Wednesday, January 2, 2013

Cinta dunia atas, bawah



FILEM Upside Down yang telah mula ditayangkan di pawagam Malaysia edaran Rainfilms Sdn. Bhd sejak Khamis lalu merupakan sebuah filem sains fiksyen percintaan yang jarang sekali dilakukan oleh pengarah di Hollywood.
Ia merupakan hasil karya pengarah kelahiran negara Argentina, Juan Diego Solanas yang telah memilih aktres terkenal Kirsten Dunst dan Jim Sturgees sebagai teraju utama filem tersebut.
Filem yang berlatar belakang tahun 70-an dan 80-an itu mengisahkan dua dunia yang seperti terikat antara satu sama lain apabila terdapat satu dunia di atas dan satu lagi dunia di bawah dan ia mengikut graviti.
Terdapat satu dunia berada di atas, satu lagi di bawah, dunia di bahagian bawah adalah dunia yang miskin dan huru-hara dan satu lagi yang atas merupakan dunia yang kaya-raya dan maju.
Satu dunia itu wujud kerana memiliki bekalan kuasa elektrik, sementara yang satu lagi kaya dengan minyak disebabkan itulah, satu dunia lebih maju berbanding yang satu lagi dan kedua-dua industri ini diuruskan oleh sebuah syarikat digelar Transworld, yang pada dasarnya memerintah segala-galanya.
Dunst, 30, menggambarkan filem itu mengisahkan tentang dua dunia dan graviti yang membuatkan kedua-dua dunia itu terpisah dan terdapat sebuah menara yang menghubungkan penduduk di situ.
“Penduduk dua dunia itu bekerja dalam bangunan yang sama tetapi terdapat batas dan undang-undang yang harus dipatuhi, satu dunia itu seperti negara Cuba yang miskin dan satu dunia lagi berkelas tinggi seperti Upper East Side di New York,” jelasnya dalam satu sesi temuramah baru-baru ini.

PERCINTAAN antara dunia merupakan intipati filem Upside Down.


Ujarnya lagi, watak yang dilakonkannya hidup di dunia yang berkelas tinggi manakala Sturgess di Cuba dan filem itu umpama perbezaan percintaan dua darjat.
“Satu dunia mengawal yang lain disebabkan oleh bekalan elektrik, manakala satu dunia lagi mengawal perkara yang lain disebabkan bekalan minyak,” jelasnya yang memegang watak Eden dalam filem berkenaan.
Pelakon yang cukup dikenali menerusi filem Jumanji ketika zaman kanak-kanaknya itu menerangkan bahawa, filem terbaharunya itu berlatar belakang bangunan usang dan pencahayaan juga kelihatan seperti tahun 80-an.
“Walaupun ada elemen moden tetapi ia zaman terbelakang, malah komputer yang saya gunakan juga jenis yang lama dan saya sangat sukakannya, jelasnya yang menganggap filem-filem bercirikan zaman dahulu adalah yang terbaik kerana tidak menampilkan peralatan zaman terkini seperti sebuah iklan komersial.
Amnesia
Bercerita lebih lanjut mengenai wataknya dalam Upside Down pula, Dunst memberitahu pula, ia bermula ketika Eden kecil dan kemudian bertemu dengan seorang jejaka dari dunia bertentangan iaitu Sturgees yang memegang watak Adam.
“Ia merupakan sebuah filem cinta, bagaikan kisah Romeo dan Juliet yang mana kedua-duanya berasal daripada latar belakang yang berbeza dan keadaan memisahkan mereka, darjat mereka, asal-usul mereka, si gadis juga hilang ingatan akibat kemalangan ketika masih kecil dan dia lupa ingatan,” jelasnya.
Berbeza berbanding kisah cinta lain, ujar Dunst, ia memaparkan soal Adam yang sedaya upaya ingin Eden mengingatinya kembali bukannya seperti kebiasaan filem cinta yang menggambarkan perempuan yang menagih cinta lelaki.

KOLABORASI mantap Kirsten dan Jim ternyata berjaya menyemarakkan percintaan yang perlu diselami dalam filem Upside Down.


“Tidak disangka, Eden mengalami kemalangan yang menyebabkan dia menghidap amnesia sehingga dia melupakan memori bersama Adam,” jelasnya telah menolak banyak tawaran yang hebat pengarah filem lain kerana tertarik dengan skrip dan set filem Upside Down.
Memperincikan tentang filem itu, kata Dunst, ia berkenaan seorang lelaki di dunia bawah ketika kecil yang gemar menaiki puncak pergunungan Sage yang merupakan puncak tertinggi bagi dunia bawah.
Tanpa disangka dia menemui gadis idamannya, Eden. Pertemuan itu berubah kepada satu perhubungan cinta dan mereka sering bertemu di situ.
Konflik dalam filem itu berlaku apabila, Adam ditangkap kerana menjalinkan hubungan terlarang dengan gadis dari dunia atas dan kemudian dipenjarakan selama sembilan tahun. Malangnya Eden mengalami kemalangan sehingga amnesia kerana terjatuh disebabkan pertembungan graviti.
Filem itu berlanjutan apabila Adam sedaya upaya untuk memenangi kembali hati gadis itu walaupun dia telah hilang ingatan.
Serasi dengan Jim Sturgees
Sepanjang penggambaran filem berkenaan juga, Dunst turut memberitahu terdapat beberapa momen menarik apabila terdapat dua dunia terbalik.
“Saya tidak boleh pakai skirt atau kain bila ke dunia Adam kerana ia akan mengikut arah graviti. Bagi Adam pula, dia tiada masalah kerana dia berambut pendek. Dia tidak perlu melakukan apa-apa. Saya sebaliknya perlu menyikat rambut ke belakang atau bersanggul berkali-kali kerana jika tidak, saya akan kelihatan bodoh,” ujarnya.
Dia juga turut berkongsi kenangan sepanjang penggambaran bersama Sturgees sebagai pasangan kekasih dalam filem itu dan dia mengganggap lelaki itu bagai abang kandungnya sendiri.
“Saya sayangkan dia, sungguh. Dia juga seorang yang sangat baik,” katanya mengakui tidak sukar mencari keserasian dengan aktor itu.
Baginya adegan yang tidak dapat dilupakannya sepanjang menjalani penggambaran bersama Sturgees adalah ketika dia duduk di bahu lelaki itu.
“Saya dan dia berangan-angan seolah-olah kami macam budak

KEMESRAAN yang mudah terjalin antara Kirsten dan Jim di set penggambaran filem Upside Down.


kecil yang teruja, dan kami melambung-lambung di udara. Saya seolah-olah anak kecil di bahunya dan ketika kami menonton kembali rakaman dan kami tergelak-gelak bagai nak gila,” tambahnya yang sebelum ini cukup popular sebagai Mary Kane dalam siri filem pecah panggung, Spider-Man.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: