AIR mata saya pernah kering, lantaran terlalu menangisi nasib diri dan keluarga. Suami saya sakit gara-gara gagal dalam perniagaan. Dia jadi hilang ingatan. Tiga tahun lamanya, sayalah ibu dan sayalah bapa.
"Semuanya saya lalui dengan tabah dan doa yang tidak pernah putus kepada Allah. Saya yakin, jika kita berusaha, Allah pasti mengubah kehidupan susah menjadi mudah."
Demikianlah perkongsian awal Jejak Asnaf kali ini bersama Rozilah Ibrahim, 45.
"Dahulu saya seorang kontraktor yang mengambil kerja secara sub daripada pihak lain. Semasa itu, hidup kami agak mewah. Saya mempunyai jentera berat sendiri, termasuklah beberapa buah lori.
"Menjelang tahun 1997, kegawatan ekonomi yang melanda mengheret saya sekali. Kontraktor utama tidak melunaskan bayaran, saya sendiri tersangkut di sana-sini dengan ramai pihak. Akhirnya saya terkandas," ujar si suami, Saleh Mat Desa, 48.
Menurut pasangan itu, demi kelangsungan hidup, maka segala yang ada perlu dikorbankan.
"Rumah, kereta dan empat buah lori kami jual. Itu tidak termasuk jentera berat di tempat pembinaan projek. Namun, semua itu masih tidak mampu melunaskan hutang-piutang perniagaan yang ada. Keadaan begitu sempit," kata Saleh.
Rozilah pula berkata, susahnya hidup mereka ketika itu hingga ke tahap makan nasi kosong berlaukkan garam.
"Mujurlah anak saya seramai empat orang waktu itu tidak pernah sekalipun mengeluh. Bahkan, dalam tempoh tiga tahun terakhir sebelum tahun 2006 itulah, ujian Allah paling berat menimpa saya.
"Suami saya yang menghadapi tekanan hidup melampau akibat perniagaannya yang jatuh, menghadapi masalah jiwa. Dia menjadi pelupa. Pernah suami saya keluar rumah dan tidak pulang beberapa hari kerana tidak ingat jalan untuk pulang.
"Dia juga menjadi serba tidak kena. Kala itu, hanya kesabaran sahajalah yang menjadi tangkal buat saya," kongsi Rozilah tentang pengalaman silamnya.
Namun, kesempitan hidup itu telah mereka sekeluarga lalui dengan sabar. Sehinggalah menjelangnya tahun 2006 dan pada tahun itulah, Lembaga Zakat Selangor (LZS) tampil menyantuni segala keperluan. Apatah lagi, sebelum jatuh dalam perniagaan, Saleh memang merupakan pembayar zakat di Selangor.
"Dahulu saya adalah pembayar zakat. Jadi bila saya sendiri sudah jatuh dan memerlukan bantuan, rasanya tidak salah jika zakat membantu saya kembali.
"Ia bahkan lebih baik daripada saya meminjam kepada along, yang akhirnya hanya menjerat diri sekali lagi," ujar Saleh kembali.
Mengenang kembali saat-saat kesusahan dari 1997 sehingga 2006 itu, Rozilah betah melakukan pelbagai jenis pekerjaan. Dia pernah menjual kuih-muih, mengambil upah menjahit baju di rumah dan mendapatkan upah dengan menjahit baju secara sub dari kedai jahit.
Bakat menjahit yang ada padanya tidak dipersiakan. Bahkan kala itu, Rozilah hanya menjahit dengan sebuah mesin jahit kotak yang murah harganya.
"Saya selalu kata pada diri, insya-Allah, suatu hari nanti saya akan buka kedai jahit sendiri. Apatah lagi, jahitan baju saya pernah memenangi Pertandingan Seri Endon, iaitu dalam kategori batik dan sayalah yang menjahit pakaian batik tersebut," tegas Rozilah demi memperkukuhkan motivasi dirinya.
Jujurnya, kehadiran LZS di sisi mereka bagaikan membawa segelas air bagi seorang pemusafir yang dahaga di padang pasir.
LZS yang memang mahu memajukan asnaf zakat, melihat bakat dan kebolehan Rozilah sama sekali tidak boleh disia-siakan.
Lalu, menerusi pakej bantuan perniagaan, LZS menawarkan modal buat Rozilah melangkah lebih jauh.
"Alhamdulillah, LZS bukan sekadar membantu keperluan keluarga saya, bahkan LZS turut membantu merealisasikan cita-cita isteri saya," kata Saleh bernada positif.
Untuk itu, pada tahun 2010, LZS telah mula menyalurkan bantuan perniagaan kepada mereka. Antaranya, LZS membekalkan dua mesin jahit, membayarkan deposit kedai dan juga ansuran sewanya untuk enam bulan dan juga modal pusingan.
Bahkan, demi melancarkan lagi gerak kerja Rozilah, LZS telah menambah tiga buah lagi mesin jahit untuknya. Semua bantuan perniagaan ini berjumlah kira-kira RM15,000.
"Syukur sebab perniagaan saya kian masyhur. Tidak bermaksud berbangga dengan diri sendiri, tetapi hampir 3/4 pelanggan saya di sini sudah mengakui kehalusan kerja jahitan saya. Menjelang hari raya, memang tidak menang tangan dibuatnya. Tahun lalu sahaja, ratusan pakaian saya terima.
"Alhamdulillah, saya dapat rasakan rezeki saya semakin baik setiap bulan. Bahkan saya bercita-cita, selepas ini akan kembangkan lagi perniagaan kepada butik pula.
"Mudah-mudahan, semuanya dipermudah dan diberkati Allah," kata Rozilah.
Rozilah turut tidak lupa mengalungkan ucapan terima kasih kepada semua pembayar zakat yang selama ini telah memberikan harapan baharu kepada dirinya sekeluarga.
"Semoga Allah SWT memberkati kehidupan semua pembayar zakat, di dunia dan akhirat," katanya.
Nota: Rozilah boleh dihubungi di Mom's Silks Design, 52-A-1, Jalan Lagenda Suria 3, Taman Lagenda Suria, 43100 Hulu Langat, Selangor atau di talian 017-880 4304.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: