|
AKSI memasukkan api ke dalam mulut sebelum melakukan hembusan berapi bak seekor naga yang berang sememangnya sukar dilakukan.
Namun, kini persembahan itu sudah menjadi penghias utama upacara tertentu termasuk majlis perkahwinan.
Sebenarnya, sejarah penghibur pemakan api bermula dengan satu amalan spiritual penganut agama Hindu tegar.
Ia cuma terkenal sebagai pertunjukan awam pada 1880-an apabila Robert Powell dari Britain memperkenalkan acara itu untuk tontonan orang ramai.
Lelaki itu bukan sahaja meniup dan memakan api bahkan memasukkan arang, besi dan batu panas ke dalam mulutnya.
Kebolehan memakan api tidak terhad kepada lelaki tetapi juga wanita. Seorang nenek, Qian Chu yang berusia 70 tahun turut memiliki kebolehan itu.
Chu yang tinggal di Wilayah Hunan, China mampu menggigit bara api tanpa mengalami kecederaan.
Namun, Chu tidak melakukannya secara komersial sebaliknya mengadakan pertunjukan secara kecil-kecil di kampungnya.
Katanya. dia mempelajarinya selepas insiden termakan cebisan kayu arang semasa berumur enam tahun. Kemudian, nenek itu membuat latihan secara berterusan sehingga mahir.
Rakyat Malaysia pula berbangga dengan Muhammad Syawal Muhammad Ali Napiah, 21, yang boleh mempamerkan aksi sedemikian.
Kemahiran
Muhammad Syawal mengakui aksi sebegitu sukar dibuat.
"Aksi ini mencabar minda dan kebolehan anda tetapi ia boleh menjana pendapatan yang lumayan," katanya dalam satu temu ramah beberapa tahun lalu.
Dia yang berasal dari Wangsa Maju, Kuala Lumpur mempunyai 11 orang adik-beradik. Kerjayanya itu bermula sejak umur 15 tahun.
"Saya mempelajarinya melalui laman perkongsian video YouTube dan membuat latihan di rumah. Syukur kerana saya boleh memperoleh sehingga RM2,300 sebulan dengan kerjaya ini," katanya.
Realitinya, aksi ini juga boleh dilakukan oleh badut.
D. Ravindran, 30, yang berasal dari Kepong, Kuala Lumpur telah lebih 10 tahun menjadi seorang badut tetapi baru kini menggunakan kemahiran itu dalam persembahannya.
Dia dan adik kembarnya Rajendra telah tiga tahun bergelumang dengan 'silap mata' itu.
"Biasanya pertunjukan itu dijadikan sebagai acara pembuka majlis. Kadang-kadang pelanggan inginkan sesuatu yang baharu dan berbeza.
"Tetapi ada banyak perkara yang perlu diambil kira seperti pertunjukan itu harus dibuat di luar bangunan kerana ia boleh mengganggu sistem keselamatan kebakaran bangunan," katanya.
Selain itu, faktor angin, jarak dengan penonton dan keadaan cuaca akan diambil kira.
"Lebih baik dilakukan di kawasan terbuka dan lapang untuk keselesaan penonton dan saya sendiri.
"Soal pergerakan angin juga dititikberatkan. Lebih baik saya meniup dan memasukkan api ke dalam mulut secara bertentangan dengan arah angin bagi mengelakkan minyak kerosin atau minyak tanah terpercik ke muka dan badan," katanya.
|
|
Tutur Ravindran, aspek lain yang diteliti ialah kuantiti minyak tanah yang diminum.
"Ada tahap tertentu minyak boleh disimpan di dalam mulut selain perlu menyimpan air bagi mengelakkan terlalu panas.
"Bahagian lidah juga akan disapu dengan krim khas bagi menghindari kesan terbakar," katanya.
Lain pula ceritanya jika membuat persembahan api di pergelangan tangan. Tangan akan disapu dengan krim selaran matahari terlebih dahulu.
Kata Ravindran, ini bagi meminimumkan kesan terbakar pada bulu roma dan kulit.
Jelasnya, faktor helah dan silap mata juga memainkan peranan.
"Kadang-kadang api itu tidak dimasukkan ke mulut serta tidak mengenai tangan. tetapi penonton melihatnya seolah-olah benar.
"Namun untuk melakukannya, ia perlukan latihan yang maksimum selain bantuan warna pakaian dan rentak muzik.
"Warna pakaian memberi bantuan dari sudut pencahayaan manakala rentak muzik boleh mengalihkan sudut pandang mereka," ujarnya.
Katanya lagi, persembahan menggunakan api lebih baik dilakukan secara berpasangan. Ia bukan sahaja untuk memberi keyakinan kepada diri sendiri malah dapat membantu sekiranya berlaku perkara tidak diingini.
Muka terbakar
Lelaki berperwatakan serius ini berkata, faktor kurang latihan menyebabkan ada segelintir rakannya yang tersilap teknik sehingga sebahagian muka mereka terbakar.
Katanya, dia sendiri belajar daripada seorang guru dari Indonesia selama lima tahun sebelum mencubanya dalam persembahan.
Ravindran memberitahu, sebelum membuat pertunjukan kepada khalayak, dia melakukan ribuan kali eksperimen di rumah sehingga lidahnya lali dengan api.
"Sampai makan makanan yang baru dimasak seperti sup pun tiada masalah kerana sudah biasa. Mulut dan tangan cedera ringan itu lumrah.
"Lihatlah kesan luka di pergelangan tangan dan mulut saya ini," katanya.
Bukan itu sahaja, dia juga mengakui telah terminum minyak tanah sehingga beberapa liter.
"Orang lain minum minuman seperti jus oren dan milo tetapi saya minum minyak tanah.
"Ini memaksakan saya menjalani pemeriksaan kesihatan bulanan bagi memastikan bahagian dalaman tubuh tidak terjejas," ujarnya.
Katanya, mereka yang ingin mahir bermain dengan api perlu menjalani latihan berterusan.
"Tiada istilah sudah mahir. Latihan berterusan menjadi pemacu utama.
"Saya sendiri masih tidak dapat bermain api menggunakan kedua-dua tangan," ujarnya.
Jelasnya, teknik itu sukar.
"Tersilap teknik kayu api boleh terlepas daripada genggaman dan mengenai penonton," terang Ravindran.
Bercerita mengenai material, kayu, kapas dan kain untuk menyalakan api mesti berkualiti dan sesuai.
"Kayu yang digunakan ialah kayu jati yang tebal dan tahan lama selain kapas dan kain tebal. Jika tidak, kita akan terbakar sebelum persembahan bermula," katanya ketawa.
Sambil menunjukkan beberapa aksi kepada kru Jurnal, dia meminta kami membuat aksi yang serupa.
Bagaimanapun, memandangkan di meja kami juga terdapat piza dan minuman berkarbohidrat, adalah lebih baik menikmati makanan tersebut daripada memakan api!
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: