Wednesday, January 2, 2013

Nassier Wahab tak suka rap


NASSIER WAHAB mengakui lebih selesa menyanyi secara solo.


SIAPA tidak kenal dengan penyanyi terkenal era 80-an, Nassier Wahab dan lagu Memori Cinta Luka yang menaikkan namanya kembali sekitar tahun 2006 dahulu.
Kini, Nassier, 50-an telah muncul dengan album penuh terbaharu, Cinta Farhat - Air Mata dan Doa sejak September lalu dan mempertaruhkan lagu Cinta Farhat sebagai lagu hit terbaharunya.
Dalam album berkenaan, terdapat 10 lagu baharu dan enam lagu hitnya sebelum ini yang dimuatkan dalam satu album.
“Saya memang mahu buat album penuh. Saya tidak mahu ikut trend macam artis lain yang hanya buat single sahaja,” ujarnya yang mendapat kepuasan apabila menghasilkan album penuh.
Nassier yang tidak pernah mengeluarkan single setakat ini menambah, dia sebenarnya selesa dengan caranya sendiri apabila berani mengeluarkan album penuh yang jarang dilakukan oleh artis sekarang.
“Saya terbitkan album yang berkualiti sahaja, biarlah penyanyi lain nak buat single, saya dapat kepuasan dengan buat album penuh, janji peminat saya puas hati,” kata penyanyi kelahiran Kota Kuala Muda, Kedah ini.
Bercerita lanjut mengenai perkembangan dunia seni sekarang, apabila ditanya mengenai trend penyanyi yang seangkatannya telah berduet atau membuat penampilan khas dalam lagu penyanyi yang lebih urban, Nassier menjawab:
“Saya tidak minat, saya tidak suka genre rap, lagi pun saya tidak mahu rosakkan lagu sebab ada lagu yang sesuai buat begitu dan ada yang tidak sesuai.”
Sungguhpun begitu, dia berkata, dia meminati lagu Apo Kono Eh Jang 2012 nyanyian Datuk AC Mizal bersama Rafidah Ibrahim dan Stellar Band serta menganggap kolaborasi itu berjaya.
Baginya, dia lebih selesa untuk menyanyi secara solo tanpa membuat penampilan khas mana-mana artis yang lebih muda dan lebih dikenali namanya pada zaman sekarang.
“Kalau nak ikut trend, macam-macam trend lain kita boleh buat, tidak semestinya hendak berduet, ada juga trend baharu dalam buat lagu misalnya,” ulasnya yang tidak pernah terfikir untuk berduet dengan mana-mana artis tanah air.
Mengakui agak sukar untuk memasarkan lagunya dalam stesen radio sekarang berbanding dahulu, Nassier menganggap itu satu cabarannya untuk bekerja keras seperti ketika mempopularkan lagu Memori Cinta Luka dahulu.
“Saya mengakui memang payah, walaupun ada stesen radio yang terima lagu baharu saya ini tetapi ada yang tidak terima, tidak mengapa, saya sudah sebati dengan cabaran ini, banyak sudah dugaan yang pernah saya lalui,” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai prinsip mengekalkan namanya dalam persada seni agar masih utuh hingga ke hari ini, Nassier tidak lokek berkongsi.
Katanya, dia berpegang kepada pesanan Datuk D J Dave ketika dia mula mencipta nama dahulu agar membuatkan semua pihak yang berurusan senang bekerja.
“Kalau berurusan dengan media atau pihak-pihak lain kita jangan buat perkara senang jadi payah dan jaga hati semua orang agar semua puas hati dengan kerja kita.
“Saya masih ingat pesanan itu sampai sekarang, walaupun nama kita naik perlahan-lahan, kita jangan lupa diri, insya Allah nama kita akan diingati selamanya,” jelasnya ketika berkunjung ke Kosmo! baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: