WATAK kartun fantasi seperti Mickey Mouse, Donald Duck, Snow White dan Cinderella sering menghiasi pusat didikan kanak-kanak (tadika) di negara ini, namun Play Station tampil dengan konsep berbeza.
Pusat motivasi dan pembangunan diri yang terletak di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur itu memilih persekitaran yang lebih santai, justeru suasana pembelajaran terasa lebih menyeronokkan.
“Kami mahu menjadikan sesi pembelajaran tidak membosankan khususnya bagi kanak-kanak yang berusia antara tiga hingga enam tahun,” kata pemiliknya, Michelle Pang.
Beliau memberitahu, rakannya, Jefri, banyak memberikan idea tentang susun atur perabot dan perhiasan di premis dua tingkat itu.
Ketika melangkah masuk ke dalamnya, pandangan mata disambut rak-rak buku dan sebuah set sofa hitam.
Walaupun memiliki banyak barang mainan, ruang yang ada tidak sesak atau bersepah.
“Pusat ini tidak mengikut konsep guru-murid yang bertujuan mengawal kanak-kanak seperti yang dilaksanakan di tadika biasa.
“Cara itu akan menyebabkan kanak-kanak terasa diri mereka dikawal. Jadi, di sini saya memberi kebebasan bergerak supaya mereka boleh belajar dalam suasana yang selesa,” ujarnya yang mengenakan bayaran sebanyak RM250 sebulan untuk seorang murid.
Dengan jumlah murid kira-kira 50 orang, susunan perabot yang ringkas tidak memberi sebarang masalah. Rekaannya juga sesuai untuk kanak-kanak dan orang dewasa.
“Jika dilihat dengan teliti dinding di tingkat bawah, ia bercorak seperti permainan teka-teki dan kanak-kanak selalunya menggemari suasana seperti itu.
“Kadang-kadang mereka kelihatan sangat tertarik dengan rona dinding di samping koleksi barang mainan dan pelajaran bercirikan alam sekitar dan manusia, begitu juga koleksi jurnal Encyclopaedia Britannica,” ujarnya.
Tambah beliau, lantai lamina coklat muda dan gelap disusun kemas bagi memastikan kanak-kanak selamat ketika berjalan dan bermain.
Hampir keseluruhan ruang itu segar dengan padanan warna set kerusi meja dan cat dinding.
Yoga
Selain itu, sebuah pentas kayu kecil sering menjadi tumpuan. Ia berlatarkan warna hitam dan dihiasi gambar bulan dan bintang serta koleksi haiwan.
Kata Michelle, suasana pembelajaran yang bebas itu amat digemari kanak-kanak sementara ibu bapa dapat merasai keunikan pendekatan pendidikan itu ke atas anak-anak mereka.
Melangkah naik ke tingkat atas pusat itu, dinding di sepanjang tangganya yang dihiasi poster bunga matahari hasil kreativiti kanak-kanak di situ begitu mencuit hati.
Ruang di tingkat atas berbeza sama sekali dengan gabungan empat warna dinding.
“Biru, putih, kuning dan hijau memberi pemandangan yang segar dan sejuk. Tingkat ini juga dilengkapi rak putih untuk menyimpan buku dengan kemas.
“Kami mahu kanak-kanak yang belajar di sini merasai suasana itu tanpa wujud perasaan mereka sedang direkrut,” kata Michelle.
Walaupun agak ringkas sentuhan reka bentuknya, gabungan warna itu mengubah senario di ruang tersebut.
Lantai berlamina warna coklat gelap yang licin turut melancarkan pergerakan kanak-kanak yang mengikuti kelas yoga di situ.
“Saya wajibkan kelas yoga bagi memastikan kanak-kanak itu sentiasa bertenaga,” beritahu Michelle.
Difahamkan, kos pengubahsuaian pusat berkeluasan 130 meter persegi di tingkat bawah dan 177 meter persegi tingkat atas itu ialah sekitar RM250,000.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: