
DEDDY (dua dari kiri), Titi (tiga
dari kiri), Syahrini (empat dari kiri) dan Addie (lima dari kiri) antara
barisan juri prgram IMB3.
ASTRO INDO PEK mencipta kelainan apabila menayangkan sebuah rancangan import Indonesia Mencari Bintang musim ketiga (IMB3) secara langsung kepada penonton di kaca televisyen tempatan.
Rancangan realiti televisyen yang membariskan sembilan orang peserta daripada pelbagai bakat seperti menyanyi, menari, melakukan lukisan pasir dan bermain drum itu dapat ditonton di negara ini pada setiap hari Sabtu dan Ahad menerusi saluran Astro Bintang (141).
Dihoskan oleh pelakon Ananda Rusdiana, IMB3 yang disiarkan pada pukul 8 malam itu mula bersiaran pada setiap minggu sejak 29 Disember lalu.
Antara barisan juri yang terlibat dalam rancangan yang dipentaskan di studio Trans TV Indonesia itu terdiri daripada pelakon Titi Sjuman, komposer Addie MS, pelakon Deddy Corbuzier dan penyanyi Syahrini.
Selain membawa bakat-bakat negara tersebut kepada penonton di Malaysia, IMB3 turut berperanan dalam mendekatkan hubungan antara kedua-dua buah negara.
Dalam nada bergurau, penyanyi yang pernah mencetuskan sensasi percintaan bersama seorang rakyat Malaysia bernama Bubu itu turut menyatakan bahawa ada cara lain untuk merapatkan kedua-dua buah negara selain kisah cintanya yang tidak kesampaian bersama jejaka tersebut.
"Program ini diharapkan dapat mendekatkan jurang dan memperkenalkan bakat dari Indonesia," katanya dalam nada bersahaja dalam satu sidang akhbar bersama wartawan dari Malaysia dan Indonesia di Jakarta, baru-baru ini.
Selaku ketua juri, Titi pula menyarankan agar pihak produksi turut menyelitkan beberapa elemen budaya Malaysia di dalam persembahan pesertanya pada masa akan datang.
Kaedah itu diharapkan dapat mendekatkan lagi penerimaan penonton.
"Untuk lebih mendekatkan sesama kita, mungkin akan diselitkan sedikit budaya Malaysia dalam persembahan mereka. Mungkin boleh dimasukkan tarian Malaysia atau peserta menyanyikan lagu-lagu yang dipopularkan oleh penyanyi tersohor Malaysia," katanya yang popular menerusi filem Mereka Bilang, Saya Monyet! itu.
Dalam pada itu, Addie turut menyeru agar warga nusantara sentiasa bersatu agar ikatan serumpun sentiasa terpelihara.
"Hubungan kita sering terganggu dengan masalah yang kecil. Tetapi kalau dinikmati bersama-sama, mudah-mudahan dapat mengeratkan tali persaudaraan. Program ini mungkin akan membantu," ujar komposer berusia 53 tahun itu.
IMB3 menampilkan sembilan orang peserta daripada pelbagai latar belakang bakat iaitu Ardhy Dwiki, Vina Candrawati, Aditya Yusuf, Sandrina Mazaya, Josua Pangaribuan, Street Pass Junior, Gifty Toisuta dan Abby Gallaby.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: