut dan halus.
Ia diselaputi madu bagi memperkaya rasa yang terdapat pada pisang tersebut. Puding kastard karamel di Coliseum Cafe pula tidak terlalu manis kerana dimasak sedikit hangus.
Selepas menikmati pencuci mulut, secawan kopi Hainan yang dibancuh secara tradisional cukup untuk menutup majlis makan tengah hari.
"Rasa pahit dan sedikit keras yang berkekalan dalam mulut selepas menghirupnya memberi perasaan yang tenang kepada peminum," ujar Kenneth sambil meletakkan cawan kopinya ke atas meja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: