Thursday, January 3, 2013

Kekecewaan Yuna


KONTRAK Yuna bersama syarikat rakaman Fader kini sudah tamat.


PENYERTAAN penyanyi bertaraf antarabangsa, Yunalis Zarai atau Yuna di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) bermula pada tahun 2009. Menerusi AJL ke-24 (AJL 24) tersebut, dia tampil dengan lagu popularnya, Dan Sebenarnya.
Sukses meraih gelaran naib juara AJL 24, Yuna seterusnya beraksi di pentas AJL pada tahun 2010 pula menerusi lagu Cinta Sempurna. Tahun berikutnya iaitu pada 2011, Yuna sekali lagi tercalon dalam AJL dengan mempertaruhkan lagu Gadis Semasa dan Penakut.
Namun, lagu ciptaannya itu tidak berjaya dinobatkan sebagai lagu terbaik.
Bagaimanapun pada tahun ini, Yuna yang tercalon sekali lagi dalam AJL menerusi lagu hit, Terukir Di Bintang secara tiba-tiba menarik diri seminggu sebelum AJL ke-27 (AJL 27) berlangsung kerana bertembung dengan jadual rakaman album baharunya.
Mengaku kecewa dan sedih kerana tidak dapat menyanyikan sendiri lagu ciptaannya di AJL 27, Yuna bagaimanapun berkongsi berita gembira kerana kini dia sedang sibuk menjalani rakaman untuk album keduanya dengan sebuah syarikat rakaman popular di Amerika Syarikat.
Kosmo! menghubungi Yuna untuk mengetahui lebih lanjut mengenai penarikan dirinya dalam AJL 27.
Kosmo!: Kenapakah Yuna menarik diri daripada membuat persembahan pada AJL 27 yang akan berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil pada 6 Januari ini?
YUNA: Saya tidak tarik diri cuma tidak dapat membuat persembahan pada AJL atas urusan kerja yang tidak dapat dielakkan. Walaubagaimanapun, akan ada penyanyi lain yang akan gantikan tempat saya.
Boleh beritahu urusan apakah yang menyebabkan Yuna tidak boleh beraksi di pentas AJL?
Saya sibuk dengan rakaman album kedua di Amerika Syarikat. Terpaksa ikut jadual penerbit di sana.
Siapakah penyanyi yang akan menggantikan tempat Yuna?
Pengganti itu saya tidak dapat nak komen. TV3 akan maklumkan nanti sebab ia masih dalam perbincangan antara pihak saya dan TV3.
Kenapakah jadual boleh bertembung sedangkan tarikh AJL sudah diberitahu lebih awal? Sebelum ini Yuna pernah beritahu pihak label di sana (Amerika Syarikat) tiada hak untuk halang aktiviti Yuna di Malaysia?
Memang betul tapi disebabkan rakaman sudah dirancang awal oleh pihak pengurusan, saya terpaksa akur dengan keputusan yang telah dibuat oleh syarikat rakamannya di Amerika Syarikat.
Ada khabar mengatakan Yuna tidak mahu buat persembahan di AJL sebab merajuk dengan layanan industri Malaysia. Betulkah?
Tak betul. Saya memang tidak dapat balik atas urusan kerja.
Boleh beritahu siapakah calon-calon yang dipilih Yuna untuk menyanyikan lagu Terukir Di Bintang?
Calon-calonnya buat masa ini kami masih tengah double confirm. Bila sudah confirm TV3 sendiri akan beritahu.
Adakah Yuna kecewa tidak dapat beraksi di pentas AJL tahun ini?
Kecewa dan sedih tapi kerana kerja terpaksa berkorban.
Khabarnya kontrak Yuna bersama syarikat rakaman Fader sudah tamat. Kenapakah?
Apa yang boleh saya komen tentang perkara ini, saya sudah lakukan yang terbaik di Amerika Syarikat. Alhamdulillah saya dapat tawaran lebih bagus daripada syarikat rakaman lain.
Khabarnya Yuna disunting oleh syarikat rakaman yang bertempat di California, Verve Records. Benarkah?
Maaf buat masa ini saya diminta untuk merahsiakan dulu nama syarikat berkenaan.
Apakah perkembangan terbaharu Yuna?
Saya sekarang tengah sibuk merakamkan album kedua untuk keluaran antarabangsa di bawah naungan label baharu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: