UNIK...kamera lama juga boleh diperoleh pada harga berpatutan.
Begitu juga dengan membeli-belah. Masing-masing tidak perlu lagi berebut semata-mata mendapatkan sesuatu barangan, sebaliknya ia boleh dilakukan melalui hujung jari saja di rumah secara dalam talian.
Tetapi, adakah pembelian barangan atau produk secara dalam talian sebegini menyamai kepuasan membeli barangan secara langsung?
Eksekutif perbankan, Nurul Aini Mohd Latiff, 28, gemar membuat pembelian secara dalam talian mengkhusus kepada produk tertentu saja.
Pada peringkat awal membeli secara dalam talian, dia membuat pembelian selendang dan hingga kini dia masih mengamalkannya.
Bukan saja memudahkan, tetapi corak, warna dan bentuk selendang yang dibeli menyamai produk yang dipamerkan dalam blog.
“Saya meneliti terlebih dulu jenama barangan yang diingini serta membuat perbandingan harga atau kualiti dan bukan membelinya tanpa memikirkan masalah pada kemudian hari.
“Jika sudah membuat keputusan untuk memilih sesuatu jenama, saya akan mengikuti perkembangan terkini dan kemudian barulah membeli,” katanya ketika ditemui di Femes Bazaar yang diadakan di Rasta, Jalan Datuk Sulaiman, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Namun, untuk barangan lain seperti baju, dia masih belum begitu pasti dengan kualiti serta saiz pakaian yang ditawarkan memandangkan bentuk badannya agak berisi.
“Saya tidak begitu yakin dengan pilihan saiz baju yang ditawarkan lalu memilih untuk membelinya di kedai bagi memastikan kualiti barangan berpadanan dengan harga.
“Malah, saya tanya pendapat rakan terlebih dulu dan membuat perbandingan antara satu jenama dengan jenama yang lain, tetapi yang pasti pembelian dengan barangan ada di tangan lebih mengujakan,” katanya.
Nurul Hannah Fadzilan, 22, pula gemar mengunjungi aktiviti bazar sedemikian kerana boleh mendapatkan barangan pada harga lebih rendah berbanding pembelian di blog.
Sekiranya membeli secara dalam talian, barangan yang ditawarkan itu tidak boleh dilihat secara langsung dan segalanya bergantung kepada keyakinan diri.
Walaupun membuat belian secara dalam talian, ternyata kepercayaan terhadap produk yang dipamerkan tidak boleh diletakkan 100 peratus.
“Saya pernah membuat pembelian baju raya secara dalam talian dengan memilih saiz dan potongan mengikut badan asal, tetapi apabila diterima, baju itu tidak cukup panjang (singkat) dan saya agak kecewa.
“Daripada gambar dan saiz yang dipaparkan, kelihatan baju terbabit cukup sempurna, tetapi ternyata ia indah khabar daripada rupa,” katanya.
Bagi Siti Marlina Meor Jalaluddin, 28, dia sememangnya pembeli tegar barangan secara dalam talian kerana ia memudahkan dirinya.
Malah, fokus pembelian hanya terarah kepada barangan dikehendaki tanpa menyimpang kepada barangan lain seperti kebiasaan berlaku apabila keluar membeli-belah.
“Pada awalnya saya agak takut untuk melakukan belian secara dalam talian kerana bimbang tertipu serta apa yang dikehendaki tidak sampai, tetapi saya berserah saja dengan harapan bukan sebaliknya berlaku.
“Alhamdulillah hingga kini saya belum mengalami sebarang masalah dengan setiap pembelian. Ada 10 peniaga barangan dalam talian yang menjadi kegemaran saya kini,” katanya.
Pengunjung bazar, Mohd Fendy Izwanizam Bahiman, 25, pula lebih gemar membuat pembelian secara langsung berbanding dalam talian kerana boleh melihat sendiri kualiti barangan dikehendaki, bukan tekaan semata-mata.
“Pengalaman rakan yang tertipu menggunakan cara pembelian sebegitu mendorong saya untuk mengelak daripada membeli secara dalam talian.
“Namun, ada kebaikan dan keburukan membeli secara dalam talian. Paling penting individu yang mengamalkannya perlu meneliti dan membuat pertimbangan sewajarnya sebelum membuat keputusan melakukannya,” katanya.
Seramai 50 peniaga menyertai aktiviti bazar berkenaan yang memperlihatkan kepelbagaian produk dan barangan yang ditawarkan kepada pengunjung.
Mereka terdiri daripada 35 pengusaha blog dan 16 selebriti terkemuka tanah air yang turut meluangkan masa menyertai aktiviti berkenaan.
Antara pengusaha yang me–nyertai bazar termasuk You, Me and Shoes, Cufica, Ana Abu, Wolf Gang, Hameera Design, Flash Back, FYFA, Bellapizo, RedClassic Event, Fabulous Fashion, Fashion Conversation, Limited Rainbow, Aishah Sinclair dan Sazzy Falak.
Bagi peniaga, aktiviti yang dijalankan ini mendekatkan mereka dengan penggemar barangan yang sebelum ini hanya mendapatkannya secara dalam talian, tetapi kali ini setiap produk ditawarkan secara langsung pada harga berpatutan.
Menurut pengasas Limited Rainbow, Atikah Farhana Zulkefli, 23, bukan mudah untuk meyakinkan pelanggan mendapatkan produk secara dalam talian.
Mereka pasti teragak-agak membuat pembelian kerana tidak mengetahui bentuk serta kualiti barangan yang dipamerkan kerana tidak melihatnya secara langsung.
“Saya mengambil inisiatif memberikan penjelasan secara jelas mengenai barangan sama ada dari segi saiz, warna, bentuk serta potongan.
“Ia menjadikan hubungan antara peniaga dan pelanggan lebih erat kerana maklum balas yang diperoleh menjadikan mereka lebih yakin dengan kualiti barangan,” katanya.
Selain itu, Syarifah Zanida Syed Md Zaki pula memilih untuk memasarkan barangan aksesori seperti rantai leher, gelang tangan dan cincin. Pemilihan aksesori untuk dipadankan bersama pakaian tidak sesukar memilih pakaian yang ingin digayakan.
“Penggayaan aksesori juga lebih pelbagai dan rantai leher antara produk paling mendapat permintaan hangat daripada pelanggan,” katanya.
Bagi Nurulhuda Zulkifli, kolek–si Fashion Conversation yang disediakannya lengkap daripada pakaian, aksesori serta beg tangan.
Pelanggan boleh mendapatkan padanan gaya diingini pada satu tempat mengikut kesesuaian dan harga ditawarkan pula berpatutan. Kebanyakan produk diimport dari Korea, Hong Kong, China dan Indonesia yang menjadi ikutan penggemar fesyen.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: