Friday, January 4, 2013

Kapal SuperStar Gemini mulakan pelayaran pertama


WILLIAM NG (tiga dari kiri) bersama jemputan di atas dek utama kapal Super Star Gemini di Pulau Pinang kelmarin.


GEORGE TOWN - Kapal persiaran mewah, SuperStar Gemini memulakan pelayarannya dari jeti kapal persiaran antarabangsa Sweetenham di sini kelmarin selepas siap dinaik taraf.
Kapal persiaran seberat 50,764 tan ini tiba di Pulau Mutiara minggu lalu dari Pusat Kapal Persiaran Mewah Singapura bagi menyambung pelayaran tahunannya mengelilingi Asia.
Ketua Pegawai Operasi Star Cruises, William Ng berkata, Pulau Pinang akan menjadi pelabuhan utama bagi SuperStar Gemini sepanjang Januari ini sebelum berlepas ke Sanya, China dan ke Shanghai sehingga Oktober nanti.
Menurut beliau, selepas dinaik taraf, kapal persiaran itu mempunyai sistem pandu arah dan kawalan keselamatan yang lebih baik, kabin penginapan berwajah baharu manakala sisi badan kapal pula dihiasi dengan corak hiasan gelombang berwarna-warni.
"SuperStar Gemini bukan sahaja menyajikan percutian hebat dalam suasana menyeronokkan kepada para penumpangnya tetapi juga kemewahan menerusi pelbagai kemudahan yang dimiliki.
"Tahun ini mencatat kejayaan tersendiri bagi Star Cruises yang bakal meraikan ulang tahun ke-20 dan kami akan sentiasa berusaha memperbaiki dan menawarkan pengalaman percutian hebat di atas kapal," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis khas memperkenal dan merasmikan pelayaran pertama SuperStar Gemini di sini.
SuperStar Gemini yang melalui proses naik taraf melibatkan kos kira-kira AS$50 juta (RM151.5 juta) itu memiliki 766 kabin penginapan mewah bagi menampung 1,532 orang penumpang pada satu-satu pelayaran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: