Saturday, January 5, 2013

Karyawan tempelak Gafim

ACARA FFM 24 yang berlangsung pada tahun 2011 merupakan hasil anjuran Gafim.


KONTROVERSI tercetus baru-baru ini apabila Gabungan Karyawan Filem (Gafim) menerusi kenyataan akhbar Presiden pertubuhan itu iaitu Jurey Latiff Rosley yang mengeluarkan rasa kesal mendakwa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) telah bersikap lepas tangan.
Ini kerana Finas, menurut dakwaan Gafim, sebelum ini telah mengambil tindakan untuk tidak memberikan maklumat terkini kepada pertubuhan itu tentang persiapan penganjuran Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM 25), yang dikatakan bakal berlangsung pada tahun ini.
Mengulas mengenai perkara itu, Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) menegaskan apa yang berlaku itu sebenarnya adalah satu mesej Finas kepada Gafim.
“Finas telah bosan melayan kerenah Gafim ekoran tindak-tanduk pertubuhan itu sendiri sebelum ini yang kelihatan bertindak secara hentam keromo dan tidak rasional apabila mereka diberikan tanggungjawab untuk menganjurkan FFM 24 pada tahun 2011,” ujar Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez.
Tambahnya: “Namun oleh kerana FFM 24 yang dianjurkan Gafim itu agak kelam-kabut dan penuh dengan masalah, Finas dalam satu sidang akhbar (pada tahun lepas) telah mengumumkan untuk mengambil keputusan bagi menganjurkan sendiri FFM 25 pada tahun ini.
“Ia melibatkan kerjasama dengan penerbit-penerbit filem yang menjadi pelabur dan pemilik hak cipta untuk filem-filem mereka itu.”
Freddie menegaskan bahawa Persatuan Penerbit Filem (PFM) tidak terlibat dengan Gafim yang dianggotai oleh kebanyakan persatuan mewakili individu seperti pekerja filem dan penulis skrip dalam industri filem itu.
“Jadi, jika Gafim menganjurkan FFM, ini bermakna PFM tidak dapat memainkan apa-apa peranan dalam FFM, selain menyerahkan nasib filem mereka kepada pihak yang sudah terbukti tidak begitu efisien bagi menganjurkan sebuah festival filem dengan sempurna - seperti apa yang berlaku pada FFM 24,” katanya.
Menurut Freddie lagi, FFM 25 sebelum ini telah dijadualkan berlangsung pada 30 Disember tahun lepas tetapi Gafim telah mengeluarkan bantahan menerusi beberapa sidang akhbar yang dianjurkannya.
“Gafim dalam beberapa sidang akhbar yang dianjurkannya sebelum ini telah mengutuk Finas kerana tidak melibatkan pertubuhan itu dalam FFM 25.
“Malah, Gafim telah meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Finas sehingga menyebabkan keputusan telah dibuat untuk menangguh FFM 25,” tegasnya.
Ujar Freddie lagi: “Seharusnya Gafim menerima dengan terbuka apa sahaja keputusan yang dibuat oleh Finas mengenai penganjuran FFM 25.
“Ia menjadi hak Finas untuk menentukan pihak yang diberi tanggungjawab sebagai penganjur FFM. Sebelum ini, Finas telah memberi peluang kepada Gafim untuk FFM 24. Namun, peluang tersebut tidak dijaga dengan baik sehingga timbul beberapa perkara yang telah merosakkan majlis anugerah tersebut.
“Apabila tidak lagi dilantik menjadi penganjur untuk FFM 25, Gafim nampaknya lebih berminat untuk melatah dan beraksi secara kontroversi, bukannya bermuzakarah menyelesaikan masalah dengan Finas,” ujarnya.
Freddie menjelaskan Karyawan sentiasa akan menyokong sebarang tindakan yang baik ke arah penganjuran FFM 25 dan mengharapkan Gafim lebih rasional menerima apa sahaja keputusan yang bakal dibuat.
Katanya: “Peluang telah diberikan kepada Gafim sebelum ini tetapi pertubuhan itu gagal melaksanakannya dengan baik, pastinya Finas dan PFM sebagai pemilik hak cipta filem-filem yang dipertandingkan sudah serik memperjudikan nasib festival filem berprestij di tangan Gafim.
“Ini adalah salah Gafim sendiri. Karyawan berharap Finas bertegas dengan keputusan untuk meneruskan usaha menganjurkan sendiri FFM 25, dan tidak lagi mempedulikan apa-apa bantahan daripada mana-mana pihak.
Tambahnya: “Dengan atau tanpa Gafim, festival filem ini perlu diteruskan kerana ia membabitkan kredibiliti industri filem tanah air.
“Masih banyak persatuan perfileman di luar sana yang tidak terlibat dengan Gafim, umpamanya Karyawan sendiri, PFM, persatuan penerbit Cina dan India, persatuan animasi dan sebagainya yang bukan merupakan sekutu Gafim.
“Jadi tanpa Gafim sekalipun, FFM 25 akan berjaya membawa industri perfileman tanah air ke satu tahap yang lebih membanggakan.”

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: