
CALON parti pembangkang untuk kerusi
Punggol Timur, Lee Li Lian (tengah) menjawab soalan wartawan media pada
sidang media di Singapura semalam.
SINGAPURA - Polis menyatakan semalam ia kini menyiasat akhbar utama tempatan, The Straits Times kerana melanggar undang-undang berhubung kaji selidik yang dilakukan untuk kempen pilihan raya kecil di pulau ini.
Pilihan raya kecil pada 26 Januari ini adalah untuk kerusi yang ditinggalkan kosong oleh Speaker Parlimen, Michael Palmer. Palmer yang sudah beristeri meletak jawatan selepas mengakui mengadakan hubungan sulit.
Jabatan Pilihan Raya memberitahu bahawa satu artikel yang disiarkan dalam akhbar itu pada 10 Januari lalu selepas pengumuman tarikh pilihan raya bagi kerusi Punggol Timur kini disiasat oleh polis.
Akhbar tersebut mendedahkan siasatan berkenaan di laman webnya lewat kelmarin dan menyatakan pihaknya akan bekerjasama dengan polis.
Artikel bertarikh 10 Januari lalu itu menyiarkan laporan kaji selidik melibatkan 50 penduduk di kawasan pilihan raya kecil tersebut berhubung sokongan mereka kepada Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah pulau ini.
PAP sudah berkuasa di pulau ini sejak 1959.
"Ini bukan kaji selidik berskala penuh (sebenar) atau berbentuk saintifik," kata ketua editor akhbar berkenaan, Warren Fernandez ketika mengulas laporan tersebut semalam.
"Tajuk berita kami membesar-besarkan kepentingan maklumat yang dikumpulkan dengan mengklasifikasikannya sebagai satu kaji selidik. Kami memohon maaf atas kesilapan ini," tambahnya.
Akhbar The Straits Times merupakan akhbar utama gergasi media Asia, Singapore Press Holdings.
Di Singapura, adalah menjadi kesalahan untuk menyiarkan keputusan kaji selidik pengundi bermula dari tarikh pengumuman pilihan raya sehingga proses penggundian tamat
Mereka yang bersalah boleh didenda sehingga Sg$1,500 (RM3,624) atau dipenjara atau kedua-duanya sekali.
Pilihan raya kecil berkenaan bakal memberikan gambaran berhubung rakyat kurang dua tahun selepas PAP mengalami prestasi terburuknya pada pilihan raya Mei 2011 apabila undi untuk parti berkenaan merosot kepada 60 peratus.
PAP masih memiliki 81 daripada 87 kerusi di Parlimen tetapi parti itu dikritik hebat berhubung cara ia menangani isu imigresen dan perkhidmatan awan selain peningkatan kos sara hidup serta jurang pendapatan di negara kota ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: