TARIAN merak adalah antara identiti seni tari klasikal India yang masih popular.
|
SETIAP tahun, pada hari pertama bulan Thai mengikut kalendar Hindu yang lazimnya jatuh pada pertengahan bulan Januari kalendar Inggeris, menandakan satu perayaan besar bagi penganut agama Hindu, iaitu Ponggal.
Ponggal adalah festival yang disambut sebagai tanda berterima kasih kepada elemen alam khususnya matahari, tanah, padi dan haiwan ternakan di sawah seperti lembu yang menjayakan musim menuai.
Turut dikenali sebagai Pesta Menuai, Ponggal kian disambut secara besar-besaran pada masa kini lebih-lebih lagi apabila ia diangkat sebagai perayaan kebudayaan dan seni.
Ini kerana perayaan Ponggal secara tradisinya, disambut selama tiga hari berturut-turut membabitkan Ponggal matahari, Ponggal untuk ternakan iaitu lembu dan Ponggal anak gadis sunti.
Ada sesuatu yang lebih menarik pada sambutan Ponggal, khususnya di kawasan perkampungan. Lazimnya, sambutannya lebih meriah di Tamil Nadu, Selatan India, apabila pelbagai tarian kebudayaan, makanan-makanan tradisional dan lagu-lagu rakyat turut dipentaskan.
Mengambil kira aspek yang sama, saluran berbayar Tamil, Astro Vaanavil tampil dengan satu projek komuniti khas melalui program Ponggu Tamil sempena sambutan Ponggal pada hari ini dengan mengadakan satu siri jelajah memperkenal makanan dan tarian kebudayaan kaum India.
“Dalam mengejar kemodenan dan rutin harian yang sibuk, kita banyak terlupa tentang asal-usul dan kebudayaan sendiri yang sangat kaya. Ini dibuktikan apabila muda-mudi sekarang sudah tidak mengenali beberapa jenis makanan yang pernah menjadi ruji atau makanan mesti ada dalam menu harian.

TARIAN karagahtam turut dipersembahkan pada majlis pelancaran Pongu Tamil.
“Bukan itu sahaja, sesetengah tarian juga sudah hilang identiti dan hampir pupus,” kata Timbalan Presiden Kanan, Pengurusan Kandungan Astro, Dr. Rajamani Chellamuthu.
Ekoran itu, katanya, pihak saluran Tamil Astro telah memperuntukkan sejumlah besar wang untuk sesi jelajah di lima lokasi pada tarikh-tarikh yang berbeza bagi menyambut perayaan Ponggal.
Pada masa yang sama, pihaknya mahu memperkenal dan mempamerkan makanan-makanan serta tarian rakyat India.
Turut ditemui pada majlis pelancaran program Pongu Tamil ialah Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M. Saravanan, yang mengalu-alukan usaha murni Astro Vaanavil dalam mempromosi kebudayaan dan tradisi kaum India sempena Ponggal.
Ponggu Tamil telah dilaksanakan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJK(T)) Cantuman Chaah, Jalan Kialang, Chaah, Johor pada 9 Januari dan Sri Ruthra Maha Mariamman Devasthanam (UP), Jalan Cinta Sayang, Sungai Petani, Kedah (11 Januari).
Ia juga telah berlangsung di SJK (T) Port Dickson, Jalan Dato K. Patmanaban, Negeri Sembilan (12 Januari); SJK(T) Betari Jaya, Jalan Besar, Batang Berjuntai, Selangor (13 Januari) serta Kelab Rekreasi India, Buntong, Ipoh pada hari ini, 14 Januari.
“Setakat ini, program Ponggu Tamil diadakan di empat buah lokasi. Sehingga semalam, kami menerima respons yang menggalakkan. Para peserta dan orang awam menunjukkan minat mendalam untuk mengenali kebudayaan yang semakin pupus dek zaman,” kata Rajamani ketika dihubungi.
Aneka pengisian
Antara tarian yang dipentaskan pada program Ponggu Tamil Astro Vaanavil ialah kaalai aatam, aallakhamb, silambu aatam, karakaatan, puli aatam, oyilaatam, katta kaal aatam dan tapaattam.
Dari segi makanan pula, antara hidangan yang dimasak dan dipamerkan untuk dirasai ialah kollu rasam, murunggai kaai rasam, cheeyam, kambangkoozh, thulasi kaasayam dan kopi sukku malli.
Kepada mereka yang terlepas menyertai program Pongu Tamil itu di empat lokasi lain, mereka masih boleh menyertai pihak Astro Vaanavil di Buntong, pada hari ini.
Selain itu, pihak Astro Bahagian Saluran Tamil turut merakam sebuah lagu dengan tema program, Pongu Tamil, yang memuatkan semua rentak muzik rakyat India bersama tarian, makanan, pakaian dan persekitaran perayaan Ponggal yang penuh tradisi.
Memimpin klip video itu ialah pengacara dan joki radio THR Raaga yang terkenal dengan imej penuh tradisional tatkala acara berkaitan kebudayaan, M. Maaran.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: