
AUTOBIOGRAFI Ruslan mencerminkan keprihatinan beliau mengenai industri seni bina dan juga seruan kemajuan bangsa.
WALAUPUN tanpa kehadirannya, suasana Dewan Banquet, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur ketika sesi pelancaran buku Quest For Achitectural Excellence: A Malaysian Experience berjalan lancar seperti yang dijadualkan.
Pelancaran buku tersebut merupakan amanat dan wasiat seorang arkitek yang disegani di Malaysia iaitu Datuk Ruslan Khalid sebelum menghembuskan nafas terakhir ketika berumur 79 tahun pada 11 November lalu akibat jangkitan paru-paru sejak setahun sebelum pemergiannya.
Quest For Achitectural Excellence: A Malaysian Experience merupakan sebuah buku autobiografi yang ditulis sendiri oleh Allahyarham sejak empat tahun lalu.
Buku tersebut menceritakan pengalaman hidupnya dalam usaha untuk mencipta nama dalam arena seni bina bangunan di Malaysia dan kebanyakan negara Eropah.
Tidak hanya menyentuh aspek seni bina, buku autobiografi itu juga meceritakan mengenai kehidupannya sebagai seorang anak kampung yang dilahirkan pada 27 April 1933 di Perlis. Beliau kemudian berjaya melanjutkan pelajaran ke Regent Street Polytechnic di England seterusnya mempunyai firma seni bina di London pada tahun 1973 iaitu Ruslan Khalid Associates.
Tidak hanya terlibat dalam bidang seni bina, dia juga merupakan anak Melayu pertama yang dilantik sebagai pensyarah senior di Universiti Portsmouth pada tahun 1974.
Sahabat lama beliau, Richard Leete memberitahu, buku tersebut berbeza dengan buku autobiografi yang ditulis oleh kebanyakan ahli politik yang berada di pasaran.
Menurutnya, latar belakang pendidikan dan kerjaya Ruslan mampu menunjukkan bahawa beliau seorang arkitek yang disegani di Malaysia dan luar negara.
“Buku ini menerangkan mengenai realiti kehidupan seorang arkitek yang bermula daripada bawah untuk mengecapi kejayaan dalam bidang yang telah diceburinya.
“Beliau mempunyai idea yang amat bernas dan mempunyai pemikiran yang kritis dalam setiap penghasilan seni bina bangunan yang dihasilkan olehnya,” ujar Leete.
Dua mesej utama yang ditekankan dalam buku autobiografi tersebut ialah untuk memberi inspirasi dan motivasi kepada golongan muda dalam mengecapi kejayaan dalam sesuatu bidang dan untuk memastikan kerajaan Malaysia memainkan peranan utama untuk merancang pembangunan negara.
Bagi cetakan pertama buku tersebut, ia dicetak sebanyak 2,000 naskhah dan ia telah berada di pasaran sejak Disember lalu. Hasil daripada jualan buku akan diserahkan kepada badan kebajikan Persatuan Chopin Malaysia.
Arkitek terkemuka, Hijjas Kasturi turut diberi penghargaan berucap dalam sesi pelancaran buku tersebut. Beliau memberitahu, autobiografi berkenaan merupakan pandangan Ruslan mengenai perkembangan sosial masyarakat di Malaysia menurut kaca matanya sendiri.
“Setiap topik yang dibincangkan dalam buku ini tidak kira sama ada hal ehwal kehidupan atau pun seni bina Malaysia dan luar negara, ia merupakan catatan ikhlas daripadanya dan ia merupakan kisah benar mengenai perkara yang berlaku terhadapnya.
“Bagi golongan muda yang terlibat dalam industri seni bina, buku ini merupakan salah satu naskhah yang harus dijadikan contoh untuk anda. Ia sedikit sebanyak memberi panduan kepada anda untuk menjadi arkitek yang mampu berdiri di atas kaki sendiri,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: