UMPAMA hotel dua dapur, itu ungkapan yang sering digunakan apabila memperkatakan tentang dwiperbankan - konvensional dan Islam - yang dilaksanakan di negara ini. Biarpun ada yang mencemuh kerana usaha tersebut dikatakan mencampuradukkan dua benda berbeza, namun hakikatnya tidak begitu.
Idea asal dwiperbankan yang dirintis pada tahun 1993 adalah jawapan kepada persoalan bagaimana untuk mengembangkan perbankan Islam di negara ini selepas Bank Islam pertama ditubuhkan pada 1983.
Ketika itu, kumpulan perintis sistem kewangan Islam yang diketuai Tan Sri Nor Mohamed Yakcob memikirkan tentang beberapa alternatif.
Pertama, mewujudkan lebih banyak Bank Islam. Namun ada kekangannya iaitu masa yang lama untuk menubuhkan satu cawangan dan kos iaitu mencecah RM250,000.
"Kita bukan nak buka satu cawangan tapi beratus cawangan, tentu masa yang panjang diperlukan selain kos terlalu tinggi, sedangkan perbankan Islam mahu dikembangkan secepat mungkin," kata Nor Mohamed.
Alternatif kedua adalah memperkenalkan dwiperbankan iaitu membenarkan bank konvensional membuka kaunter perbankan Islam.
Kumpulan perintis yang dianggotai Nor Mohamed, Rustam Mohd. Idris, Md. Sabidi Abdullah dan Mohd. Ikram Ahmad (kesemuanya pegawai di Bank Negara Malaysia) sependapat bahawa dengan cara itu perbankan Islam dapat berkembang di seluruh negara.
Semangat berkobar-kobar mahu segera menyaksikan perbankan Islam diguna pakai secara meluas mendorong idea tersebut diketengahkan.
Lantas Nor Mohamed bersama Gabenor Bank Negara ketika itu, Allahyarham Tan Sri Jaffar Hussein bertemu Menteri Kewangan meminta supaya sistem perbankan tanpa faedah atau kaunter perbankan Islam dibenarkan di bank-bank konvensional.
''Banyak kali saya bersama Tan Sri Jaffar mengadap pemimpin pada masa itu sehinggalah kelulusan diperoleh.
''Pada 4 Mac 1993 bersamaan 1 Ramadan, sistem perbankan tanpa faedah dilancarkan di Bank Negara. Selepas itu lahirlah sistem dwiperbankan yang berkembang pesat ke seluruh negara,'' kata Nor Mohamed.
Beliau yang berperanan sebagai Ketua Unit Perbankan Islam di Bank Negara ketika itu menyifatkan kesungguhan Jaffar sebagai inspirasi serta kejayaan awal sistem perbankan Islam di Malaysia.
Paling jelas, katanya, adalah ucapan Jaffar pada satu forum di Pulau Pinang yang menunjukkan azam serta cita-cita beliau mahu melihat sistem perbankan Islam berdiri sendiri tanpa perlu menumpang perbankan konvensional.
Hasrat Jaffar satu sistem kewangan Islam yang sempurna dapat diwujudkan serta mampu bergerak selari dengan sistem kewangan konvensional.
Bagaimanapun menyedari rencam penduduk Malaysia yang pelbagai kaum, Allahyarham tidak mahu tergopoh-gapah dan percaya sistem kewangan Islam perlu dilaksanakan berperingkat umpama menarik rambut dalam tepung.
Kesungguhan dan iltizam mahu melihat sistem perbankan Islam dilaksanakan secara meluas menelurkan hasil yang begitu membanggakan malah disifatkan Nor Mohamed sebagai satu fenomena baru.
Bagaimanapun, tegas beliau, sistem perbankan Islam masih ada kelemahan yang perlu diatasi segera supaya ia benar-benar menggambarkan keadilan sosial dan bukan sekadar memperkatakan tentang halal.
''Memang halal itu penting tetapi kita mesti ingat nilai-nilai murni dalam Islam termasuk keadilan sosial mesti diberi keutamaan,'' katanya.
Sebagai perintis, Nor Mohamed berpuas hati kerana perbankan Islam membentuk 20 peratus daripada sistem perbankan di negara ini dengan logistik, cawangan dan produk-produk yang canggih.
''Dari sekarang kita harus melihat selain daripada aspek teknikal iaitu lebih kepada memberi jiwa dan nilai dalam perbankan Islam itu sendiri.
''Kita harus pastikan perbankan Islam bukan saja halal, tiada ciri riba malah melambangkan jiwa murni dan Islam itu sendiri,'' katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: