Monday, June 4, 2012

Dzianti latih wanita berjubah


DZIANTI membuka gimnasium di Mont Kiara, Kuala Lumpur lebih dua tahun.


DAHULU, Dzianti Merican, 30, seorang yang pemalu serta tidak mempunyai keyakinan diri. Begitupun, setelah mengikuti kelas seni mempertahankan diri muay thai di Amerika Syarikat (AS), dia menjadi seorang yang berkeyakinan tinggi selain tidak malu-malu lagi.

Memulakan cerita, Dzianti yang ditemui di gimnasium miliknya di Mont Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini mengakui, kehidupannya semasa zaman persekolahan tidak seperti gadis-gadis bandar yang lain.

"Saya kurang bersosial mahupun aktif dalam kegiatan sukan di sekolah walaupun fizikal saya normal seperti gadis lain.

"Mungkin disebabkan saya anak bongsu dan jarak umur antara saya dengan dua orang kakak agak jauh, jadi kemahiran bersosial saya agak kurang," tuturnya.

Namun, di sebalik sifat pemalu itu, dia memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sehingga layak menyambung pengajian di sebuah kolej fesyen terkenal di New York, Institute of Laboratory Merchandising.

Dzianti sememangnya seorang penggemar fesyen. Dia pasti mengikuti trend fesyen menerusi majalah dan internet.

Fesyen

"Semasa berumur 18 tahun, saya meluahkan hasrat untuk menyambung pengajian di New York. Pada mulanya ibu agak keberatan kerana khuatir saya tidak dapat menyesuaikan diri.

"Selepas memujuknya beberapa kali, akhirnya dia membenarkan saya pergi ke negara Uncle Sam itu seorang diri," ceritanya.

Lucunya, selain membawa beg berisi pakaian, sebuah lagi beg besar yang dibawa dipenuhi dengan pelbagai jenis makanan segera seperti mi segera, bubur nasi, keropok dan nasi beriyani segera.

"Saya mesti makan nasi setiap hari. Walaupun melancong bersama keluarga di luar negara, menu daripada makanan ruji orang Melayu itu mesti ada.

"Sekalipun saya lebih fasih bertutur dalam bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu, saya masih mengingati asal-usul dan berpegang teguh dengan budaya ketimuran," katanya berfalsafah.

DI SEBALIK wajahnya yang ayu, wanita ini telah terlibat dengan muay thai selama lebih 10 tahun.


Berbekalkan keazaman yang tinggi, gadis yang belum berkahwin ini bagaimanapun tewas setelah empat bulan menetap di bandar raya itu.

"Saya menganggap penduduk New York pada masa itu lebih mementingkan diri sendiri dan bersifat individualistik.

"Saya pernah terjatuh di tepi jalan akibat permukaan jalan yang licin. Kejadian itu berlaku pada satu malam yang sejuk semasa musim salji. Pada masa itu saya baru sahaja pulang daripada membeli makanan di sebuah kedai runcit.

"Tetapi tiada siapa yang ingin membantu. Saya menangis sendirian di situ selama beberapa minit," katanya.

Dzianti tidak mempunyai ramai kawan di New York dan hari-hari yang dilaluinya terasa begitu menyeksakan.

"Hampir setiap hari, saya menelefon ibu, Faridah Abdul Hamid, kerana ingin berhenti daripada kolej tetapi sebaliknya ibu sering meminta saya jangan menelefonnya dengan kerap.

"Akhirnya, ibu meminta saya berpindah ke California dan tinggal bersama kakak yang menetap di sana selain menyambung pengajian," ujarnya.


MUAY thai membuatkan Dzianti lebih berkeyakinan diri.


Perpindahan ke San Francisco, California itu membuka lembaran baharu dalam hidup gadis yang tidak lekang dengan senyuman ini.

Jubah

Dia berubah selepas melibatkan diri dengan seni mempertahankan diri muay thai.

"Semasa dalam perjalanan pulang dari kolej, saya terpandang sebuah bangunan gimnasium yang menawarkan kelas muay thai.

"Entah mengapa, saya terus mendaftar dan menyertainya secara konsisten sehingga sanggup mengikuti latihan sehingga berjam-jam setiap hari.

"Walaupun badan berasa lenguh dan dipenuhi kesan calar dan luka, saya berasa puas. Ramai yang terkejut dengan perubahan sikap saya yang menjadi lebih peramah berbanding sebelum ini," ujarnya.

Tuturnya, pergerakan wanita dalam seni mempertahankan diri muay thai adalah setangkas peserta lelaki dengan tujahan siku dan lutut yang tepat. Ia selalu sahaja membuatkan lawan mengerekot menahan kesakitan.

"Ketajaman fikiran merupakan asas dalam muay thai manakala pergerakan tubuh lain sebagai pelengkap kepada kekuatan keseluruhan

"Dengan pergerakan yang praktikal malah kadangkala cukup satu tumbukan yang tepat, pihak musuh dapat ditumbangkan dengan mudah. Ini menjadikan seni ini pilihan yang tepat bagi saya," katanya.

Ujarnya lagi, secara lahiriah, gadis memang lembut dan keadaan ini menyukarkan mereka mempertahankan diri.

PERSEDIAAN sebelum bertarung dalam sesi latihan.


Namun, jika mereka tahu cara yang betul menggunakan siku atau lutut, itu sudah memadai menjadi senjata mempertahankan diri

Sebaik sahaja pulang daripada perantauan dua tahun lalu, Dzianti mengambil keputusan membuka Merican Muay Thai Gym. Menurut Dzianti, ramai yang terkejut dengan keputusannya itu.

"Kini, saya mempunyai tiga orang tenaga pengajar lelaki manakala saya mengajar kaum Hawa," katanya.

Jelasnya, selain memberi peluang kepada kaum Adam untuk melibatkan diri secara aktif, sukan itu juga terbuka untuk wanita.

"Setiap Ahad saya mengajar wanita dalam kelas tertutup termasuk wanita yang memakai jubah. Hakikatnya, semua individu termasuk perlu belajar seni mempertahankan diri demi keselamatan.

"Tetapi jika keadaan terdesak dan tidak menyebelahi kita, lebih baik lari sahaja dan meminta pertolongan," katanya ketawa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: