NAMA Dian Pelangi mungkin sesuatu yang baru di negara ini namun jenama itu sebenarnya semakin dikenali di kalangan blogger di Malaysia dan Indonesia.
Dari baju tradisional Indonesia sehinggalah ke busana muslim di mana kesemuanya direka secara menarik, universal, bergaya dan kontemporari.
Bersesuaian dengan namanya, Dian Pelangi menampilkan ciri khas antara lain ialah warnanya berwarna-warni seperti pelangi yang menyerlahkan lagi gaya si pemakai.
Kebanyakan rekaannya dihasilkan oleh pereka utama, Dian Wahyu Utami, seorang pereka fesyen kelahiran Indonesia berusia 21 tahun.
Kira-kira 20 pelajar semester lima Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media di Universiti Teknologi Mara (UiTM) berjaya membawa pereka muda dari negara jiran itu ke Malaysia dalam satu kolaborasi untuk menjayakan kempen fesyen Dian Pelangi.
Menerusi projek yang diberi nama Gradian, mereka mengadakan kempen jelajah termasuk promosi menerusi laman sosial di Facebook dan Twitter bagi meningkatkan kesedaran jenama dan memperkukuhkan strategi pemasaran.
Pengarah projeknya, Farhan Selim, 24, berkata, projek Gradian ini sempena dengan kursus Pengurusan Promosi Jualan yang memerlukan pelaksanaan satu projek khusus melibatkan pemasaran dan pelanggan.
“Cabaran kami adalah meyakinkan pelanggan. Bukan mudah untuk membawa Dian Pelangi dari Indonesia dan mempromosikan jenama itu di Malaysia.
“Kami mempunyai latar belakang dan kepakaran masing-masing, digabungkan bagi mencetuskan cadangan yang mampu menjana idea kreatif,” katanya.
Farhan berkata, walaupun meraih kepercayaan pelanggan sebagai sesuatu yang bukan mudah namun mengamalkan prinsip memberikan khidmat terbaik adalah kekuatan sepasukan.
“Apa yang kita buat perlu ada perancangan dan diikuti pelaksanaan. Idea boleh diperoleh daripada pelbagai cara.
"Idea yang sedia ada boleh menjadi unik jika kita mempunyai kreativiti untuk melakukan perubahan,” katanya.
Beliau menambah, pengalaman bekerjasama dengan Dian Pelangi memberikan mereka sepasukan mengenai gambaran sebenar dalam melaksanakan sesuatu projek secara profesional.
“Kami menyedari begitu pentingnya kerjasama dan perancangan dari sebelum, semasa sehingga selepas acara yang diadakan,” kata Farhan yang merujuk kepada acara utama bagi kolaborasi itu, Pertunjukan Fesyen Dian Pelangi Malaysia.
Diadakan di Dewan Seri Budiman, UiTM Shah Alam, Dian Pelangi Malaysia dengan tema ‘Colour Block’ menampilkan pelbagai koleksi menarik sesuai citarasa generasi muda dan ikon muslimah seperti High End by Dian Pelangi dan DP by Dian.
Selain itu, Dian turut melakukan demonstrasi bagi pemakaian hijab yang sederhana, praktikal, tanpa memerlukan banyak jarum serta gaya pemakaiannya bersesuaian dengan acara kasual serta formal.
Dian Pelangi kini membuka butik pertamanya di Malaysia di Jalan Telawi 2, Bangsar. Antara lain himpunan Dian Pelangi adalah Dian Pelangi Bride dan Dian by Kids.
Sementara itu, Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Prof Madya Dr Mohd Adnan Hashim pula berkata, beliau berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh pelajar semester lima fakulti itu menerusi Projek Gradian.
Beliau berkata, apa yang dipelajari oleh pelajar itu di kelas direalisasikan dalam satu projek yang bukan calang-calang kerana melibatkan pihak dari luar negara.
“Mereka cukup bersedia dan dilihat mempunyai potensi menjadi profesional pada masa akan datang selepas tamat pengajian.
“Pengurusan acara ini boleh pergi jauh dalam industri tempatan. Apa yang penting adalah kemahuan, keyakinan dan perancangan khusus dalam setiap perkara,” katanya.
Beliau turut menasihatkan agar melihat kelemahan dan kekurangan yang berlaku sepanjang majlis untuk diperbaiki kepada lebih baik pada masa akan datang.
Menurut Dr Mohd Adnan, beliau mengharapkan selepas ini para pelajar berkenaan termasuk pelajar baru yang mengikuti kursus itu supaya mempelbagai idea dan kreativiti.
“Banyak perkara yang boleh diterokai. Sesuatu projek bukan sahaja bersandarkan apa yang hendak dilakukan tetapi kesannya selepas itu.
“Saya mengharap agar para pelajar mencuba sesuatu yang lebih segar dan berani malah turut melibatkan tanggungjawab sosial tetapi masih kreatif serta unik,” kata beliau.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: