Monday, June 4, 2012

Resipi biskut bekas jurutera


MAJORITI kuih dan biskut keluaran Zaisara Enterprise hasil resipi ciptaan Zaiton sendiri.


HASILKAN apa yang kita suka makan, pasarkan apa yang kita suka. Berpegang pada prinsip itu, pemilik Zaisara Enterprise, Zaiton Abd Shukor, 52, menjadikan hobi membuat kuih dan biskut sebagai satu perniagaan.

Menurutnya, beliau terpaksa berhenti kerja sebagai jurutera di sebuah syarikat swasta untuk memberi tumpuan kepada keluarga dan perniagaan.

“Saya menjalankan perniagaan pada tahun 1994 dengan mengambil bekalan kuih terus dari kilang tetapi terpaksa mencari alternatif lain selepas kebanyakan pelanggan merungut biskut dan kuih yang diperoleh dari kilang itu hanya berbeza dari segi rupa tetapi rasanya sama.

“Disebabkan itu, saya membuat biskut serta kuih sendiri bermula dengan biskut almond london dan tart nanas,” kata ibu kepada lapan orang anak ini.

Tambahnya, ketika itu beliau menjalankan perniagaan kecil-kecilan dengan sasaran pelanggan ialah saudara-mara dan rakan terdekat.

Jelasnya, beliau banyak membuat rujukan di majalah untuk memperoleh idea bagi mengolah resipi baharu selain mengikuti kelas masakan biskut dan kuih.

Kualiti

“Dalam perniagaan ini, yang penting adalah kita kena menjaga kualiti selain mempunyai identiti sendiri untuk memudahkan pelanggan mengingati produk kita.

“Setakat ini, kira-kira 20 jenis biskut dan kuih sudah saya hasilkan termasuk makanan sejuk beku yang dibuat berdasarkan permintaan pelanggan,” ujarnya.

Beliau memberitahu, majoriti resipi biskut dan kuih keluarannya adalah hasil ciptaan sendiri.

Ini kerana katanya, untuk mendapatkan resipi yang bagus, pengusaha perlulah bijak bermain dengan bahan.

“Selain itu, kita juga perlu membuat biskut dan kuih dengan hati yang gembira supaya apa yang diadun itu menjadi.

“Jika kita mengadun bahan dalam keadaan marah, pasti adunan itu tidak akan menjadi,” beritahu beliau.


MENURUT Zaiton, minyak jagung Daisy membuatkan produk biskutnya lebih sedap dan kelihatan menarik.


Ujarnya, semuanya bergantung kepada tangan yang menguli dan bahan yang digunakan untuk mendapatkan hasil yang bagus.

Seperti resipi biskut daisy yang dicuba sebanyak tiga kali menggunakan minyak jagung Daisy untuk hasil yang baik.

Buku resipi

“Minyak jagung Daisy menjadikan biskut dan kuih gebu serta cair di mulut selain baik untuk kesihatan.

“Pada saya, campuran oat dan kelapa dalam resipi biskut itu juga membantu memberi rasa yang enak dan kita juga tidak muak memakannya,” jelasnya yang turut menggunakan minyak jagung Daisy dalam pembuatan biskut damas.

Zaiton berkata, biskut daisy sangat berbeza daripada biskut kacang tradisional kerana penampilannya yang lebih cantik dan lain daripada lain.

Tuturnya, pelbagai cabaran yang terpaksa ditempuh sepanjang menjalankan perniagaan tersebut, antaranya faktor masa dalam memenuhi tempahan pelanggan.

“Kini saya sedang cuba memasarkan biskut dan kuih yang boleh dijadikan cenderahati di lokasi tumpuan umum seperti lapangan terbang.

“Ia bertujuan untuk mengubah stigma masyarakat yang beranggapan biskut dan kuih hanya laris sewaktu musim perayaan,” katanya yang bercita-cita untuk mengembangkan perniagaan ke luar negara selain menerbitkan buku resipi dan rancangan memasak sendiri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: