Wednesday, January 9, 2013

Penduduk berang lori guna jalan perumahan


PENDUDUK Taman Desa Aman dan Taman Sungai Lalang berkumpul
secara aman membantah penggunaan jalan oleh lori-lori di taman
perumahan mereka di Sungai Petani kelmarin.


SUNGAI PETANI - Seramai 200 penduduk Taman Desa Aman dan Taman Sungai Lalang di sini mengadakan bantahan secara aman kelmarin kerana marah dengan tindakan sebuah kilang memproses kelapa sawit membenarkan lori-lori miliknya berulang alik di jalan taman berkenaan setiap hari yang didakwa membahayakan keselamatan mereka.
Penduduk mendakwa, lori muatan 10 tan itu menggunakan jalan di taman perumahan terbabit mulai awal pagi hingga ke petang mengangkut keluar hampas kelapa sawit dan kayu sejak lima tahun lalu.
Menurut penduduk, masalah itu berlaku sejak lima tahun lalu tetapi semakin buruk apabila berlaku kemalangan membabitkan kematian anak seorang penduduk di situ dengan lori berkenaan baru-baru ini.
Wakil penduduk, Azizan Darus (gambar kecil), 53, mendakwa, penduduk bimbang dengan keselamatan mereka memandangkan lori-lori terbabit dipandu secara laju setiap kali melalui kawasan perumahan itu.
"Sepatutnya masalah ini sudah lama diselesaikan oleh pihak berkuasa dan apabila berlaku kematian anak seorang penduduk baru-baru ini, kami terpaksa mengadakan bantahan ini.
"Perkara begini tidak boleh lagi dibiarkan. Pihak kilang dapat untung lumayan daripada perniagaan yang dijalankan tetapi penduduk hidup dalam kebimbangan," katanya ketika ditemui.
Menurutnya, selain isu keselamatan penduduk, penduduk juga terpaksa menghidu bau busuk daripada bahan-bahan yang dikeluarkan oleh kilang tersebut setiap kali musim hujan.
Tegasnya, penduduk memberi tempoh sehingga 13 Januari ini kepada pengusaha kilang terbabit agar mencari jalan lain dan tidak membenarkan lagi lori-lori melalui jalan perumahan tersebut.
Penduduk Taman Desa Aman, Abdul Rahman Abdullah, 46, pula berkata, pihak berkuasa mesti mengambil tindakan segera dengan tidak membenarkan lagi kenderaan berat melalui kawasan perumahan mereka.
"Penduduk tidak puas hati sebab perkara ini sudah lima tahun berlaku tetapi semakin lama semakin teruk.
"Kalau boleh carilah laluan lain. Kami tidak larang pihak berkenaan untuk menjalankan perniagaan tetapi kawasan perumahan adalah tempat kediaman," tegasnya.
Sementara itu, pengusaha kilang terbabit yang mahu dikenali sebagai Lim berkata, dia bersimpati dengan masalah yang dihadapi penduduk dan berjanji akan berusaha menyelesaikannya segera.
Jelasnya, dia tidak mempunyai pilihan selain menggunakan laluan taman perumahan terbabit memandangkan tiada jalan alternatif untuk ke kilangnya yang terletak berhampiran taman berkenaan.
"Memang tiada jalan lain untuk ke kilang saya tetapi saya akan fikir kemungkinan untuk memindahkan kilang ke tempat lain," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: