Thursday, January 24, 2013

Medium teknologi dekati anak muda


MASJID Quba masjid tertua di dunia ini simbol perkembangan dakwah Islam dari Mekah ke Madinah.


LAMAN sosial yang menjadi medium komunikasi harus diguna pakai oleh setiap pendakwah untuk mendekati pengguna yang rata-ratanya golongan muda. Cara berdakwah pada masa kini tidak lagi bergantung kepada komunikasi secara berdepan kerana medium teknologi itu juga mampu menyebarkan fahaman agama dengan lebih berkesan.
Pensyarah Fiqh Semasa, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohd. Izhar Ariff berkata, konsep berdakwah juga perlu selari dengan arus modenisasi menggunakan teknologi komunikasi sebagai medium.
"Konsep ini disokong oleh ramai pemikir-pemikir Islam.
"Antaranya termasuklah Dr. Abdul Karim Zaidan yang menyatakan, seorang pendakwah perlu lebih kreatif dengan menggunakan kaedah-kaedah yang ada," ujarnya ketika ditemui di pejabatnya UKM Bangi baru-baru ini.
Penggunaan laman sosial seperti Facebook dan Twitter boleh diaplikasikan dengan berkongsi pandangan agama, hadis-hadis dan ayat-ayat al-Quran. Melalui cara ini, pengguna akan lebih memahami agama Islam dengan lebih mudah.
"Jika mereka mempunyai masalah atau kemusykilan agama, soalan tersebut boleh terus diajukan kepada pakar agama dan seterusnya mendapat respons pada kadar segera," jelasnya.
Namun, jika ia melibatkan perkara-perkara berkaitan akidah yang memerlukan penjelasan lanjut, seharusnya persoalan tersebut diajukan secara bersemuka dengan para ulama.
Peralihan konsep berdakwah ini tidak bercanggah dan meninggalkan kaedah yang diterapkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat kerana ia tetap berlandaskan syariat dan rujukan kitab suci al-Quran.
"Pada zaman itu, konsep bahasa sastera menjadi medium dakwah kepada seluruh umat kerana al-Quran yang diturunkan mempunyai darjat dan bahasa yang sangat tinggi," ujar Mohd. Izhar yang turut bertindak sebagai penceramah dan pengacara dalam beberapa program televisyen tempatan.
Kehebatan al-Quran
Kehebatan al-Quran jelas terbukti hingga mampu mengubah hati bengis Saidina Umar Al-Khatab lalu sujud menyembah Allah. Umar yang tersentuh dengan keindahan dan ketinggian bait-bait bahasa dalam Surah Taha ayat satu hingga lapan, memeluk Islam selepas mendengar bacaan daripada adiknya, Fatimah.

MAJLIS ilmu salah satu medium dakwah yang masih mendapat sambutan dan relevan pada masa kini.


Kerancakan program pendidikan dan drama-drama mengenai Islam turut membantu meningkatkan kefahaman dan kesedaran agama Islam kepada masyarakat.
"Saya amat berbangga dengan usaha yang dilakukan oleh Pengerusi TV AlHijrah, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor yang mengambil berat dengan program-program dalam stesen TV itu.
"Beliau memastikan setiap program dan drama yang ke udara perlu mematuhi syariat Islam termasuk hal-hal berpakaian," jelas beliau.
Melalui penguatkuasaan tersebut, semakin banyak penerbit hadir dengan projek berteraskan agama Islam. Mengambil contoh Erma Fatima, Pierre Andre dan Mior Hashim Manap yang ligat memperjuangkan drama dalam genre Islamik.
"Kadar penontonan amat memberangsangkan terutamanya golongan muda. Ini terbukti melalui program yang dikendalikan oleh saya iaitu Rasul Yang Kata di TV9, ia mendapat sambutan yang baik daripada anak-anak muda." jelas Mohd. Izhar lagi.
Pengisian diiri
Menyentuh sambutan Maulidul Rasul sempena mengingati kelahiran Nabi Muhammad SAW, Mohd. Izhar beranggapan masyarakat kini hanya menyambut secara zahir sahaja.
"Kita berarak, menghadiri majlis sana-sini, namun pengisian dalam diri tetap kosong. Jika kita benar-benar ingin mengikuti syariat yang ditinggalkan Rasulullah SAW, lakukan ia secara berterusan dan bukannya setakat pada satu masa sahaja.
"Lihat situasi hari ini, masjid-masjid masih kosong ditambah dengan majlis-majlis agama yang semakin berkurangan dan kurang mendapat sambutan," ujarnya.
Perkara utama yang perlu dilakukan, ujar Mohd. Izhar, ialah memakmurkan masjid seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika berhijrah dari Mekah ke Kota Madinah iaitu membina masjid.
"Masjid merupakan tempat bermusyawarah umat Islam bagi membincangkan hal-hal agama. Ia juga menjadi tempat penyatuan para mukmin untuk bersatu memartabatkan syariat Islam," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: