![]() |
|
PERCAYA atau tidak, M-Girls sudah muncul dengan 100 buah album sejak mula ditubuhkan pada tahun 2001.
|
WALAUPUN kumpulan yang ditubuhkan mereka pernah berpecah sejak lapan tahun yang lalu, kini M-Girls yang terdiri daripada empat gadis muda - Crystal, Angeline, Queenzy dan Cassandra kembali bergabung sempena Tahun Baru Cina pada tahun ini.
Empat anak muda itu juga telah melancarkan album ‘reunion’ mereka sempena sambutan perayaan tersebut pada 12 Disember tahun lepas.
Mereka yang kesemuanya berumur 27 tahun ini sebenarnya telah berjaya menghasilkan lebih 100 album berbahasa Cina sejak penubuhan M-Girls pada tahun 2001.
Sebelum ini dua ahli kumpulan mereka iaitu Cassandra dan Queenzy telah keluar dari M-Girls disebabkan ingin menumpukan sepenuh perhatian terhadap pengajian di sebuah kolej swasta di ibu kota.
Disebabkan itu, Crystal dan Angeline telah merakam album M-Girls secara berduet dan berkolaborasi dengan artis lain di bawah syarikat naungannya, Star Media Distribution Sdn. Bhd.
Kini, atas permintaan peminat setia mereka, sebuah album yang dinamakan Reunion yang mengandungi 12 buah lagu bertemakan Tahun Baru Cina telah dipasarkan bagi mengubati rindu peminat mereka.
Kali terakhir kumpulan ini merakamkan album bersama pada tahun 2005.
Kata Crystal, dia benar-benar teruja untuk membuat persembahan bersama dengan tiga ahli kumpulan asal M-Girls selepas dua daripada mereka iaitu Cassandra dan Queenzy mengambil keputusan untuk berehat panjang.
“Kami tidak bergaduh pun. Memang Cassandra dan Queenzy ingin beri komitmen sepenuhnya kepada pelajaran, jadi saya dan Angeline terpaksa akur dengan keputusan mereka berdua,” jelasnya.
Mengakui mereka berempat sebagai ‘satu kepala’, Angeline pula menambah, dia tidak sabar-sabar lagi untuk menunggu respons peminat mereka yang menantikan album mereka.
“Sangat gembira ada album bersama kembali, walaupun kami selalu berjumpa, ia tidak sama apabila tidak membuat persembahan dengan M-Girls,” jelasnya.
Bagi Cassandra yang telah tidak bersama M-Girls selama lapan tahun, dia merasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena pada dirinya.
“Apabila memikirkan banyak memori manis kami bersama, memang saya rindu untuk bersama M-Girls. Jadi dengan kemunculan album terbaharu kami ini, ia akan mengubat rindu saya sendiri dan peminat kami,” ujarnya yang mengakui pasaran M-Girls termasuklah China, Indonesia, Brunei, Singapura dan Taiwan.
Mengenai album terbaharu mereka itu, Queenzy memberitahu, keunikan Reunion adalah ia merupakan album yang patut ada untuk setiap sambutan perayaan berkenaan.
“Di Malaysia sangat berlainan dengan negara China. Di China memang tiada orang terbitkan album untuk musim perayaan. Di negara ini lebih 10 album dipasarkan untuk perayaan seperti sambutan Aidilfitri juga,” jelasnya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: