PUNYA suara lunak sebagaimana ibu mereka, namun kecenderungan dua bersaudara ini terarah kepada aliran yang berbeza cabang dengan skop kerjaya ibunda mereka sebagai penyanyi.
Rack, jenama butik diinspirasikan bintang filem Hoore! Hoore!, Kilafairy atau nama sebenarnya, Syakila Nisha Jahangir Khan, 20, bersama kakaknya, Shakira Idora (Kira), 22, diusahakan dua beradik itu bukan sekadar menyokong ‘trend’ perusahaan butik oleh golongan muda.
Sebaliknya Kilafairy juga pemegang Diploma Pengurusan dan Pemasaran Fesyen di Kolej Antarabangsa Raffles manakala Kira, pemilik Diploma Rekaan Fesyen dari Universiti Lim Kok Wing, ingin mengembangkan ilmu yang ditimba mereka untuk menjadikan Rack sebagai jenama terkenal.
“Bagi saya perniagaan yang diusahakan Kila dan kakak ini tidak jauh bezanya dengan kerjaya mama sebagai penyanyi, kerana fesyen dan artis itu saling memerlukan dan melengkapi.
“Ada sebahagian rekaan pakaian yang terdapat dalam butik ini, dulunya pernah popular di zaman 70-an, 80-an dan 90-an, yang mama sendiri pernah memakai fesyen berkenaan ketika zaman remajanya termasuk digayakan ketika membuat persembahan.
“Justeru, perniagaan yang diusahakan ini boleh dikatakan datangnya daripada minat mama sendiri terhadap fesyen yang menurun kepada kami,” katanya pada majlis pelancaran Rack, Rabu lalu.
Beroperasi di The 19 USJ City Mall sejak sebulan lepas, pemilihan lokasi itu sebagai memanfaatkan lot kedai yang dibeli ibunya beberapa tahun yang lalu.
Daripada terbiar tanpa diusahakan, mereka tertarik untuk mengusahakan butik.
Rack merangkumi produk-produk seperti hiasan aksesori, beg tangan, kasut tumit tinggi, skaf kepala, tali pinggang dan pakaian rekaan mereka sendiri seperti ‘gaun koktel’ dan pakaian sedia pakai untuk wanita.
Jenama berkenaan, turut menghasilkan kasut khusus untuk pelanggan yang gemarkan tapak tinggi.
“Susah sebelum ini nak cari kasut yang bertumit lebih daripada lima inci dan ini memberi idea kepada saya mereka sendiri kasut sebagai salah satu tarikan jenama Rack. Mana tahu, jika sambutan diberikan hangat, kami dapat membuka cawangan lain sekali gus memperkenalkan butik khas untuk lelaki,” katanya.
Memilih ‘Rack’ sebagai jenama, ia punya kaitan dengan imaginasi dua beradik itu yang juga anak dara kepada penghibur terkenal Rohana Jalil, yang sukakan kehidupan penuh fantasi.
“Rack maksudnya adalah tanduk rusa. Kalau menonton filem fantasi, rusa sering digambarkan sebagai binatang yang ironi dengan dunia fantasi. Sebagaimana pakaian dan aksesori yang terdapat di dalam butik ini ia refleksi kepada imaginasi dan fantasi kami terhadap sesuatu fesyen.
“Semua rekaan pakaian yang terdapat di dalam butik ini dipilih dan direka secara peribadi oleh Kila dan kakak. Walaupun Kira orangnya agak rock dan gemar pada motif dan corak abstrak atau artistik, sementara saya pula menjurus gaya elegan namun citarasa kami seiring.
“Pendek kata, mereka yang membeli jenama Rack ini ibarat mereka sedang bergaya cara Kila dan Kira. Kami sukakan rekaan yang ringkas namun dalam setiap rekaannya itu haruslah memberi impak kepada si pemakai.
“Sasaran jualan adalah untuk kategori ‘Yuppies’ khusus buat remaja manakala ‘Bums’ untuk golongan dewasa. Keistimewaan label Rack ini terletak pada rekaannya yang eksklusif dan berbeza daripada butik sedia ada.
“Hampir semua pakaian yang terdapat di Rack adalah jenama antarabangsa antaranya dari Jepun, Eropah dan Amerika termasuk yang direka sendiri oleh Kira,” katanya.
Gadis terkenal dengan jolokan Angelina Jolie Malaysia itu, menjelaskan pembukaan butik Rack adalah sebagai satu permulaan untuk masa depan yang lebih terjamin.
Untung nasib sebagai pelakon dan penyanyi belum pasti, justeru Kila optimis di usia semuda inilah mereka harus membuat persediaan untuk merancang masa depannya dengan mengaplikasi pengetahuan di universiti dalam kehidupan yang sebenar.
“Pun begitu, saya akan tetap aktif dalam bidang seni, cuma dengan ada butik ini saya harus memberikan tumpuan yang lebih. Kebetulan sampai sekarang saya belum menerima tawaran berlakon yang menepati citarasa saya.
“Tawaran yang diberi selalunya watak jahat dan perempuan gedik yang seksi. Saya rasa kurang selesa sebenarnya membawakan watak sedemikian kerana ia memberi persepsi negatif pada kehidupan harian saya di luar set penggambaran.
“Apapun, sekarang ini selain sibuk menguruskan butik, saya akan muncul dengan single terbaru selepas Roman iaitu Pasti. Ditulis dalam dua versi Inggeris dan Melayu, lagu itu dicipta Amylea AF3 juga penulis untuk lagu Roman.
“Saya suka bekerjasama dengan Amylea kerana dia faham konsep muzik yang saya inginkan. Berbeza Roman yang disampaikan secara duet bersama Tihany, Pasti adalah sebuah lagu solo balada istimewa daripada saya buat pendengar,” ujar Kila.
Sementara itu, Kira yang menyambut ulang tahun ke-22 pada hari pelancaran butik berkenaan, memaklumkan, selepas ini dia mahu menghasilkan lebih banyak rekaan sendiri.
Keberangkatannya ke Australia bagi melanjutkan pengajian peringkat Sarjana Muda di Universiti RMIT pada 2 Julai nanti, tidak menghalangnya untuk membantu Kila menguruskan Rack dari kejauhan.
“Saya akan berangkat ke Australia pada 2 Julai nanti. Sambil menumpukan perhatian pada pengajian, saya akan tetap membantu Kila dari segi stok pakaian juga rekaan terkini.
“Saya berharap dapat menghasilkan lebih banyak lagi rekaan, bermula daripada pakaian santai hinggalah ke majlis penganugerahan. Setakat ini beberapa gaun dan pakaian di sini saya hasilkan sendiri,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: