Saturday, June 16, 2012

Ramona rela ketinggalan

MANJA...Ramona menganggap ayahnya tegas tetapi 'sporting'.
MANJA...Ramona menganggap ayahnya tegas tetapi 'sporting'.

DEMI memenuhi harapan ibu bapanya yang mahu Ramona Zam Zam, 22, menjadi insan terpelajar, dia sanggup mengorbankan keinginannya sendiri. Dia banyak mendapat tawaran untuk melakonkan watak utama, tetapi dengan rela hati terpaksa menolaknya dan minta diberikan watak kecil saja kerana tidak mahu mengganggu jadual pengajiannya di Kolej Segi dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan pada peringkat diploma.

Menurut Ramona, dia tidak kesal jika perjalanannya dalam dunia lakonan agak perlahan jika dibandingkan dengan rakan seangkatannya seperti Anzalna, Neelofa ataupun Izara Aishah kerana dia ada tujuan lain dalam hidupnya selain berlakon.

  • Foto

  • Foto

Meskipun begitu, dia bersyukur kerana tawaran berlakon selalu ada dan peminat mula mengenalinya. Antara drama lakonannya, Nilapura, Begitukah Cinta, Nora Elena dan Kali Kedua.

Dramanya yang lain bakal disiarkan Tart Untuk Kakak, Tanah Kubur, Cikgu Kemisah Kirby, Chef Cinta dan Jangan Tak Pulang (drama raya). Filem sulung lakonannya pula Sepah The Movie.


“Saya rela ketinggalan daripada mereka kerana saya tak mahu pelajaran saya terjejas. Saya meminati dunia seni sejak kecil, tetapi saya juga perlu menghormati dan memenuhi harapan emak serta ayah. Ketika masih bersekolah, mereka tahu saya meminati bidang seni dan tidak pernah menghalang asalkan saya tidak mengabaikan pelajaran.


“Ketika belajar dalam tingkatan dua, saya berlakon dalam filem Castello terbitan Suhan Movies memegang watak bernama Juliet, tetapi selepas itu saya berhenti kerana emak dan ayah mahu saya memberi tumpuan kepada pelajaran terlebih dulu. Selepas habis peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), barulah saya kembali ke pentas lakonan.

“Bagaimanapun, selepas diterima masuk ke kolej, saya terpaksa memperlahankan rentak kerana tak mahu kesibukan berlakon mengganggu pengajian. Hanya ada satu semester saja lagi dan insya-Allah pengajian akan tamat pada September ini. Saya bercadang untuk menyambung pengajian pada peringkat seterusnya dan ada juga terfikir untuk menimba pengalaman belajar di luar negara.

“Apa yang saya lakukan ini adalah demi masa depan saya kerana sedalam mana pun rasa cinta saya terhadap dunia seni, pasti suatu hari nanti akan bernoktah jua. Dengan adanya pendidikan saya tidak perlu bimbang lagi kerana saya boleh menggunakan ilmu yang ada pada bila-bila masa saya,” katanya.

Tambah Ramona, watak wanita baik sentiasa melekat dengan dirinya seperti wanita dianiaya dan ditipu suami.

“Ada yang kata, wajah saya ini nampak baik dan watak itu sesuai dengan saya. Sebenarnya saya lebih suka membawakan watak jahat kerana banyak aksi yang boleh saya pamerkan kerana kalau pegang watak baik, ia macam itu sajalah.

“Pun begitu saya pernah juga diberikan watak pelajar kolej, jadi ibu dan anak yang nakal. Kebanyakan watak sudah dicuba tetapi watak idaman saya ialah pembunuh psiko. Saya suka menonton filem seram dan drama penyiasatan Inggeris dan daripada situlah saya idaman watak sebagai sebegitu.

“Saya dapat rasakan mesti menarik kalau pelakon wanita yang membawakan watak itu. Kepada pengarah di luar sana, saya sedia mencuba apa saja watak,” katanya.

Walaupun Ramona atau pemilik nama sebenar Ros Ramona Qadira Mohd Zamzam, dibenarkan orang tuanya menjadi anak seni tetapi mereka tidak melepaskannya begitu saja, bebas melakukan apa sapa sesuka hatinya.

“Saya sangat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh emak dan ayah. Walaupun ayah seorang yang tegas tetapi pada masa sama dia juga ‘sporting’ dan tidak pernah menghalang minat saya malah sentiasa memberikan sokongan.

“Sebelum saya bergelar artis, emak yang berkhidmat sebagai guru di Ipoh, Perak. Selepas saya berlakon, ayah minta emak bertukar mengajar di Kuala Lumpur (KL) kerana ayah tidak mahu saya tinggal seorang diri di KL, bimbang orang akan mudah menabur fitnah terhadap saya dan dia juga mahu keselamatan saya terjamin.

“Sampai ke tahap itu emak dan ayah sanggup berkorban kerana saya. Jadi sebagai balasan saya kena menjaga diri dan nama baik mereka. Itu jugalah yang diminta
oleh ayah agar tidak menconteng arang ke muka orang tua. Apabila tinggal dengan emak saya pun rasa selamat.

“Ayah yang sekarang bertugas sebagai Pengurus Kem PLKN Sentosa, Tapah, Perak terpaksalah berjauhan dengan emak seketika. Ayah akan balik ke KL dalam dua tiga hari sekali, “ kata anak sulung daripada dua beradik itu.

Sempena sambutan Hari Bapa esok, Ramona bercadang untuk membawa keluarganya keluar makan malam. Dia juga mendoakan agar bapanya sentiasa sihat walafiat, dipanjangkan usia, dilapangkan rezeki, diberi kebahagiaan dunia dan akhirat serta diberkati Allah selalu.

“Tiada orang lain sebaik dan semulia hati ayah. Dia sanggup berkorban untuk melihat anaknya bahagia,” katanya.

Seperkara lagi yang menarik mengenai pelakon jelita ini, selain bahasa Inggeris dia juga fasih berbahasa Mandarin dan Hokkien kerana belajar di sekolah Cina sejak tadika lagi.

“Saya juga boleh menulis dalam bahasa Cina dan ketika belajar di Sekolah Menengah Teknik, Manjong, Perak saya menduduki peperiksaan SPM untuk kertas bahasa Cina,” katanya yang melaram dengan baju dari butik O’oi Couture.


Harapan bapa

SEJAK kecil lagi bapa Ramona, Mohd Zam Zam Mohd Ashraf, 64, menyedari minat anaknya dalam bidang seni dan dia tidak sampai hati untuk menghalangnya. Namun sebagai bapa, dia selalu mengingatkan anak kesayangannya itu supaya berhati-hati.

“Saya tidak menghalangnya berlakon tetapi jangan lupakan pelajaran kerana itu aset penting dalam hidup kita. Saya mahu dia jadi insan terpelajar. Dalam bidang seni pula saya harap dia dapat mengikut jejak langkah Datuk Siti Nurhaliza yang bijak menjaga imej dan penampilan. Seorang lagi artis yang menjadi kebanggaan saya ialah Rosyam Nor. Mereka adalah dua anak seni yang berjaya dalam kerjaya dan juga kehidupan,” katanya.

Menurut Zam Zam, sejak kecil Ramona juga suka membaca terutama novel Inggeris dan mengikut minat ibunya (Rusmawati Mohd Yusof, 52) suka melukis.

“Kalau kita bawa dia ke pusat beli belah, senang kerana kalau dia terjumpa kedai buku, dia akan ambil buku dan duduk di satu sudut membacanya sehingga habis. Apabila saya dan ibunya selesai membeli barang, kami akan mencarinya di situ. Oleh kerana dia terlalu suka membaca, setiap hari diminta belikan buku.

“Sampai sekarang dia tidak boleh tinggalkan hobinya membaca. Sebagai bapa, saya selalu mendoakan kesejahteraan, kejayaan dan kebahagiaannya serta dikurniakan jodoh yang baik,” katanya yang pandai bermain silap mata.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: