Thursday, January 3, 2013

Sabon akhirnya tersungkur


KUMPULAN Sabon hanya mampu bertahan sehingga minggu ketujuh dalam Maharaja Lawak 2 ini.


MENJADI juara Maharaja Lawak Mega (MLM) pada musim pertama bukan satu jaminan untuk Abon mengulangi semula kejayaannya itu pada musim kedua ini.
Dia yang muncul berpasangan dengan Sathiya menerusi kumpulan Sabon akhirnya terpaksa menghentikan usaha dan perjuangan mereka di gelanggang MLM musim kedua apabila diumumkan sebagai kumpulan yang tersingkir pada minggu ketujuh, Jumaat lepas.
Setelah tiga minggu berturut-turut berada di kedudukan tiga yang terendah, Sabon terpaksa menerima kenyataan bahawa lawak yang diketengahkan oleh mereka pada minggu ini gagal memenangi hati juri dan penonton.
Ketika ditemui sejurus selepas berakhirnya program tersebut, Abon berkata, meskipun berasa kecewa dengan keputusan itu, namun mereka berpuas hati dengan pencapaian yang telah dibuat sehingga minggu ketujuh.
“Berjaya bertahan sehingga minggu yang ketujuh pun sudah cukup membuatkan kami berasa gembira dan ia merupakan satu kejayaan buat kami.
“Hal ini kerana rakan-rakan pelawak lain yang sezaman dengan kami telah pun meninggalkan gelanggang MLM 2 sejak awal-awal lagi dan ini membuktikan bahawa peminat masih boleh menerima lawak yang kami ketengahkan,” ujarnya yang muncul sebagai juara MLM musim pertama bersama dengan Os menerusi kumpulan Osbon.
Bagi Sathiya pula, Sabon telah memberikan persembahan yang terbaik pada setiap minggu. Bagaimanapun, mereka terpaksa akur dengan format pemarkahan pertandingan itu yang turut mengambil kira undian khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada penonton.
“Jika diikutkan, kami sering mendapat komen yang positif daripada juri, namun memandangkan penonton turut menyumbang sebanyak 30 peratus melalui undian SMS, kami terima keputusan ini dengan hati terbuka.
“Bagaimanapun, perjuangan kami dalam bidang lawak tidak akan terhenti di sini kerana kami akan terus berlawak walau di mana-mana sahaja memandangkan ini adalah dunia kami,” katanya yang telah menceburi bidang lawak jenaka selama 28 tahun.
Gelanggang MLM minggu ketujuh menyaksikan tujuh kumpulan perlu mencabar kreativiti mereka apabila diberikan dua tema tugasan, iaitu Loghat dan Kembali ke Sekolah.
Jozan dan Jambu dilihat yang paling berjaya mencuri hati penonton apabila lawak bersahaja yang dibawakan mereka berjaya menggamatkan auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), terutamanya babak antara seorang guru dengan pelajar oleh kumpulan Jambu yang dianggap oleh juri sebagai kreatif dan lain daripada yang lain.
Jambu bagaimanapun dikritik oleh juri, Lisa Surihani sebagai membawakan jalan cerita yang kabur, namun tetap menghiburkan untuk drama di kedai tomyam bagi pusingan yang pertama.
Begitu juga bagi Jozan yang dianggap sebagai bernasib baik oleh juri, Najib Ali kerana mempunyai aura yang membuatkan penonton akan ketawa tidak kira walau apa pun yang mereka lakukan.
Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada satu-satunya kumpulan yang berasal dari Indonesia yang masih lagi bertahan, iaitu Saywho yang mencuba untuk bercakap dalam dialek Kelantan, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Meskipun kedengaran janggal, mereka berjaya membuktikan kepada penonton bahawa mereka merupakan pelawak yang versatil.
Kedudukan peratusan keseluruhan bagi minggu ketujuh menyaksikan Jozan mengungguli carta dengan 70 peratus, Jambu (62 peratus), Shiro (62 peratus), Saywho (57 peratus), Boboi (57 peratus), R2 (56 peratus) dan Sabon (51 peratus).
MLM yang disiarkan secara langsung di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134) itu akan bersiaran dari Kuala Terengganu untuk konsert seterusnya pada minggu hadapan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: