Thursday, January 24, 2013

Publisiti Klangit



KLANGIT atau ke laut? Itulah ungkapan sinis yang keluar dari mulut peminat muzik tempatan memberi persepsi tentang kumpulan yang menggelarkan diri mereka Klangit.
Ia tercetus selepas persembahan Klangit pada malam majlis gemilang Anugerah Industri Muzik ke-19 (AIM 19) yang berlangsung tahun lalu dianggap tidak memuaskan.
Lontaran vokal Klangit iaitu Ary atau nama sebenarnya, Muhamad Nur Hadre Ayub di pentas AIM 19 dilabelkan sebagai 'hancur'.
Namun, bagi tiga orang jejaka penggerak nadi Klangit yang sebelum ini muncul dengan single hit mereka, Sesal Mendua iaitu Muhamad Nur Hadre Ayub atau Ary (vokalis), Mohd. Izwan Ahmad Mahayuddin atau Ewan (gitar utama) dan Mohd. Haris Muhamad atau Haris (gitar bass), komen-komen negatif yang melanda kumpulan mereka itu tidak mematahkan semangat mereka.
Malah, ia menjadi pencetus buat mereka untuk terus berusaha lebih keras bagi menempa nama dalam industri muzik tempatan sejak lima tahun lalu.
Ketika ditemui pada majlis pelancaran album sulung mereka yang berjudul Dewi, bertempat di Hard Rock Café, Kuala Lumpur baru-baru ini, mereka seperti sedia maklum bahawa isu tersebut pasti akan diungkit walaupun isu itu bukan baru diperkatakan.
Mengakui kesilapan yang dilakukan, tutur Ary, selepas persembahan pada AIM 19, mereka dihujani banyak komen negatif menerusi laman sosial Twitter milik masing-masing.
"Memang saya sedar tentang kesalahan tersebut dan selepas menonton semula video persembahan kami di AIM 19, saya cuba untuk berubah dan memperbaiki kesilapan serta kelemahan yang jelas kelihatan. Mungkin apa yang saya dapat belajar ialah saya perlu kurangkan keterujaan dalam diri dan tidak terlalu terlonjak-lonjak semasa membuat persembahan.
"Walaupun begitu, sebenarnya itu (persembahan) memang cara saya sejak kali pertama Klangit ditubuhkan. Namun tidak dinafikan juga, secara tidak langsung, kami mendapat publisiti yang tidak disangka iaitu dengan penambahan pengikut di Twitter," jelas Ary.
KLANGIT dianggotai tiga orang jejaka iaitu (dari kiri) Ewan. Ary dan Haris.


Band Indonesia
Sudah menjadi lumrah perangai manusia yang mana keburukan akan lebih diingati berbanding kebaikan yang dilakukan.
Sejak malam tersebut, mungkin peminat sudah kurang percaya dengan bakat Klangit terutama vokal Ary. Sebagai sebuah band yang baru ingin membina nama, tanggapan awal sangat penting, namun apa yang terjadi kepada Klangit, mereka seperti mensia-siakan peluang besar yang diberi kepada mereka.
Jadi, untuk mengembalikan kepercayaan peminat, bicara Ary walaupun mendapat kritikan hebat, namun ada peminat yang masih mempercayai bakat yang wujud dalam Klangit.
"Alhamdulillah, selepas AIM 19, walaupun teruk kena kutuk, namun persepsi peminat terhadap kami masih lagi pada tahap yang baik dan bilangan peminat kami meningkat jumlahnya. Saya sendiri memang pelik dengan keadaan tersebut.
"Sejujurnya, saya akui, malam AIM 19 itu memang rasa bersalah dengan keadaan yang terjadi. Ini kerana kesalahan yang jelas ialah tentang vokal.
"Saya minta maaf dan itu sahaja yang saya boleh pinta daripada semua orang dan saya akan perbaikinya.
"Namun, jika sudah diperbaiki namun masih ia berlaku lagi, mungkin saya harus terima hakikatnya bahawa memang ia sudah sebati dengan diri ini," ujar Ary lagi.
Selain itu, mungkin pada mulanya peminat menganggap Klangit merupakan sebuah band Indonesia jika merujuk kepada konsep muzik dan alunan vokal yang dipersembahkan Ary selaku vokalis Klangit.
Akui Ary, ini kerana mungkin lirik dan lagunya ditulis oleh seorang warga Indonesia, maka sedikit sebanyak pasti ia kedengaran seperti konsep band Indonesia.

VOKAL Ary yang kedengaran sama seperti vokalis band-band dari Indonesia membuatkan peminat mereka keliru tentang negara asal Klangit.


"Kami 100 peratus band dari Malaysia. Cuma, penulis lagu kami merupakan orang Indonesia iaitu Panji Sakti. Selain itu khidmat Panji digunakan kerana kami ingin kekalkan imej awal iaitu sejak Klangit muncul dengan single Sesal Mendua lagi.
Semua lagu dalam album pertama kami ini diselaraskan muziknya supaya sama dengan Sesal Mendua yang membuatkan kami dikenali sebelum ini.
"Bukan tidak berani keluar dari kepompong Panji akan tetapi, kami masih baharu dan ini percubaan kali pertama jadi mungkin kami ingin mengambil langkah selamat dan belum yakin dengan bakat menulis kami," jelas Ary.
Tambahnya, memang sentuhan Panji berbunyi seakan-akan lagu Indonesia, namun apabila mereka bawakan lagu tersebut, Klangit sendiri berusaha untuk tidak kedengaran seperti band dari negara seberang itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: