Tuesday, January 1, 2013

Nabil, Elfira menerjah 2013



SENGAJA Kosmo! menggandingkan pelawak dan pengacara terkenal Nabil dengan pelakon semakin meningkat naik, Elfira Loy pada satu sesi fotografi khas.
Pertama kali digandingkan, biarpun nampak canggung di mata tetapi sebenarnya kedua-dua figura ini berkongsi satu persamaan iaitu kerjaya seni yang bakal sukses pada tahun 2013.
Kerjaya seni Nabil mahupun Elfira dilihat bakal lebih menyinar pada tahun 2013 berbanding 2012.
Nabil atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad, 29, akhirnya mengambil keputusan untuk muncul semula di kaca TV setelah menjadi penyampai radio di Suria FM selama setahun bermula Januari 2012.
Mengakui selama setahun wajahnya kurang muncul di kaca TV menyebabkan namanya sedikit merudum, ujar Nabil, disebabkan itu dia mengambil keputusan untuk meninggalkan kerjaya sebagai penyampai radio walaupun menyedari kerjaya itu menarik.
Penghujung 2012, kerjaya Nabil dalam bidang seni nampaknya semakin menyinar dengan tawaran 'lebat' daripada beberapa stesen TV.
Nabil juga dilihat berjaya 'memancing' kembali peminat menerusi program kendaliannya iaitu Meletop dan Kan Dah Kena di Astro serta turut muncul dalam Lawak Ker Der dan Maharaja Lawak Mega 2012.
Bagi Elfira, jika sebelum ini umum hanya mengenalinya sebagai pelakon kanak-kanak tetapi tahun 2012 merupakan tahun cemerlang bagi pelakon berusia 18 tahun itu.
Ini kerana dia meraih kepercayaan oleh pengarah Micheal Ang untuk membawakan watak remaja dan bukan lagi kanak-kanak khususnya menerusi telemovie Biar Mimpi Sampai Ke Bintang dan drama bersiri, Dalam Hati Ada Taman.
Jadi, tahun 2013 adalah tahun untuk kedua-dua selebriti ini mengekalkan momentum populariti dan juga menyahut cabaran untuk lebih sukses daripada tahun-tahun sebelumnya!
Nabil takut lupa diri
Keinginan Nabil untuk mempunyai anak telah terkabul pada tahun 2012. Tahun 2013, bapa kepada Naira Mikayla ini berazam mahu jadi bapa yang bertanggungjawab dan setia menyayangi isterinya, Nazirah Ayub.
Itu jawapan Nabil tatkala diajukan soalan mengenai azam baharunya.
Anak perempuan Nabil lahir pada 25 November 2012. "Pengalaman paling manis pada tahun 2012 apabila doa saya untuk mendapat anak dimakbulkan Tuhan," ungkapnya ketika ditemui pada sesi fotografi bersama pelakon Elfira Loy di Istana Budaya, Kuala Lumpur.
Sudah menjalani rutin sebagai seorang bapa, akuinya, dia kini sudah berani memandikan anaknya malah jika Naira terjaga di waktu malam dia yang akan tersedar dan mengambilnya untuk disusukan Nazirah dan kemudian mendodoikan anaknya itu sehingga tidur.
"Naira walaupun sudah kenyang menyusu, dia tidak akan tidur macam bayi lain. Dia mahu didodoikan tetapi dia mahu saya sahaja yang dodoikan baru dia tidur," kongsinya sedikit mengenai kehidupan sebagai bapa.

DUA bintang terkenal ini yang dijangka membawa sinar gemilang dalam dunia seni tempatan sepanjang tahun 2013 ini.


Di luar kehidupan cahaya mata Nabil, menjelang akhir 2012 Pelakon Paling Popular Anugerah Bintang Popular 2008 itu membuat keputusan untuk meninggalkan dunia penyampaian radio dan membuat kemunculan semula di kaca TV pada tahun 2013.
Sebanyak 11 buah program termasuk beberapa telefilem dan filem diluncurkan untuknya namun Nabil tidak mahu terbuai oleh prestasi yang dicetaknya pada tahun-tahun terdahulu.
Bermula dengan kemenangannya pada Juara Raja Lawak musim kedua, Artis Baharu Lelaki Popular, Artis Komedi Lelaki Popular dan seterusnya dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular (ABP2008), ujar Nabil, cukuplah dia pernah lupa diri saat dirinya menjadi fenomena satu ketika dahulu.
Ditebak apakah sasarannya pada tahun 2013, harapan Nabil, bukan populariti yang dikejar sebaliknya dia mengharapkan agar peminat menghargai dan terus percaya akan bakatnya terutama dalam komedi.
Berkongsi perkara paling bodoh dan bermakna yang pernah dilakukan Nabil sepanjang tahun 2012, dedahnya, terbaharu, perkara paling bodoh yang pernah dilakukan olehnya apabila secara tidak sengaja mengunci anaknya di dalam rumah.
"Ketika itu bapa dan ibu mertua datang ke rumah. Masa nak hantar mereka balik dekat luar pintu rumah dengan tidak sengaja pintu tertutup dan terkunci. Pintu rumah saya memang auto lock.
"Pada ketika itu kami semua ada dekat luar rumah kecuali Naira. Anak pula tiba-tiba menangis di dalam. Isteri saya pula menangis di luar.
"Saya panik sangat sebab fikir mungkin dia (anak) akan tercekik atau bedung dia mungkin melemaskan dia sebab dia memang lasak suka keluarkan tangan.
"Namun, akhirnya nasib baik pintu dibuka oleh pihak keselamatan rumah," jelasnya yang turut berkongsi perkara bermakna yang dilakukannya iaitu memandi dan mendodoikan anaknya.
Bukti jitu Elfira
Bagi Elfira, jika dahulu pelakon kecil molek ini dipertikaikan kredibilitinya untuk membawa watak dewasa tetapi tahun 2012, dia sudah membuktikan kemampuannya.
Menerusi kepercayaan yang diberi pengarah Micheal Ang dan juga bakat lakonannya yang bersahaja dalam drama Biar Mimpi Sampai Ke Bintang serta Dalam Hati Ada Taman di samping Randy Pangalila, nama Elfira serta-merta melonjak naik termometer industri hiburan tanah air.
Terbaharu, Elfira bakal berlakon di sisi pelakon popular sinetron Benci Bilang Cinta, Baim Wong pula menerusi telefilem Untuk Terakhir Kali.
Kini, dia tidak lagi digelar pelakon kanak-kanak sebaliknya bergelar heroin drama.
"Sebelum ini ramai yang pertikaikan saiz badan saya kecil tidak mampu bawa watak dewasa. Namun, apabila saya bawa watak gadis dewasa yang bercinta dalam Biar Mimpi Sampai Ke Bintang dan Dalam hati Ada Taman, baru mereka sedar hakikat tersebut," kongsinya mengenai memori manis tahun 2012 apabila orang dapat terima dia berlakon watak dewasa.
Tidak hanya sukses dalam bidang lakonan, anak kedua daripada empat beradik itu juga berjaya di luar lapangan seni apabila menerima biasiswa sambung belajar di Kolej Damansara Utama.
Tahun 2012 juga, Elfira berani menyahut cabaran menyertai program realiti Fear Factor Selebriti Malaysia. Menjadi peserta termuda dan terkecil dalam program tersebut tidak bermakna gadis berasal dari Kuala Lumpur itu tidak mampu melakukan cabaran lasak dan gerun di dalam program tersebut.
Penghujung tirai 2012, Elfira yang mula terjun ke dunia seni menerusi teater muzikal kanak-kanak, Ali Baba pada tahun 2006, sekali lagi beraksi di gelanggang pementasan teater menerusi cerita yang sama iaitu teater muzikal Ali Baba tetapi untuk karakter dewasa iaitu Marjinah.
Berkongsi jadual seni pada 2013, ungkap Elfira, selain tayangan telefilem Untuk Terakhir Kali, dia juga bakal muncul dalam drama siri sejarah dan aksi arahan Datin Paduka Suhaimi Baba iaitu Arka.

KEMUNCULAN 2013 bakal menjadi landasan buat Nabil dan Elfira untuk terus mara menongkah arus ke arah kemajuan dalam kerjaya seni masing-masing.


Menurutnya, drama lapan episod itu mengisahkan tentang pendekar bernama Raja Haji dan puterinya, Puteri Hamidah yang berjuang melawan penjajahan Belanda sekitar kurun ke-17 di Asia Tenggara.
"Selain itu, ada beberapa drama dan telefilem lain juga untuk tayangan Astro iaitu Si Tanggang Ayu dan Puteri dan Putera Hodoh yang dilakonkan saya," jelasnya yang turut menerima enam tawaran filem yang masih lagi dalam pertimbangan.
Kongsinya tanpa mendedahkan siapa, salah satu daripada tawaran filem yang diperoleh Elfira adalah daripada penerbit terkenal dan terhebat di Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: