Saturday, January 12, 2013

Gold Wing, CB500F, CB500X dan CBR500R!


TONA merah hitam menjadikan jentera jelajah mewah Honda Gold Wing F6B kelihatan lebih garang.


DUA tahun kebelakangan ini, industri motosikal berkuasa tinggi tempatan semakin meriah. Ledakannya bermula dengan penjualan Kawasaki ER-6 dan Ninja 250 yang masing-masing ditawarkan pada harga kompetitif iaitu sekitar RM30,000 dan RM18,000 seunit.
Susulan itu, beberapa model motosikal yang sebelum ini tidak terjangkau oleh kebanyakan rakyat dipasarkan dengan strategi harga lebih masuk akal.
Harga-harga tersebut boleh ditawarkan kerana ia dipasang di negara Asean dengan duti cukai yang lebih rendah selain kemudahan pinjaman peribadi.
Pada tahun 2013, pasaran motosikal berkuasa tinggi dijangka semakin meriah. Jika 2012 boleh dianggap sebagai tahun Kawasaki, maka pada tahun ini pengeluar jenama lain akan memberi saingan lebih sengit.
Honda misalnya telah mengumumkan sejumlah model baharu antaranya Gold Wing F6B, CB500F, CB500X dan CBR500R.
Honda Gold Wing F6B
Siapa yang tidak kenal dengan Honda Gold Wing? Sama ada untuk menjelajah antara negeri atau merentas dunia, motosikal ini mempunyai pelbagai ciri-ciri sokongan yang diperlukan.
Enjin yang menguasakannya bersesaran 1,832cc enam silinder didatangkan bersama teknologi suntikan bahan api.
Enjin tersebut adalah satu keunikan Honda. Bentangan silindernya melintang dan berdepan, sekali gus merendahkan titik gravitinya. Reka bentuk tersebut dengan rangka aluminium dan sistem suspensi yang sofistikated membolehkan Gold Wing F6B mudah ditunggangi.
Bahagian motosikal berwarna hitam dengan garisan panjang dan rendah memberi imej agresif. Beg tepi besar, pelana gayaan penembak dan sistem audio premium menambah nilai kepada motosikal itu.
Honda Gold Wing F6B didatangkan dalam dua varian iaitu standard dan deluxe dengan dua warna iaitu merah atau hitam. Pembeli juga boleh memilih pelbagai aksesori yang ditawarkan Honda. Harganya bermula AS$19,999 (RM60,856) untuk model standard dan AS$20,999 (RM63,899) bagi model deluxe.
Honda CBR500R

CBR500R ditawarkan kepada mereka yang ingin naik taraf motosikal bersesaran 250cc.


Jika diikutkan, permintaan motosikal mewah seperti Gold Wing tidaklah sebanyak mana di tempat kita. Pasaran lebih tertumpu kepada kategori motosikal sport seperti Honda CBR500R.
Dengan pengenalan model itu, dakwa Honda, mereka telah mendefinisikan semula motosikal kelas pertengahan. Selain menambah keterujaan penunggang yang mencari motosikal yang menyeronokkan dengan nilai tinggi.
Motosikal itu dibangunkan untuk mereka yang mahu menaik taraf daripada model asas seperti CBR250R.
Motosikal itu dikuasakan oleh enjin suntikan bahan api 500cc parallel-twin DOHC. Fairing CBR500R diinspirasikan daripada dua model Honda iaitu CBR600RR dan CBR1000RR.
Badan yang aerodinamik pada motosikal itu membolehkan aliran udara diurus dengan berkesan untuk tunggangan lebih selesa.
Kerangka dengan suspensi belakang tunggal Pro-Link (R), fork 41 milimeter (mm), rim 17 inci, brek cakera pada roda hadapan berukuran 320mm dan brek cakera roda belakang (240mm) pula menyempurnakan pakej yang ditawarkan Honda. Honda CBR500R standard ditawarkan pada harga sekitar AS$5,999 (RM18,254) dan AS$6,499 (RM19,786) untuk model ABS.
Honda CB500F
Model motosikal naked CB500F jika kena pada harga mampu memberi saingan sengit kepada Kawasaki ER6N. Ia bukan sahaja membawa imej bergaya, malah prestasi dan versaliti sama ada untuk kegunaan harian atau pun bersiar-siar.



Profailnya yang langsing dan posisi duduk yang neutral membolehkan penunggang berasa selesa. Sementara suspensi Pro-Link Honda dan fork bersaiz 41mm menyumbang kepada tunggangan selesa dan pengendalian yang lincah.
Opsyen warna untuk model standard ialah hitam atau putih mutiara, manakala warna tunggal untuk model ABS ialah hitam. Model standard ditawarkan pada harga AS$5,499 (RM16,744) dan model ABS berharga AS$5,999 (RM18,254).
Honda CB500X
Model itu pula dilihat mampu memberi saingan kepada Kawasaki Versys. Dakwa Honda, model itu bukan sahaja sekadar menawarkan tunggangan yang bagus, malah mempunyai pelbagai ciri-ciri yang versatil.
Ketinggian cermin depan boleh dilaras, manakala tangki minyak dengan kapasiti besar direka untuk posisi tunggangan tanpa rintangan. Hendal lebar pula membantu penunggang untuk input yang lebih mudah.
Pembeli turut ditawarkan pelbagai aksesori tulen Honda untuk sentuhan peribadi pada motosikal tersebut. CB500X untuk mengembara mahupun tunggangan harian. Warna yang ditawarkan ialah hitam Metalik Matte untuk model standard dan ABS. Harganya akan diumumkan kelak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: