Anggota forensik memeriksa lokasi kejadian sebuah ATM cuba dilarikan di sebuah stesen minyak, Wangsa Maju, awal pagi semalam.
Kejadian kira-kira jam 2.45 pagi itu berlaku ketika dua pekerja stesen minyak itu sedang bertugas sebelum didatangi lima lelaki menaiki sebuah Hyundai Matrix berwarna perak dan dua motosikal jenis Yamaha 125z dan Yamaha 125 RXZ.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, tiga daripada mereka yang menaiki motosikal bertindak memecahkan cermin dinding berhampiran ATM stesen minyak itu menggunakan besi kuku kambing sebelum mengikat tali pada mesin tersebut.
Menurutnya, seorang daripada mereka dalam masa sama bertindak menyamun wang pekerja di situ.
“Tali diikat pada ATM ke kereta dan cuba ditarik dengan kereta berkenaan sebanyak dua kali, namun ikatan tersebut terputus.
“Sebaik menyedari usaha mereka gagal, kesemua suspek bertindak melarikan diri, bersama motosikal dan pacuan empat roda yang tiada nombor pendaftaran itu,” katanya kepada Sinar Harian.
Zakaria berkata, bagaimanapun, Hyundai Matrix itu ditemui terbakar di Bukit Tunku, Jalan Duta, dipercayai sengaja dibakar, sebelum suspek melarikan diri menaiki teksi.
Katanya, kesemua suspek memakai sarung tangan dan tiga yang bermotosikal memakai topi keledar ketika melakukan jenayah tersebut.
Beliau berkata, pekerja stesen minyak itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan polis sedang giat mengesan kesemua suspek. Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Difahamkan, kejadian tersebut turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak tersebut yang mana akan membantu siasatan dijalankan. Forensik juga mengambil kesan tayar dan lumpur bagi membantu siasatan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: